SEOUL: Pegawai siasatan Korea Selatan berkata pada 1 Januari bahawa mereka akan melaksanakan waran tangkap untuk Presiden Yoon Suk Yeol berhubung perbuatannya mengisytiharkan undang-undang tentera sebelum tarikh akhir pada 6 Januari.
Ini sedang penyokong pemimpin yang digantung tugas itu berhimpun di luar kediamannya, menyekat pergerakan polis.
Penyokong dan penentang Encik Yoon - yang digantung tugas daripada jawatannya oleh penggubal undang-undang dek percubaannya untuk menumbangkan pemerintahan awam pada Disember - telah berkhemah di luar perkarangan tempat beliau berkurung selama berminggu-minggu, menangkis usaha pegawai siasatan untuk menyoalnya.
Pejabat Siasatan Rasuah (CIO) meminta waran itu selepas Encik Yoon gagal melaporkan diri untuk disoal siasat buat kali ketiga, tetapi tidak jelas sama ada mereka boleh melaksanakannya, kerana Perkhidmatan Keselamatan Presiden sebelum ini enggan mematuhi waran geledah.
Ketua CIO Oh Dong-woon berkata pada 1 Januari bahawa waran itu akan dilaksanakan “dalam tempoh tarikh akhir”, iaitu pada 6 Januari.
“Kami menyasarkan proses berjalan lancar tanpa gangguan besar, tetapi kami juga sedang menyelaraskan usaha untuk menggerakkan polis dan anggota sebagai persediaan,” katanya kepada wartawan.
Beliau juga memberi amaran bahawa sesiapa yang cuba menghalang pihak berkuasa daripada menangkap Encik Yoon boleh menghadapi pendakwaan.
“Kami menganggap tindakan seperti memasang pelbagai penghadang dan mengunci pagar besi untuk menentang pelaksanaan waran tangkap kami sebagai menghalang tugas rasmi,” kata beliau.
Sesiapa yang melakukan perkara itu “boleh didakwa di bawah tuduhan menyalahgunakan kuasa yang mengganggu pelaksanaan hak dan menghalang tugas rasmi dengan cara khas”, tambahnya.
Difahami, waran tangkap itu sah sehingga 6 Januari dan memberikan penyiasat 48 jam untuk menahan Yoon. Menyusuli itu, penyiasat perlu memutuskan sama ada untuk membebaskannya atau memohon waran penahanan.
Pasukan undang-undang Encik Yoon menyifatkan perintah tangkap itu sebagai “tidak sah” dan memohon injunksi untuk membatalkannya, dengan penyokong Encik Yoon bergegas membela beliau.
Di luar pekarangan presiden di kawasan pusat Seoul pada 1 Januari, berpuluh-puluh penyokong Encik Yoon meluahkan kemarahan kepada polis.
Pada satu ketika, ada yang cuba menembusi kepungan dan menyekat bas polis daripada meletak kenderaan berhampiran pintu masuk – kerana disangka pasukan yang mungkin dihantar untuk menangkap Encik Yoon.
Polis dihantar ke kawasan itu secara beramai-ramai dan boleh dilihat menjerit kepada penunjuk perasaan supaya kekal teratur, tetapi laluan keluar masuk dari kediaman Encik Yoon masih tiada halangan.
Pegawai Korea Selatan sebelum ini gagal melaksanakan waran tangkap bagi penggubal undang-undang – pada 2000 dan 2004 kerana anggota parti dan penyokong menghalang polis daripada masuk untuk tempoh tujuh hari waran itu sah.
Encik Yoon telah dilucutkan daripada tugas presidennya oleh Parlimen dan menghadapi tuduhan jenayah pemberontakan, yang boleh membawa kepada hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Pada 1 Januari, majoriti baki kakitangan Encik Yoon, termasuk ketua staf dan penasihat khasnya, menyerahkan peletakan jawatan mereka kepada Pemangku Presiden Choi Sang-mok – yang menolak peletakan jawatan tersebut, dan sebaliknya menyeru kepada perpaduan.
“Ini masanya untuk kita bersatu demi kestabilan kehidupan rakyat dan hal ehwal negara,” katanya. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg