Bantuan pantas pihak berkuasa di Thailand dan Malaysia dalam membantu rakyat Singapura terkandas di Hat Yai yang dilanda banjir, telah membolehkan Singapura memastikan mereka pulang dengan selamat, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Dalam satu hantaran Facebook pada 2 Disember, Encik Wong berkata Singapura “amat berterima kasih” kepada pihak berkuasa kedua-dua negara tersebut.
“Dalam masa memerlukan ini, Singapura bersedia memberikan sokongan sebaik mungkin,” ujar beliau.
Lebih 800 rakyat Singapura telah pulang dari Hat Yai di wilayah Songkhla, kawasan selatan Thailand yang paling teruk terjejas akibat banjir.
Menurut laporan The Straits Times (ST), sebahagian mereka menghadapi beberapa hari tanpa bekalan elektrik, makanan, atau air yang mencukupi.
Encik Wong menambah beliau rasa amat sedih dengan berita banjir teruk yang menjejas masyarakat di Asia Tenggara.
Hampir 900 orang di rantau tersebut terkorban akibat hujan lebat yang memudaratkan, manakala 350 lagi meninggal dunia di Sri Lanka.
“Bagi semua yang terjejas, dan bagi kumpulan petugas berani yang bertungkus-lumus menghadapi banjir bagi memastikan keselamatan orang lain, doa kami bersama anda,” kata Encik Wong.
Banjir juga melanda Indonesia, dengan jumlah kematian akibat limpahan air dan tanah runtuh melebihi 600 orang, serta Malaysia dengan kira-kira 8,500 orang masih tinggal di pusat bantuan sementara pada 2 Disember.
Palang Merah Singapura (SRC) pada 1 Disember berkata ia memperuntukkan $250,000 untuk menyokong lima persatuan palang merah serta bulan sabit di Thailand, Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Sri Lanka, di mana masyarakat mereka terjejas akibat cuaca buruk baru-baru ini.
Sementara itu, Encik Wong menekankan kejadian cuaca keterlaluan itu menjadi peringatan tentang kerentanan bersama negara di rantau ini menghadapi perubahan iklim.
“Perubahan iklim adalah cabaran yang tidak mengenal sempadan dan menjejas setiap daripada kita.
“Kita mesti bekerjasama merentasi semua negara untuk mempercepatkan usaha bersama dan membina masa depan yang lebih berdaya tahan bagi planet kita,” kongsi beliau.
Musim tengkujuh tahunan sering membawa hujan lebat, yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir besar.
Namun, saintis berkata pemanasan global juga meningkatkan risiko banjir kerana peningkatan penyejatan menjadikan ribut lebih kuat, menghasilkan jumlah hujan yang lebih banyak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg