Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cuai melampau punca 107 maut dalam majlis kahwin di Iraq

Oct 2, 2023 | 3:35 PM
BERSIMPATI: Para penganut Kristian menyalakan  lilin tanda simpati kepada para mangsa kebakaran majlis perkahwinan di bandar Hamdaniya, Iraq, pada Sabtu,
BERSIMPATI: Para penganut Kristian menyalakan lilin tanda simpati kepada para mangsa kebakaran majlis perkahwinan di bandar Hamdaniya, Iraq, pada Sabtu, - Foto Reuters

BAGHDAD: Kebakaran di sebuah dewan perkahwinan penuh sesak di sebuah bandar di utara Iraq yang mengorbankan lebih 100 orang lebih disebabkan “kecuaian melampau” dan kekurangan langkah keselamatan, kata hasil siasatan pemerintah terhadap tragedi itu.

Hasil siasatan yang diumumkan pada Ahad oleh Menteri Dalam Negeri, Encik Abdul Amir al-Shammari, mendapati pemilik dewan dan tiga kakitangan lain telah membenarkan 900 orang masuk ke tempat sedangkan ia hanya muat untuk 400 orang.

“Kebakaran itu tidak disengajakan dan berlaku kerana kecuaian yang melampau. Menggunakan hiasan mudah terbakar telah membantu api merebak dengan cepat dan mengubah dewan menjadi bola api,” kata Encik Shammari.

Kebakaran tersebut telah memerangkap jemputan di dalam dewan perkahwinan dan pasukan penyelamat bergelut untuk mendekati mereka kerana sedikit dan kecilnya pintu keluar, tambah beliau.

Sekurang-kurangnya 150 orang cedera dalam kebakaran itu, yang berada di bandar penganut Kristian Hamdaniya - juga dikenali sebagai Qaraqosh.

Menteri Dalam Negeri meletakkan angka kematian pada 107 dan berkata panel penyiasat telah mencadangkan bahawa pemerintah perlu menyediakan sokongan kewangan kepada keluarga yang maut dan cedera.

Dalam laporan media sebelum ini, para anggota keluarga mangsa kebakaran menggesa pemerintah agar lebih bersikap bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut.

Seruan pertanggungjawaban kian meningkat diluahkan oleh para anggota dan pengunjung yang berduka di upacara pengebumian dan peringatan yang penuh sesak di gereja Al-Tahira di Hamdaniya.

Kebakaran itu berlaku selepas bunga api dinyalakan ketika sambutan majlis perkahwinan berlangsung.

Siasatan juga mengesyorkan supaya tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap pegawai tempatan.

Perdana Menteri, Mohammed Shia Al-Sudani sebelum ini melawat mangsa kebakaran di dua hospital tempatan pada Khamis lalu dan berjanji untuk menyiasat pihak yang bertanggungjawab. 

Kementerian Dalam Negeri berkata ia telah menangkap 10 orang berhubung kebakaran itu.

Mereka termasuk pemilik tempat majlis itu dan tiga orang yang terlibat dalam penggunaan bunga api sehingga mencetuskan kebakaran tersebut.

Presiden Abdul Latif Rashid dan Encik Mohammed Shiaa mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kes kebakaran itu. Encik Mohammed Shiaa mengisytiharkan perkabungan negara selama tiga hari. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg