Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cuba batal keputusan pilihan raya: Trump hadapi dakwaan disemak

Aug 28, 2024 | 1:26 PM
Calon presiden Republikan yang juga mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump berucap di Persidangan Agung Pengawal Kebangsaan NGAUS Amerika Syarikat di Detroit, Michigan, 26 Ogos.
Calon presiden Republikan yang juga mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump berucap di Persidangan Agung Pengawal Kebangsaan NGAUS Amerika Syarikat di Detroit, Michigan, 26 Ogos. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berdepan dakwaan yang disemak pada 27 Ogos, yang menuduhnya secara haram cuba membatalkan kekalahannya dalam pilihan raya 2020.

Pendakwa menjuruskan pendekatan mereka selepas Mahkamah Agung memutuskan beliau mempunyai kekebalan luas daripada pendakwaan jenayah.

Pasukan Peguam Khas Amerika, Encik Jack Smith, memperoleh dakwaan pengganti dalam kes Washington itu, walaupun kemungkinan besar perbicaraan tidak akan bermula sebelum pilihan raya 5 November, apabila Encik Trump, calon parti Republikan, berdepan Cik Kamala Harris, Naib Presiden semasa yang mewakili parti Demokrat.

Dakwaan yang disemak itu mengemukakan empat pertuduhan yang sama dengan yang dikenakan pendakwa raya terhadap Encik Trump pada 2023.

Tetapi kali ini, ia memberi tumpuan pada peranan Encik Trump sebagai calon politik yang ingin dipilih semula, bukan sebagai presiden pada masa itu.

Mahkamah Agung memutuskan pada 1 Julai bahawa Encik Trump sekurang-kurangnya dianggap kebal daripada pendakwaan jenayah bagi tindakan yang berada dalam kuasa perlembagaannya sebagai presiden.

Hakim Daerah Tanya Chutkan di Washington dijangka memutuskan dalam beberapa minggu akan datang aspek kes itu yang harus diketepikan berdasarkan keputusan Mahkamah Agung mengenai kekebalan Encik Trump.

Encik Trump dalam satu kenyataan di wadah media Sosial Truth beliau berkata, keputusan kekebalan Mahkamah Agung sepatutnya menyebabkan keseluruhan kes itu dibatalkan.

Beliau menambah: “Smith menulis semula kes yang sama dalam usaha memintas Keputusan Mahkamah Agung.”

Encik Trump telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan awal, mengecam kes itu dan kes lain yang dihadapinya sebagai percubaan bermotif politik untuk menghalangnya kembali berkuasa.

Tinjauan pendapat menunjukkan Cik Harris mendahului Encik Trump dengan kelebihan kecil sejak Presiden Joe Biden menamatkan percubaannya untuk dipilih semula.

Seperti dakwaan pertama, dakwaan yang disemak itu menuduh Encik Trump melakukan konspirasi bagi menyekat pengesahan kekalahannya dalam pilihan raya kepada Encik Biden. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg