NEW YORK: Seorang diplomat kanan Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang berketurunan Palestin muncul sebagai pencabar baru dalam perebutan jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika persaingan mencari pengganti Encik Antonio Guterres semakin sengit.

Cik Lana Nusseibeh, 48 tahun, yang pernah menjadi Wakil Tetap UAE ke PBB, mengemukakan pencalonannya pada 21 Oktober dengan janji mempercepat usaha keamanan dunia, mempertahankan hak asasi manusia dan memulihkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap badan dunia itu.

Pencalonannya mendapat sokongan negara-negara Teluk serta Palestin, sekali gus menjadikannya antara calon yang mendapat perhatian dalam persaingan tersebut.

Sekiranya berjaya, beliau akan mencatat sejarah sebagai wanita pertama dan individu kedua dari dunia Arab dilantik menerajui PBB.

Namun, pencalonannya turut mencetuskan kontroversi berhubung hubungan diplomatik UAE dengan Israel serta dakwaan negara itu membekalkan senjata kepada kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang terbabit dalam perang saudara Sudan.

UAE berulang kali menafikan dakwaan tersebut.

Cik Nusseibeh, yang dilahirkan di Abu Dhabi pada 1978, berasal daripada keluarga Palestin terkemuka yang mempunyai hubungan sejarah dengan Baitulmakdis.

Bapanya, Encik Zaki Nusseibeh, berhijrah ke UAE selepas perang Arab-Israel pada 1967 dan pernah menjadi penasihat serta jurubahasa kepada pengasas UAE, Allahyarham Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.

Beliau mendapat pendidikan di Universiti Cambridge dan memiliki dua ijazah sarjana, termasuk dalam bidang pengajian Israel dan diaspora Yahudi dari Universiti London.

Sepanjang kerjayanya, Cik Nusseibeh dikenali sebagai diplomat berpengalaman yang memainkan peranan penting dalam rundingan antarabangsa, khususnya berkaitan konflik Gaza.

Ketika menjadi Wakil Tetap UAE ke PBB dari 2013 hingga 2024, beliau membantu mendapatkan sokongan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan memperjuangkan penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.

Bekas penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat, Encik Brett McGurk, memuji sumbangannya dalam memperluas bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Menurut beliau, kejayaan UAE muncul sebagai antara penyumbang utama bantuan kemanusiaan ke Gaza banyak didorong usaha diplomatik Cik Nusseibeh.

Encik Nickolay Mladenov, yang mengetuai usaha berkaitan Gaza di bawah Lembaga Keamanan pimpinan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, turut menyifatkannya sebagai diplomat yang mampu membina hubungan antara pihak yang mempunyai pendirian berbeza.

Beliau berkata Cik Nusseibeh sentiasa menunjukkan ketekunan dan profesionalisme ketika berdepan rundingan sukar.

Dalam kenyataan visinya, Cik Nusseibeh menegaskan cabaran terbesar PBB ialah memulihkan kepercayaan negara anggota terhadap kerjasama antarabangsa.

Menurutnya, negara-negara masih memerlukan kerjasama, tetapi semakin kurang yakin bahawa kerjasama itu mampu menghasilkan manfaat yang diharapkan.

Oleh itu, beliau mahu PBB memberikan hasil yang lebih cepat, berkesan dan realistik.

Bagaimanapun, pencalonannya menerima tentangan daripada aktivis hak asasi manusia yang mempersoalkan rekod UAE, khususnya berhubung perang Sudan.

Sejak April 2023, Sudan dilanda peperangan antara tentera pemerintah dengan RSF, menyebabkan kematian ribuan penduduk dan mencetuskan antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.

Laporan panel pakar PBB pada Januari 2024 menyifatkan dakwaan mengenai penyeludupan senjata dari UAE kepada RSF melalui negara jiran sebagai boleh dipercayai.

Bekas Pengarah Eksekutif Human Rights Watch, Encik Kenneth Roth, antara pengkritik utama pencalonan Cik Nusseibeh, khususnya kerana beliau mempertahankan penafian UAE mengenai sokongan ketenteraan dan kewangan kepada RSF.

Seorang ahli akademik UAE, Encik Abdulkhaleq Abdulla, menyifatkan Cik Nusseibeh sebagai calon berkelayakan tinggi yang mencerminkan kekuatan diplomasi negaranya.

Beliau mengakui isu Sudan akan terus menjadi cabaran, tetapi menegaskan UAE sudah berulang kali menafikan dakwaan membekalkan senjata atau membiayai RSF.

Selain Sudan, hubungan UAE dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham pada 2020 turut menjadi perhatian.

Walaupun Cik Nusseibeh dikenali sebagai penyokong perjuangan Palestin, pendiriannya mempertahankan hubungan diplomatik UAE-Israel menerima kritikan daripada sebahagian aktivis pro-Palestin.

Persaingan jawatan Setiausaha Agung PBB kini semakin rumit selepas beberapa pusingan undian tidak rasmi Majlis Keselamatan gagal menghasilkan calon yang mendapat sokongan jelas.

Antara pencabar lain ialah Cik Rebeca Grynspan dari Costa Rica, Encik Rafael Grossi dari Argentina dan Cik María Fernanda Espinosa dari Ecuador.

Cik Grynspan mendahului undian pada 16 Oktober, tetapi menerima bantahan daripada dua anggota tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa veto.

Negara-negara Amerika Latin dan Caribbean turut membantah kemasukan lewat Cik Nusseibeh kerana berpendapat jawatan itu sepatutnya diberikan kepada calon dari rantau mereka berdasarkan amalan penggiliran wilayah.

Namun, Duta Amerika ke PBB, Encik Mike Waltz, menegaskan pemilihan perlu mengutamakan calon terbaik, bukannya berdasarkan wilayah atau jantina.

Dengan Encik Guterres dijadual menamatkan perkhidmatannya pada akhir tahun ini, pencalonan Cik Nusseibeh dijangka menguji sejauh mana pengalaman diplomatiknya mampu mengatasi pertikaian politik yang membayangi UAE.

Keputusan akhirnya bergantung pada sama ada beliau dapat meraih sokongan anggota Majlis Keselamatan, khususnya lima kuasa tetap yang mempunyai hak veto. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti