SEOUL: Mahkamah Korea Selatan mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden yang digantung tugas, Encik Yoon Suk Yeol, atas dakwaan percubaan untuk mengisytiharkan undang-undang tentera.
Presiden Yoon dilucutkan kuasa oleh Parlimen awal Disember selepas cuba menggantung pentadbiran awam, namun keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai pengesahan pemecatannya masih belum diumumkan.
“Waran tangkap dan geledah terhadap Yoon Suk Yeol yang dimohon oleh Ibu Pejabat Siasatan Bersama telah diluluskan pagi ini,” kata pihak penyiasat dalam satu kenyataan pada 31 Disember.
Encik Yoon, pemimpin konservatif, berdepan tuduhan jenayah pemberontakan, yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Waran tangkap itu dimohon pada 30 Disember selepas Encik Yoon gagal menghadiri sesi soal siasat untuk kali ketiga.
“Terdapat kebimbangan bahawa beliau mungkin enggan bekerjasama dengan panggilan siasatan tanpa alasan yang munasabah,” kata seorang pegawai Pejabat Siasatan Rasuah.
Namun, peguam Encik Yoon menyifatkan waran tersebut sebagai “tidak sah dan tidak berasas”.
“Waran ini dikeluarkan oleh agensi tanpa kuasa siasatan yang sah,” kata peguam Yoon, Encik Yoon Kab-keun, dalam kenyataan kepada agensi berita, AFP.
Walaupun waran telah dikeluarkan, pelaksanaannya masih menjadi tanda tanya. Perkhidmatan keselamatan presiden sebelum ini enggan mematuhi tiga waran geledah terdahulu.
“Langkah keselamatan berkaitan pelaksanaan waran akan dijalankan mengikut prosedur undang-undang,” kata kenyataan perkhidmatan keselamatan kepada media tempatan.
Namun, seorang peguam, Encik Yun Bok-nam, menyatakan bahawa tidak ada asas undang-undang untuk menolak pelaksanaan waran tangkap.
“Proses ini dijangka berjalan lancar,” katanya, sambil menambah bahawa waran biasanya sah selama tujuh hari.
Pada awal pagi 31 Disember, polis ditempatkan di luar kediaman Encik Yoon di pusat bandar Seoul untuk mengelakkan kejadian pergaduhan antara penyokong dengan penunjuk perasaan yang menuntut penggulingannya.
“Sehingga 3,000 orang akan turun ke jalan untuk membantah waran tangkap yang dianggap tidak sah ini,” kata seorang pegawai kumpulan pro-Yoon.
Namun, media tempatan melaporkan sebarang tindakan segera untuk menangkap atau menggeledah kediaman Presiden adalah tidak mungkin berlaku kerana penyiasat akan berunding dengan perkhidmatan keselamatan Presiden.
Encik Yoon sedang disiasat oleh pasukan gabungan yang melibatkan pendakwa raya, polis dan pegawai kementerian pertahanan serta antirasuah.
Menurut laporan pendakwa raya yang diperoleh AFP, Encik Yoon didakwa mengarahkan tentera untuk menggunakan senjata jika diperlukan bagi memasuki Parlimen semasa percubaan undang-undang tentera yang gagal pada 3 Disember.
“Laporan ini adalah pandangan berat sebelah yang tidak mencerminkan keadaan sebenar,” kata peguam Encik Yoon, menolak dakwaan tersebut.
Pengganti sementara Encik Yoon, Encik Han Duck-soo, turut dipecat oleh Parlimen kerana gagal meluluskan rang undang-undang untuk menyiasat tindakan Encik Yoon.
Menteri Kewangan, Encik Choi Sang-mok, kini mengambil alih sebagai pemangku Presiden dan menghadapi cabaran besar, termasuk nahas pesawat Jeju Air yang mengorbankan 179 nyawa. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg