JAKARTA: Dalang sebuah sindiket pemerdagangan bayi di Indonesia yang dituduh menjual puluhan bayi, termasuk beberapa yang dihantar ke Singapura, didapati bersalah atas kesalahan pemerdagangan manusia pada 21 Julai dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.

Lie Siu Luan, 70 tahun, yang juga dikenali dengan nama Popo dan Lily, dituduh menyelaras pengambilan bayi berkenaan, menyediakan dokumen anak angkat palsu, serta menguruskan penghantaran bayi-bayi itu ke luar negara.

Ketika membacakan keputusan di Mahkamah Daerah Bandung, Jawa Barat, pada 21 Julai, Hakim Gatot Ardian Agustriono, yang mengetuai panel tiga hakim bagi perbicaraan tersebut, berkata:

“Kami mengisytiharkan bahawa defendan Lie Siu Luan, telah terbukti secara sah bersalah melakukan tindakan jenayah merekrut, menyimpan, menghantar, memindahkan, atau menerima seseorang... bagi tujuan mengeksploitasi individu berkenaan di dalam wilayah Negara Kesatuan Republik Indonesia.”

Hukuman tersebut adalah lebih rendah berbanding tuntutan pihak pendakwa yang memohon hukuman penjara 10 tahun.

Lie merupakan salah seorang daripada 19 defendan – 18 daripadanya wanita – yang didakwa di mahkamah sejak April lalu atas tuduhan memperdagangkan sekurang-kurangnya 34 bayi antara 2023 dengan 2025.

Pihak pendakwa berkata sekurang-kurangnya 12 daripada bayi berkenaan telah dihantar ke Singapura, dengan setiap bayi dijual pada harga 200 juta rupiah ($14,412) hingga 250 juta rupiah.

Kesemua 18 wanita berkenaan turut didapati bersalah.

Ketua perekrut sindiket berkenaan, Astri Fitrinika, dijatuhi hukuman penjara enam tahun tujuh bulan dan rakan perekrutnya, Djaka Hamdani dan Elin Marlina, turut dijatuhi tempoh hukuman penjara sama.

Lai Su Hua, yang dituduh memalsukan dokumen rasmi pemerintah berkaitan syarat pengambilan anak angkat, dijatuhi hukuman penjara enam tahun tujuh bulan.

Sementara itu, 14 defendan lain, yang didakwa bertindak sebagai pengasuh bayi-bayi berkenaan, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun empat bulan.

Sepanjang tempoh siasatan dan perbicaraan, Lie dan Astri kedua-duanya mengaku bersalah terhadap kebanyakan kesalahan yang dituduh terhadap mereka.

Namun, mereka kekal menegaskan bahawa tiada seorang pun kanak-kanak berkenaan diculik, sebaliknya diserahkan secara sukarela oleh ibu bapa mereka, dan kesemua kanak-kanak tersebut dijaga dengan baik serta tidak dianiaya.