MAKKAH: Jemaah haji mengambil langkah perlindungan daripada cuaca panas dengan berlindung di bawah payung serta memperbanyakkan pengambilan air ketika suhu di Makkah menghampiri 47 darjah Celsius sepanjang musim haji 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 29 Mei.

Ketika lebih 1.5 juta anggota jemaah mula memenuhi kota suci itu, pihak berkuasa Arab Saudi memperhebat pelbagai langkah perlindungan haba bagi mengelakkan tragedi tahun lalu berulang apabila lebih 1,300 anggota jemaah dilaporkan maut akibat cuaca panas melampau.

Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi meramalkan suhu siang hari di Makkah sepanjang minggu ini berada antara 42 dengan 47 darjah Celsius.

Keadaan itu menyebabkan ramai jemaah terdedah kepada strok haba, pengsan dan masalah jantung ketika menunaikan ibadah haji yang kebanyakannya dilakukan di kawasan terbuka.

Bagi menghadapi cuaca panas ekstrem, Arab Saudi memperluaskan kawasan teduhan di Masjidil Haram dan kawasan ibadah lain sehingga lima kali ganda berbanding 2025.

Langkah itu termasuk pemasangan kanopi moden di laluan utama jemaah selain penggunaan lantai khas yang kurang menyerap haba.

Menurut laporan media rasmi Saudi, projek berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha kejuruteraan besar-besaran untuk mengurangkan tekanan haba terhadap jutaan jemaah.

Selain itu, lebih banyak kawasan rehat berbumbung turut disediakan bagi membolehkan jemaah berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan ibadah.

Sistem semburan kabus air, kipas gergasi dan penambahan kawasan hijau juga diperluaskan di lokasi tumpuan ramai.

Pihak berkuasa Saudi turut menggunakan antara sistem penghawa dingin paling berkuasa di dunia untuk menyejukkan kawasan Masjidil Haram.

Trak pengagihan air sejuk percuma juga bergerak tanpa henti di sekitar kawasan ibadah bagi membantu jemaah mengelakkan dehidrasi.

Selain payung biasa, jemaah kini semakin bergantung kepada pelbagai produk teknologi penyejuk moden yang dijual secara meluas di Arab Saudi.

Antara produk paling mendapat perhatian ialah payung dengan kipas dan semburan air terbina dalam, topi perlindungan UV, tuala penyejuk serta pakaian khas yang membantu menurunkan suhu badan.

Pengurus cawangan SACO di Jeddah, Encik Mohammed Ali, berkata permintaan terhadap produk penyejuk meningkat mendadak menjelang musim haji.

“Kami melihat permintaan sangat tinggi untuk payung ringan dan produk yang membantu menyejukkan badan,” katanya. “Jemaah kini lebih memilih produk praktikal dan ringan untuk menghadapi cuaca panas.”

Tuala penyejuk yang berfungsi menggunakan teknologi penyejatan air juga menjadi antara produk paling laris di kedai dan platform dalam talian.

Pengurus kedai MINISO, Cik Farah Khaled, berkata ramai jemaah membeli produk itu kerana mudah digunakan.

“Apabila cuaca terlalu panas, tuala ini memberi kelegaan segera,” katanya.

Seorang jemaah dari Algeria, Emcik Mohamed Nabil, 43 tahun, berkata beliau terkejut dengan tahap kepanasan di Makkah. “Cuacanya memang sangat panas,” katanya.

Beliau berkata dirinya perlu kerap menyiram air ke muka bagi mengekalkan kesegaran ketika berjalan hampir 30,000 langkah sehari di sekitar Makkah.

Seorang lagi jemaah dari India, Encik Shahnawaz Ahmed, berkata topi penyejuk yang digunakan banyak membantu ketika melakukan ibadah di kawasan terbuka.

“Topi ini membuatkan saya rasa lebih ringan dan membantu saya terus berjalan tanpa terlalu tertekan dengan panas,” katanya.

Jemaah dari Mesir, Encik Eiman Zayed, pula berkata cuaca panas ketika haji tidak boleh dielakkan tetapi boleh dihadapi dengan persediaan yang baik.

“Perlindungan daripada matahari kini bukan lagi sekadar payung dan krim pelindung kulit,” katanya.

“Ia sudah berkembang menjadi teknologi moden,” tambah beliau.

Cabaran terbesar dijangka berlaku ketika kemuncak haji di Jabal Rahmah dan Arafah pada 26 Mei nanti.

Kawasan berbukit dan terbuka itu mempunyai sangat sedikit kawasan teduhan, menyebabkan jemaah berisiko tinggi mengalami strok haba.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata lebih 50,000 petugas kesihatan dan 3,000 ambulans telah disediakan sepanjang musim haji tahun ini.

Pada 23 Mei lalu sahaja, pasukan perubatan dilaporkan telah merawat sekurang-kurangnya 144 kes strok haba.

Pegawai kementerian kesihatan, Jameel Abualenain, berkata pihaknya paling bimbang terhadap peningkatan suhu sepanjang musim haji.

“Kami bimbang mengenai suhu yang semakin meningkat dan kesannya terhadap jemaah,” katanya dari pusat rawatan di Mina.

Beliau mengingatkan jemaah supaya minum air secukupnya, menggunakan payung dan mengelakkan pendedahan terlalu lama di bawah matahari.

“Jemaah perlu sentiasa minum air, menggunakan payung dan mengurangkan pendedahan terus kepada cahaya matahari,” katanya. – Agensi berita.