SEOUL: Usaha pihak berkuasa Korea Selatan untuk menahan bekas Presiden Yoon Suk Yeol pada 3 Januari 2025 gagal selepas berlaku ketegangan dengan pasukan keselamatan presiden di kediaman rasmi beliau.
Percubaan ini menyusuli deklarasi undang-undang tentera oleh Encik Yoon yang mencetuskan kontroversi besar bulan lalu.
Ratusan penyokong Encik Yoon berkumpul sejak awal pagi di luar kediaman presiden, berikrar untuk menghalang penahanan beliau.
Jumlah penyokong meningkat kepada lebih 1,000 orang menjelang tengah hari, dengan sebahagian daripada mereka melaungkan, “Presiden Yoon Suk Yeol akan dilindungi rakyat,” dan mendesak ketua Pejabat Siasatan Rasuah Pegawai Tertinggi (CIO) ditahan.
Pasukan penyiasat dari CIO, bersama polis dan pendakwa raya, tiba di kediaman Encik Yoon di tengah Seoul sekitar jam 7 pagi waktu tempatan. Namun, mereka menghadapi halangan daripada Pasukan Keselamatan Presiden (PSS) dan tentera yang ditugaskan menjaga keselamatan presiden.
“Usaha untuk melaksanakan waran tangkap tidak dapat diteruskan kerana halangan yang berterusan,” kata CIO dalam kenyataan selepas membatalkan usaha itu sekitar jam 1.30 petang. CIO turut meluahkan kekesalan terhadap sikap Encik Yoon yang tidak memberi kerjasama.
Peguam Encik Yoon, dalam kenyataan pada hari yang sama, menyifatkan pelaksanaan waran tangkap itu sebagai tidak sah dan berjanji akan mengambil tindakan undang-undang. “Waran tangkap ini melanggar undang-undang Korea Selatan,” katanya.
Encik Yoon mencetuskan kejutan pada 3 Disember lalu dengan mengumumkan deklarasi undang-undang tentera bagi menangani kebuntuan politik dan apa yang didakwanya sebagai “ancaman anti-negara.”
Namun, pengumuman itu mendapat tentangan hebat daripada 190 ahli parlimen, yang meluluskan undi menolak langkah tersebut hanya dalam beberapa jam selepas pengumuman Encik Yoon.
Deklarasi itu hanya bertahan selama enam jam sebelum Encik Yoon menarik balik arahan tersebut. Beliau kemudian mempertahankan keputusannya dengan menuduh lawan politik domestik bersikap pro-Korea Utara dan mendakwa tanpa bukti bahawa terdapat manipulasi pilihan raya.
Dua pegawai tentera, termasuk Ketua Tentera Park An-su, yang dinamakan sebagai komander undang-undang tentera semasa deklarasi itu, telah didakwa atas tuduhan pemberontakan.
Bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, yang memainkan peranan utama dalam deklarasi tersebut, juga telah ditahan dan didakwa atas tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Tuduhan pemberontakan adalah antara beberapa kesalahan jenayah yang tidak memberi kekebalan kepada seorang presiden Korea Selatan. “Langkah ini penting untuk memastikan keadilan ditegakkan,” kata seorang pegawai pendakwaan kepada media tempatan.
Encik Yoon, yang dipecat melalui proses pendakwaan pada 14 Disember, kini menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan sama ada akan dikembalikan jawatan atau disingkirkan secara kekal. Sesi pendengaran kedua kes itu dijadualkan berlangsung pada 3 Januari.
Penyokong setia Encik Yoon, seperti Pyeong In-su, 71 tahun, percaya bahawa “rakyat patriotik” akan terus melindungi bekas presiden itu. Sambil mengibarkan bendera Korea Selatan dan Amerika Syarikat, Encik Pyeong menyatakan harapan agar Donald Trump, presiden AS yang bakal dilantik, dapat membantu memulihkan situasi politik Korea Selatan.
“Trump boleh menggunakan pengaruhnya untuk membawa negara kami ke landasan yang betul,” kata Encik Pyeong, yang mencerminkan pandangan segelintir penyokong Yoon yang masih yakin pada kebolehannya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg