Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dalai Lama umum akan ada pengganti selepas pemergiannya

Jul 2, 2025 | 3:29 PM
Pemimpin kerohanian Tibet, Dalai Lama, berucap dalam satu siaran video sempena permulaan Persidangan Keagamaan Tibet ke-15, iaitu pertemuan pemimpin-pemimpin agama yang berlangsung di McLeod Ganj, berhampiran Dharamsala, India  pada 2 Julai 2025. Dalam ucapan itu, Dalai Lama yang hidup dalam buangan mengesahkan bahawa institusi berusia 600 tahun itu akan diteruskan selepas kematiannya — satu keputusan yang memberi kesan besar kepada para pengikut Buddha di seluruh dunia.
Pemimpin kerohanian Tibet, Dalai Lama, berucap dalam satu siaran video sempena permulaan Persidangan Keagamaan Tibet ke-15, iaitu pertemuan pemimpin-pemimpin agama yang berlangsung di McLeod Ganj, berhampiran Dharamsala, India pada 2 Julai 2025. Dalam ucapan itu, Dalai Lama yang hidup dalam buangan mengesahkan bahawa institusi berusia 600 tahun itu akan diteruskan selepas kematiannya — satu keputusan yang memberi kesan besar kepada para pengikut Buddha di seluruh dunia. - Foto AFP

DHARAMSHALA, India: Pemimpin kerohanian Tibet dalam buangan, Tenzin Gyatso, mengesahkan bahawa institusi Dalai Lama akan diteruskan selepas kematiannya, sekali gus meredakan kebimbangan berjuta pengikut Buddha di seluruh dunia mengenai masa depan jawatan itu yang berusia lebih 600 tahun.

Kenyataan yang diumumkan pada 2 Julai itu dibuat menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-90 pada 6 Julai dan dianggap sebagai langkah bersejarah bukan sahaja untuk rakyat Tibet, tetapi juga untuk penyokong global yang melihat Dalai Lama sebagai lambang anti-kekerasan, belas ihsan, dan perjuangan mengekalkan identiti budaya Tibet di bawah pemerintahan China.

“Saya mengesahkan bahawa institusi Dalai Lama akan diteruskan,” kata beliau dalam satu kenyataan rasmi. Beliau turut memaklumkan bahawa Gaden Phodrang Trust, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkannya, akan diberi kuasa mutlak untuk mengenal pasti penjelmaan semula Dalai Lama yang ke-15, selaras dengan tradisi Buddha Tibet, tanpa campur tangan luar.

“Mereka perlu menjalankan proses pencarian dan pengiktirafan mengikut tradisi lama. Tiada pihak lain mempunyai kuasa untuk mencampuri perkara ini,” tegasnya lagi.

Langkah ini jelas bertujuan menyanggah pendirian Beijing, yang sebelum ini menyatakan bahawa ia akan menentukan siapa yang bakal menggantikan Dalai Lama. China melihat Dalai Lama sebagai pemisah dan pemberontak, dan sehingga kini belum mengeluarkan sebarang komen terhadap kenyataan terbaru ini.

Dalai Lama, yang menerima Hadiah Nobel Keamanan dan telah tinggal dalam buangan di Dharamshala sejak melarikan diri dari Tibet selepas pemberontakan gagal pada 1959, menegaskan bahawa pengiktirafan penjelmaan semula beliau akan berlaku di luar China, dan menyeru pengikutnya untuk menolak sebarang calon yang dinamakan oleh Beijing.

Menurut Dalai Lama, beliau membuat keputusan ini setelah menerima permintaan bertubi-tubi sejak 14 tahun lalu daripada pelbagai komuniti termasuk rakyat Tibet dalam buangan, penganut Buddha dari kawasan Himalaya, Mongolia, sebahagian Russia dan China agar institusi Dalai Lama diteruskan.

“Saya turut menerima mesej daripada rakyat Tibet di dalam Tibet melalui pelbagai saluran yang menggesa perkara yang sama,” katanya dalam satu siaran video sempena permulaan mesyuarat pemimpin agama di Dharamshala.

“Sehubungan dengan semua permintaan ini, saya menegaskan bahawa institusi Dalai Lama akan diteruskan,” tambah beliau, sambil menyedari bahawa usianya yang lanjut menimbulkan kebimbangan terhadap kepimpinan masa depan Tibet dan isu pengganti yang sensitif secara politik.

Aktivis muda Tibet dalam buangan, Chemi Lhamo, 30 tahun, menyambut baik pengumuman itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah penting bagi seluruh rakyat Tibet.
“Saya tidak ragu bahawa institusi Dalai Lama akan terus memberi manfaat kepada umat manusia,” katanya. “Pengumuman ini juga menghantar mesej tegas kepada Beijing untuk menolak sebarang cubaan menentukan pemimpin masa depan kami.”

Sementara itu, pemerhati antarabangsa menyifatkan kenyataan ini sebagai usaha memastikan legitimasi institusi Dalai Lama kekal berada dalam kawalan komuniti Tibet, dan bukannya digunakan sebagai alat politik oleh pihak luar.

Dalam kenyataan sama, Dalai Lama turut memberi amaran bahawa institusi penjelmaan semula boleh disalahguna untuk tujuan politik. “Masa depan jawatan ini berdepan risiko besar sekiranya sistem penjelmaan disalahgunakan oleh kepentingan politik,” katanya.

Dalai Lama telah menyerahkan kuasa politik sepenuhnya pada tahun 2011 kepada kerajaan Tibet dalam buangan yang dipilih secara demokratik oleh kira-kira 130,000 rakyat Tibet di seluruh dunia.

Namun, beliau kekal sebagai tokoh spiritual paling dihormati dalam tradisi Buddha Tibet dan masih dilihat sebagai suara moral rakyat Tibet yang terus berjuang mempertahankan warisan budaya mereka. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg