JAKARTA: Polis Nasional Indonesia (Polri) sekali lagi menjadi perhatian susulan dakwaan pengintipan komunikasi tanpa kebenaran yang menyasarkan Presiden Prabowo Subianto dan beberapa tokoh penting negara itu, sekali gus menambah senarai skandal besar membabitkan pegawai kanannya sejak dua dekad lalu.

Kontroversi terbaru itu menyusuli beberapa kes berprofil tinggi yang pernah menggegarkan institusi polis Indonesia, termasuk rasuah, pembunuhan terancang dan pengedaran dadah.

Kes tersebut bukan sahaja menjejas keyakinan masyarakat terhadap Polri, malah menimbulkan persoalan mengenai penyalahgunaan kuasa, keberkesanan pengawasan dalaman dan keupayaan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pegawai berpangkat tinggi.

Menurut laporan Tempo, Badan Siasatan Jenayah Polri (Bareskrim) pada 3 November mengenal pasti tiga suspek, termasuk bekas Ketua Polri, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, dalam siasatan dakwaan pemintasan komunikasi secara tidak sah antara 2025 dengan 2026.

Dua lagi suspek ialah Ketua Bahagian Undang-Undang Polri, Inspektor Jeneral Ahrie Sonta, dan tenaga pengajar kanan Sekolah Kepimpinan Polis, Inspektor Jeneral Eko Hadi.

Ketua Bareskrim, Pesuruhjaya Jeneral Asep Safrudin, berkata siasatan awal mendapati beberapa nombor telefon dimasukkan ke dalam Sistem Pengurusan Pemintasan Sah (LIMS) milik polis tanpa melalui prosedur yang diwajibkan.

“Beberapa nombor dimasukkan ke dalam pelayan LIMS tanpa pengesahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polri, Jakarta.

Menurutnya, kegiatan pemintasan komunikasi itu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan jenayah yang sah.

Selain Presiden Prabowo, sasaran pengintipan dipercayai merangkumi pegawai pemerintah, ahli politik, wartawan, pertubuhan masyarakat, badan bukan pemerintah dan ahli perniagaan.

Penyiasat turut menemui petunjuk bahawa rekod pemintasan komunikasi dipadam daripada sistem komputer pada Oktober lalu bagi menghapuskan bukti kegiatan tersebut.

Kes itu terbongkar selepas seorang pegawai melaporkan kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa dalaman pada 30 Oktober.

Susulan laporan tersebut, penyiasat menyoal 10 saksi dan tiga saksi pakar serta merampas 11 telefon bimbit, sebuah iPad dan empat pemacu kilat.

Bagaimanapun, Encik Listyo dan Encik Eko belum memberikan maklum balas terhadap permintaan Tempo untuk mendapatkan ulasan.

Peguam Encik Ahrie, Encik Krisna Murti, pula menafikan anak guamnya terlibat dalam pemintasan komunikasi Presiden Prabowo atau pegawai Istana Presiden.

Menurutnya, Encik Ahrie hanya menjalankan arahan pegawai atasan untuk menganalisis nombor telefon yang diberikan kepadanya.

Ketiga-tiga suspek disiasat atas dakwaan pemintasan komunikasi secara tidak sah, akses tanpa kebenaran kepada sistem elektronik dan pemusnahan data digital.

Kesalahan tersebut masing-masing boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, enam tahun dan lapan tahun.

Bagaimanapun, siasatan masih di peringkat awal dan belum ada sabitan jenayah terhadap ketiga-tiga suspek.

Skandal terbaru itu mengingatkan masyarakat Indonesia kepada beberapa kes besar yang pernah membabitkan pegawai tertinggi Polri.

Antaranya kes bekas Ketua Polri, Rusdihardjo, yang menerajui pasukan keselamatan tersebut dari 2000 hingga 2001.

Beliau kemudian disabitkan kesalahan rasuah berkaitan kutipan bayaran visa secara tidak sah ketika berkhidmat sebagai Duta Indonesia ke Malaysia antara 2004 dengan 2006.

Walaupun kesalahan itu berlaku selepas beliau meninggalkan jawatan ketua polis, kes tersebut mendapat perhatian kerana membabitkan bekas pemimpin tertinggi institusi berkenaan.

Seorang lagi pegawai kanan, Susno Duadji, yang pernah mengetuai Bareskrim, turut dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam kes rasuah.

Kes itu menimbulkan persoalan mengenai integriti pegawai yang diberi tanggungjawab menyiasat jenayah dan memastikan undang-undang dipatuhi.

Pada 2022, Polri berdepan satu lagi skandal besar apabila Ferdy Sambo, jeneral polis berpangkat dua bintang yang mengetuai Bahagian Hal Ehwal Dalaman, dikaitkan dengan pembunuhan pegawai bawahannya, Brigedier Nofriansyah Yosua Hutabarat.

Kes tersebut mengejutkan masyarakat selepas penyiasat mendedahkan usaha menyembunyikan keadaan sebenar pembunuhan itu, termasuk penglibatan beberapa pegawai polis dalam menghalang siasatan.

Ferdy didapati bersalah melakukan pembunuhan terancang dan dijatuhi hukuman mati pada Februari 2023.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung Indonesia kemudian mengurangkan hukumannya kepada penjara seumur hidup.

Skandal itu menimbulkan persoalan serius mengenai budaya melindungi pegawai atasan dan keupayaan penyiasat menjalankan tugas tanpa campur tangan pihak berkepentingan.

Satu lagi kes besar membabitkan Teddy Minahasa Putra, jeneral polis berpangkat dua bintang yang ditangkap pada 2022 kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Teddy, yang pernah memegang jawatan kanan dalam pasukan polis wilayah, didapati terlibat dalam pengedaran methamphetamine atau syabu yang berasal daripada bekalan dadah rampasan polis.

Beliau disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2023.

Kes itu menjejas imej Polri kerana membabitkan pegawai yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang dadah, tetapi sebaliknya menyalahgunakan kedudukannya untuk kegiatan jenayah.

Berbeza dengan kes rasuah, pembunuhan dan pengedaran dadah yang telah menghasilkan sabitan jenayah, siasatan terbaru berhubung dakwaan pengintipan Presiden Prabowo masih belum selesai.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polri, Inspektor Jeneral Johnny Eddizon Isir, menegaskan bahawa pihaknya memandang serius dakwaan penyalahgunaan sistem keselamatan dan akan menjalankan siasatan secara profesional, objektif serta telus.

Sementara itu, Bareskrim masih belum mendedahkan jumlah sebenar nombor telefon yang dipantau, maklumat yang diperoleh atau motif di sebalik kegiatan tersebut.

Kes terbaru itu sekali lagi menguji komitmen Polri untuk memastikan semua pegawainya, termasuk mereka yang pernah memegang jawatan tertinggi, bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing tanpa mengira pangkat atau kedudukan. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti