Sejak mendirikan rumah tangga dengan isterinya sekitar tiga dekad lalu, Encik Mohamed Din Arsad menanam niat ingin menunaikan haji bersama cinta hatinya itu

Maka, bermulalah fasa beliau mengumpul wang simpanan demi memenuhi panggilan ke Tanah Suci.

Impian itu mula direalisasikan apabila pada 2013, Encik Mohamed Din, 68 tahun, berjaya mendaftarkan dirinya bersama isteri, Cik Norlizah Osman, 64 tahun, untuk permohonan ibadah haji.

Kini, pasangan tersebut sedang berada di Aziziyah (berdekatan Mina) dan dijadualkan berangkat ke Arafah pada Isnin, 25 Mei, bersamaan 8 Zulhijah.

Pasangan suami isteri, Encik Mohamed Din Arsad (kiri) dan Cik Norlizah Osman ketika di Lapangan Terbang Changi sebelum berangkat ke Madinah pada awal pagi 14 Mei.
Pasangan suami isteri, Encik Mohamed Din Arsad (kiri) dan Cik Norlizah Osman ketika di Lapangan Terbang Changi sebelum berangkat ke Madinah pada awal pagi 14 Mei. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Pasangan itu merupakan antara anggota jemaah haji Singapura yang dihubungi Berita Harian (BH) dan berada dalam keadaan sihat.

Memandangkan cuaca di Makkah sangat panas sehingga mampu mencecah 47 darjah Celsius pada hari-hari utama ibadah haji, mereka memastikan badan mereka tidak kekurangan air atau dilanda dehidrasi dengan banyak minum air, selain menyiapkan bekalan ubat yang diperlukan.

Ini ditambah dengan bantuan daripada ejen penjualan (GSA) pakej haji, Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan pasukan perubatan.

Jemaah yang dihubungi menyifatkan proses mendapatkan bantuan perubatan di sana sebagai sangat mudah dan lancar.

Walau dengan konflik geopolitik yang sedang berlaku di dunia, para jemaah memberi jaminan mereka berada dalam keadaan selamat, dengan situasi serta ibadah mereka di sana tidak terjejas.

Berkongsi lanjut mengenai keadaan di sana, Encik Mohamed Din, berkata:

“Cuaca di sini memang panas. Alhamdulillah, urusan ubat-ubatan tiada masalah seperti yang dimaklumkan oleh agensi pelancongan... lagipun kami dah siap bawa dari rumah.

“Ustaz, pegawai, dan kakitangan di sini pun semuanya sangat ramah.”

Beliau dan isterinya mengikuti GSA, Hagel Travel & Tours.

Apabila ditanya BH mengenai perasaannya tatkala mendapat berita mereka diterima untuk menunaikan haji, pesara itu tidak mampu meluahkan kata-kata.

Beliau hanya mampu menzahirkan rasa syukur yang mendalam dan melakukan sujud syukur sebagai tanda penghargaan.

“Dengan umur saya sebegini, memang saya takut kalau saya tidak sempat ke haji.

“Lagi dua tahun, umur saya cecah 70 tahun. Ketika itu, saya tidak tahu jika saya sihat ataupun tidak.

“Maka, saya sangat bersyukur mendapat undangan ke Tanah Suci sekarang ini,” ujar beliau.

Pasangan suami isteri itu merupakan antara 900 anggota jemaah haji Singapura yang kini berada di Aziziyah sejak 21 Mei.

Mahkamah Agung Arab Saudi juga telah mengesahkan bahawa Isnin, 18 Mei, adalah hari pertama Zulhijah di sana.

Hari wuquf di Arafah yang menjadi kemuncak ibadah haji pula jatuh pada Selasa, 26 Mei, bersamaan 9 Zulhijah, manakala Hari Raya Aidiladha pula disambut pada Rabu, 27 Mei.

Turut menyifatkan panggilan haji ini sebagai rezeki yang hadir tepat pada masanya ialah seorang lagi anggota jemaah Hagel Travel & Tours, Cik Eliya Fawzi, 21 tahun.

Beliau yang kini berhasrat memperkukuhkan kerohaniannya, berkata: Saya sememangnya sedang dalam proses memperbaiki diri dan baru-baru ini telah mula berhijab.

“Maka, jemputan ke Tanah Suci ini terasa seperti satu ‘panggilan’ yang sangat istimewa, seolah-olah Allah SWT menjemput saya secara peribadi.

“Ditambah pula dengan peluang menunaikannya bersama ibu bapa saya, ia merupakan satu rahmat tambahan.”

Cik Eliya Fawzi, 21 tahun, ketika berada di Aziziyah.
Cik Eliya Fawzi, 21 tahun, ketika berada di Aziziyah. - Foto ihsan ELIYA FAWZI

Menurut Cik Eliya, ini kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Maka, kehadiran ibu bapa di sisi memberikannya kekuatan apabila mereka dapat saling bergantung antara satu sama lain sepanjang tempoh beribadah.

Menurutnya, ibu bapanya telah mendaftarkan mereka sekeluarga seramai lima orang pada 2013, ketika Cik Eliya berusia lapan tahun.

Berkongsi lanjut mengenai keadaan di sana, Cik Eliya berkata mereka banyak minum air dan mendapatkan cukup rehat sejak mereka tiba.

Jemaah juga menerima sokongan daripada pasukan perubatan yang disediakan untuk jemaah Singapura, tambahnya.

“Sesi konsultasi adalah percuma dan kebanyakan ubat-ubatan asas diberikan tanpa sebarang bayaran.

“Pasukan ini ditempatkan di hotel yang didiami oleh kebanyakan jemaah Singapura, sekali gus memudahkan urusan untuk mendapatkan rawatan,” tambah beliau.

Seorang lagi anggota jemaah, Encik Muhammad Luqman Razale, 37 tahun, turut bersetuju dan berkongsi tentang anggaran suhu cuaca di sana, iaitu antara 37 dengan 41 darjah Celsius, dengan puratanya sekitar 39.5 darjah.

Encik Muhammad Sabar Adam, 51 tahun, pula akur mengenai keadaan geopolitik yang berlaku, tetapi bersyukur kerana keadaan di Tanah Suci kelihatannya selamat.

“Tiada sebarang kebimbangan atau kerisauan mengenai konflik yang sedang berterusan di Timur Tengah, mahupun tentang keselamatan kami.

“Sebaliknya, tumpuan utama kami adalah terhadap pelaksanaan ibadah dan penjagaan kebajikan diri,” ujar Encik Muhammad Sabar yang menjalani ibadah haji bersama isteri dan tiga anaknya.

Encik Muhammad Sabar Adam (kiri) berkata umrah pertama untuk ibadah haji  yang dilakukan mereka sekeluarga ialah sesuatu yang beliau tidak dapat lupakan. Beliau bersama (dari kiri) anak-anaknya; Cik Nur Adilah Nasuha Muhamad Sabar; Cik Nur Atikah Amirah Muhamad Sabar; Encik Nur Alif Mirza Muhamad Sabar; dan isterinya, Cik Suriah Abdul Rahman.
Encik Muhammad Sabar Adam (kiri) berkata umrah pertama untuk ibadah haji yang dilakukan mereka sekeluarga ialah sesuatu yang beliau tidak dapat lupakan. Beliau bersama (dari kiri) anak-anaknya; Cik Nur Adilah Nasuha Muhamad Sabar; Cik Nur Atikah Amirah Muhamad Sabar; Encik Nur Alif Mirza Muhamad Sabar; dan isterinya, Cik Suriah Abdul Rahman. - Foto ihsan oleh MUHAMMAD SABAR ADAM

Beliau, yang mengikuti TM Fouzy Travel & Tours, berkongsi mereka mempunyai kumpulan sembang WhatsApp sebagai saluran maklumat utama untuk menyebarkan perkembangan terkini mengenai sebarang aktiviti atau acara.

Katanya lagi: “Platform ini juga berfungsi untuk menjawab sebarang pertanyaan atau kemusykilan daripada para jemaah.

“Di samping itu, kami mengadakan sesi taklimat secara bersemuka dan berkala bagi memaklumkan jemaah tentang aktiviti atau pergerakan yang akan datang.”

Apabila ditanya perkara yang tidak dapat dilupakan setakat ini, beliau menjawab:

“Melaksanakan umrah pertama sebagai sebahagian rukun haji tamatuk secara bersama sebagai satu keluarga yang lengkap.”

Kini, mereka serta seluruh 900 anggota jemaah haji Singapura sedang bersiap sedia bagi ibadah haji utama, bermula dengan wuquf di Arafah pada 26 Mei bersamaan 9 Zulhijah.