LA PAZ, Bolivia: Angkatan bersenjata Bolivia berundur dari istana presiden di La Paz pada petang 26 Jun dan seorang jeneral ditahan, selepas Presiden Luis Arce mengutuk percubaan “rampasan kuasa” terhadap pemerintah dan meminta sokongan antarabangsa.
Pada awal Rabu, unit tentera yang diketuai oleh Jeneral Juan Jose Zuniga, yang baru-baru ini dilucutkan kuasa tenteranya, telah berhimpun di dataran tengah Plaza Murillo, tempat terletaknya istana presiden dan juga parlimen.
Seorang anggota agensi berita Reuters yang melihat keadaan di situ menyaksikan sebuah kenderaan berperisai merempuh pintu istana presiden dan tentera bergegas masuk.
“Hari ini negara sedang menghadapi cubaan rampasan kuasa. Hari ini negara menghadapi ujian sekali lagi untuk menamatkan demokrasi di Bolivia,” kata Encik Arce dalam komen beliau dari istana presiden, dengan askar bersenjata berada di luar bangunan.
“Rakyat Bolivia diseru hari ini. Kami memerlukan rakyat Bolivia untuk mengatur pergerakan menentang rampasan kuasa dan memihak kepada demokrasi.”
Beberapa jam kemudian, seorang saksi Reuters melihat askar berundur dari dataran dan polis mengawal plaza itu.
Pihak berkuasa Bolivia menangkap Encik Zuniga dan membawanya pergi, tetapi tidak jelas ke mana dibawanya.
Di dalam istana presiden, Encik Arce mengadakan upacara mengangkat sumpah melantik Encik José Wilson Sanchez sebagai komander tentera – mengambil alih peranan Jeneral Zuniga.
“Saya mengarahkan supaya semua kakitangan yang digerakkan di jalanan kembali ke unit mereka,” kata Encik Sanchez. “Kami memohon agar darah tentera kami tidak tertumpah.”
Amerika Syarikat berkata ia memantau keadaan dengan teliti dan menggesa agar bertenang dan menahan diri.
Ketegangan semakin memuncak di Bolivia menjelang pilihan raya umum pada 2025, dengan bekas Presiden berhaluan kiri, Encik Evo Morales, merancang untuk menentang bekas sekutu Arce, mewujudkan keretakan besar dalam parti sosialis yang memerintah, dan ketidaktentuan politik yang lebih meluas.
Ramai tidak mahu Encik Morales kembali, yang memerintah dari 2006-2019 apabila beliau digulingkan di tengah-tengah protes yang meluas dan digantikan oleh pemerintah konservatif sementara.
Encik Arce kemudian menang pilihan raya pada 2020.
Encik Zuniga berkata baru-baru ini bahawa Encik Morales sepatutnya tidak boleh kembali sebagai presiden dan mengancam untuk menghalangnya jika beliau cuba melakukannya, yang menyebabkan Arce memecatnya daripada jawatannya.
Menjelang serangan ke istana presiden, Encik Zuniga bercakap kepada pemberita di dataran dengan menyebut tentang kemarahan yang semakin meningkat di negara itu yang telah bergelut dengan kemerosotan ekonomi, dengan rizab bank pusat semakin merosot dan tekanan ke atas mata wang Bolivia kerana eksport gas telah kering.
“Tiga ketua angkatan tentera telah datang untuk menyatakan kekecewaan. Akan ada kabinet menteri baru; sudah pasti perkara akan berubah, tetapi negara kita tidak boleh terus begini lagi,” kata Encik Zuniga kepada stesen TV tempatan. – Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg