Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo jalankan reformasi polis, lakukan rombakan tangani protes negara

Sep 18, 2025 | 11:39 AM
Prabowo, Indonesia, perubahan, kabinet
Upacara pelantikan menteri baru berlangsung di Kompleks Istana Kepresidenan Jakarta pada 18 September dengan menyaksikan Erick Thohir dilantik bagi jawatan Menteri Pemuda dan Olahraga, menggantikan Encik Dito Ariotedjo bagi baki tempoh 2024 hingga 2029. - Foto INSTAGRAM PRABOWO SUBIANTO

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dilaporkan sedang bersiap menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Polis bagi menjawab desakan awam yang semakin lantang berhubung tindakan keras pihak polis menangani protes besar-besaran bulan Oktober lalu.

Encik Prabowo dilaporkan menandatangani draf dekri presiden yang akan mewujudkan sebuah suruhanjaya khas untuk merangka perubahan menyeluruh dalam institusi kepolisian negara.

Desakan reformasi semakin meningkat selepas seorang pemandu penghantaran ojek maut dilanggar kenderaan perisai polis semasa tunjuk perasaan pada 28 Ogos di Jakarta, insiden yang mencetuskan gelombang kemarahan dan protes meluas mengenai ketidakadilan sosial serta kekerasan pasukan keselamatan.

Menteri Penyelaras Undang-undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Perkhidmatan Koreksional, Encik Yusril Ihza Mahendra, mengesahkan perkara itu.

“Dekri presiden sedang disiapkan dan ahli suruhanjaya mungkin akan dilantik dalam satu atau dua hari akan datang,” katanya dipetik Antara.

Beliau menjelaskan jawatankuasa ini akan diberi kuasa untuk merangka cadangan reformasi sebelum diserahkan kepada presiden.

“Kita akan lihat dalam dekri nanti tempoh masa tugasan mereka. Kemungkinan besar ia mengambil masa beberapa bulan,” ujarnya, sambil menambah hasil kerja suruhanjaya itu akan dimasukkan ke dalam pindaan Undang-Undang Polis 2002, yang kini berada dalam senarai keutamaan di Parlimen.

Ketua Polis Negara, Encik Listyo Sigit Prabowo, menyatakan kesediaan untuk menerima dasar baharu itu. “Sejak awal, kami sentiasa terbuka, khususnya dengan jawatankuasa dan penasihat presiden. Sudah tentu kami membuka ruang untuk input dan penambahbaikan. Kami akan terus melakukan ini,” katanya di Istana Presiden pada Rabu, 18 September.

Encik Listyo juga menegaskan polis sedia menerima kritikan daripada masyarakat. “Ini bermakna institusi Polri terbuka terhadap penilaian daripada luar untuk terus memperbaiki kegiatan kami, sesuai dengan apa yang diharapkan rakyat,” ujarnya.

Langkah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Polis berlaku seiring dengan rombakan kabinet kedua dalam tempoh seminggu.

Pada 17 September Encik Prabowo melantik beberapa sekutu rapat ke jawatan strategik bagi mengukuhkan kuasanya di tengah krisis kepercayaan awam.

Antara pelantikan utama ialah Encik Djamari Chaniago, bekas jeneral tentera tiga bintang dan ahli politik Parti Gerindra, sebagai Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan yang baru.

Beliau menggantikan Encik Budi Gunawan, yang disingkirkan selepas didakwa gagal mengawal rusuhan pada hujung Ogos.

Pejabat Komunikasi Presiden dirombak dan dijenamakan semula sebagai Pejabat Komunikasi Pemerintah (GCO).

Encik Hasan Nasbi, sekutu bekas Presiden Joko Widodo, digugurkan dan diganti oleh Encik Angga Raka Prabowo, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital serta tokoh kempen utama Encik Prabowo.

“Selepas penilaian, kami melihat keperluan untuk penambah baikan komunikasi, bukan sahaja mewakili presiden, tetapi juga menyelaras komunikasi pemerintah dengan lebih luas,” kata Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi.

Encik Angga pula menegaskan tugas barunya adalah memastikan mesej pemerintah dengan lebih seragam. “Matlamatnya adalah memastikan program presiden disampaikan dengan jelas kepada rakyat, sambil menjadi jambatan untuk mendengar suara masyarakat,” katanya.

Antara wajah baru dalam pemerintah ialah Encik Ahmad Dofiri, bekas jeneral polis, yang dilantik sebagai penasihat khas presiden bagi urusan ketenteraman awam dan reformasi polis.

Pelantikan ini dilihat selaras dengan tuntutan reformasi susulan kritikan keras terhadap cara polis menangani tunjuk perasaan.

Encik Prabowo turut memperluas struktur Badan Gizi Nasional (BGN), agensi yang menguruskan program makan berkhasiat percuma salah satu projek utama beliau dengan melantik dua timbalan ketua baru.

Penganalisis politik Encik Agung Baskoro dari Trias Politika Strategis berkata rombakan kabinet ini mencerminkan usaha Encik Prabowo menyeimbangkan kepentingan politik sambil mengekalkan pengaruh kelompok dalaman beliau.

“Dengan sekutu rapat mengisi jawatan strategik, jelas bahawa lingkaran Hambalang (kelompok politik dalaman Prabowo) kini memainkan peranan lebih besar. Tujuannya supaya sebarang protes awam pada masa depan dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Encik Arya Fernandes dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) pula menilai langkah itu sebagai cara Encik Prabowo menunjukkan keupayaannya menilai dan mengganti menteri demi memastikan kestabilan. “Rombakan ini adalah tindak balas terhadap situasi domestik semasa dan usaha membina semula kepercayaan awam,” katanya.

Beliau menambah, dalam sistem pelbagai parti yang kompleks, Encik Prabowo terpaksa memenuhi kepentingan politik pelbagai kumpulan, tetapi pada masa sama mahu memastikan jawatan utama dipimpin tokoh setia dari lingkarannya sendiri.

Rombakan ini dijangka menjadi antara langkah awal Encik Prabowo dalam menyusun semula pasukan pentadbirannya menjelang tahun pertama pemerintahan.

Pada 8 September lalu, Encik Prabowo melakukan Kabinet Merah Putih dengan pelantikan baru dalam Kementerian Kewangan, Kementerian Perlindungan Pekerja Migran dan Kementerian Koperasi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg