Topik diikuti
Pergi ke BHkuDakwaan UAE bantu tentera di Sudan jejas peluang diplomat Dubai terajui PBB
Dakwaan UAE bantu tentera di Sudan jejas peluang diplomat Dubai terajui PBB
NEW YORK: Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa mengupah tentera upahan dari Colombia untuk membantu Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di Sudan, sebuah kumpulan separa tentera yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman terhadap orang awam.
Dakwaan itu terkandung dalam laporan sulit penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diserahkan kepada Majlis Keselamatan badan dunia itu.
Laporan tersebut memperincikan bagaimana sebuah syarikat keselamatan UAE yang mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah negara itu mengatur penghantaran tentera upahan Colombia ke Sudan melalui kawasan yang dikuasai sekutu Abu Dhabi di Libya dan Somalia.
Penemuan itu dianggap antara bukti paling terperinci setakat ini mengenai dakwaan penglibatan UAE dalam perang saudara Sudan yang bermula pada 2023.
UAE sebelum ini berulang kali dituduh membekalkan senjata, dron dan bantuan ketenteraan kepada RSF, sekali gus memanjangkan konflik yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa.
Bagaimanapun, pemerintah UAE menafikan menyokong mana-mana pihak dalam peperangan itu atau cuba menghalang siasatan PBB.
Menurut laporan penyiasat PBB, tentera upahan Colombia yang dikenali sebagai Desert Wolves atau Serigala Gurun, diambil bekerja oleh Global Security Services Group, sebuah syarikat keselamatan swasta yang berpangkalan di Abu Dhabi.
Syarikat itu mempunyai hubungan politik, perniagaan dan kekeluargaan dengan tokoh kanan keluarga pemerintah UAE.
Rekod menunjukkan syarikat tersebut diasaskan seorang pegawai kanan pejabat Presiden UAE.
Dalam laman webnya, syarikat itu turut menggambarkan dirinya sebagai penyedia perkhidmatan keselamatan pilihan Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Presiden UAE.
Penyiasat PBB sebelum ini mendapati tentera upahan Colombia menjalani latihan di dua pangkalan tentera di Abu Dhabi sebelum dihantar ke Sudan.
Mereka didakwa mengendalikan dron, melatih anggota RSF dan memberikan sokongan artileri ketika kumpulan itu mengepung bandar El Fasher tahun lalu.
Dalam laporan yang dikemukakan pada Julai, penyiasat PBB menyatakan secara jelas bahawa UAE membantu RSF dengan menyediakan tentera upahan.
Bagaimanapun, usaha menerbitkan laporan itu dihalang di Majlis Keselamatan selepas Bahrain membantah kandungannya.
Seorang pegawai kanan PBB dan diplomat serantau mendakwa Bahrain bertindak atas permintaan UAE.
Abu Dhabi menolak dakwaan tersebut, manakala Kementerian Luar Bahrain tidak memberikan maklum balas.
Pendedahan terbaru itu muncul ketika diplomat kanan UAE, Cik Lana Zaki Nusseibeh, bersaing untuk menjadi Setiausaha Agung PBB yang baharu.
Cik Nusseibeh, 48 tahun, pernah mewakili UAE di PBB selama lebih sedekad sebelum kembali ke Abu Dhabi pada 2024.
Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri tahun lalu.
Sejak muncul sebagai calon pada Oktober, rekod diplomatik beliau dalam mempertahankan pendirian UAE mengenai Sudan mendapat perhatian semakin meluas.
Pengkritik mendakwa beliau berusaha menafikan atau memperkecilkan bukti mengenai sokongan UAE kepada RSF, selain cuba mempengaruhi siasatan antarabangsa terhadap tindakan negaranya.
Pegawai Human Rights Watch, Encik Bruno Stagno Ugarte, berkata Cik Nusseibeh telah memainkan peranan mempertahankan imej UAE walaupun terdapat semakin banyak bukti mengenai penglibatan negara itu dalam konflik di Sudan dan Yaman.
Menurutnya, pencalonan beliau menimbulkan persoalan sama ada Cik Nusseibeh mampu mempertahankan kebebasan dan kewibawaan badan penyiasat PBB.
Bekas penganalisis Agensi Risikan Pusat (CIA), Encik Cameron Hudson, turut mempersoalkan kesesuaian beliau menerajui badan dunia itu.
Beliau mendakwa Cik Nusseibeh memainkan peranan penting dalam mengaburkan penglibatan UAE dalam kekejaman di Sudan.
Bagaimanapun, Cik Nusseibeh menegaskan bahawa usaha menamatkan peperangan Sudan akan menjadi keutamaannya sekiranya dipilih sebagai Setiausaha Agung PBB.
Dalam maklum balas melalui e-mel, beliau berikrar akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kuasa asing yang dikenal pasti penyiasat PBB sebagai pihak yang memburukkan konflik.
“Sudan akan menjadi ujian penting bagi Setiausaha Agung yang seterusnya,” katanya.
UAE menegaskan negaranya hanya menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Sudan dan tidak memberikan sokongan ketenteraan kepada RSF.
Pemerintah UAE juga memberitahu PBB bahawa syarikat keselamatan yang dinamakan dalam laporan sulit itu tidak menghantar tentera upahan ke Sudan atau melanggar undang-undang negara tersebut.
Namun beberapa bekas pegawai Amerika mendakwa Cik Nusseibeh pernah menggesa sekutu asing menerima pendirian UAE bahawa negara itu berkecuali dalam konflik Sudan.
Laporan itu turut mengaitkan UAE dengan usaha mempengaruhi siasatan PBB mengenai tindakan negara tersebut di Libya dan Yaman.
Pada November 2025, Cik Nusseibeh dilaporkan mengetuai usaha diplomatik UAE untuk mempengaruhi anggota Parlimen Eropah ketika mereka membincangkan ketetapan mengecam kekejaman di Sudan.
Ketetapan itu akhirnya diluluskan tanpa menyebut UAE.
Pendedahan terbaru mengenai tentera upahan Colombia dijangka meningkatkan tekanan terhadap Abu Dhabi, khususnya ketika masyarakat antarabangsa terus mencari jalan menamatkan perang saudara Sudan.
Ia juga meletakkan pencalonan Cik Nusseibeh sebagai ketua PBB di bawah penelitian lebih ketat, dengan pengkritik mempersoalkan sama ada beliau mampu memimpin badan dunia itu secara bebas daripada kepentingan negaranya. - Agensi berota