Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Sumatera gagalkan penjualan bayi usia tiga hari, rangkaian penyeludupan sejak 2023

Sep 26, 2025 | 12:38 PM
Polis Sumatera, sindiket jual bayi, rangkaian penyeludupan
Polis Sumatera Utara menahan lapan individu di Medan yang disyaki terlibat dalam sindiket penjualan bayi ke luar wilayah. Siasatan awal mendapati sembilan bayi berusia antara tiga hari dengan sebulan telah diperdagangkan dengan harga 10 juta rupiah ($770) hingga 15 juta rupiah setiap seorang. - Foto hiasan

MEDAN: Polis Sumatera Utara menahan lapan individu termasuk tujuh wanita yang disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan bayi merentas wilayah.

Sindiket itu dipercayai telah menjual sembilan bayi berusia antara tiga hari dengan sebulan dengan harga antara 10 juta rupiah ($770) hingga 15 juta rupiah.

Pengarah Jenayah Umum (Reskrimum) Polis Sumatera Utara, Pesuruhjaya Ricko Taruna Mauruh, berkata sindiket itu telah beroperasi sejak 2023.

“Sindiket ini menjalankan penjualan secara terus. Setelah bayi diserahkan kepada pembeli, tiada lagi hubungan antara penjual dengan pembeli,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Polis Sumatera Utara pada 22 September.

Beliau mendedahkan, bayi terakhir yang cuba dijual adalah bayi lelaki berusia tiga hari.

“Mujur pasukan kami berjaya menyelamatkan bayi tersebut,” jelas Encik Ricko.

Bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Bhayangkara Polis untuk perlindungan sementara dan polis akan bekerjasama dengan Jabatan Sosial Sumatera Utara bagi urusan penjagaan seterusnya.

Encik Ricko menerangkan bahawa proses pemerdagangan bayi itu melibatkan beberapa pengantara.

Ibu kepada bayi berkenaan terlebih dahulu menghubungi seorang individu untuk menjual anaknya.

Individu itu kemudian meminta orang lain datang mengambil bayi dan menyerahkannya kepada penghubung seterusnya.

Dari situ, bayi dipindahkan lagi kepada pembeli lain yang kemudian menjualnya kepada pihak terakhir dalam rangkaian.

Terdapat juga seorang lelaki yang membantu dalam proses pengambilan bayi di pertengahan urusan.

“Buat masa ini kami mendapati si ibu bukan anggota tetap sindiket, dia hanya mahu menjual bayinya sendiri,” kata Encik Ricko.

Setakat ini, sindiket tersebut telah berjaya menjual lapan bayi ke luar Sumatera Utara.

Cubaan menjual bayi kesembilan berjaya digagalkan polis.

Ketua Pengarah Remaja, Kanak-Kanak dan Wanita (Renakta) Reskrimum, Pesuruhjaya M. Ikang Putra, berkata kejayaan menumpaskan sindiket itu bermula dengan serbuan ke sebuah rumah tumpangan di Lorong Juhar, Jalan Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan Baru pada 17 September.

“Kami mendapat maklumat rumah tumpangan itu menjadi pusat pemerdagangan bayi baru lahir,” jelasnya.

Hasil serbuan dan siasatan lanjut membawa kepada penangkapan lapan suspek di lokasi berasingan.

“Semua suspek kini ditahan di Polis Sumatera Utara. Kami masih meneliti peranan masing-masing,” tambah Encik Ikang.

Hukuman maksimum bagi kesalahan itu ialah 15 tahun penjara.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Singapura mengesahkan menerima permintaan rasmi daripada Polis Republik Indonesia untuk membantu siasatan berkaitan sindiket pemerdagangan bayi yang didakwa mempunyai kaitan dengan warga Singapura.

Dalam kenyataan kepada The Straits Times pada 25 September, polis Singapura berkata mereka bekerjasama memberikan bantuan sewajarnya mengikut undang-undang tempatan.

Permintaan itu dibuat selepas laporan media Indonesia menyebut pihak berkuasa sedang menjejak tiga individu warga Singapura yang disyaki terlibat dalam rangkaian pemerdagangan bayi dari Jawa Barat ke luar negara, termasuk Singapura.

Menurut Brigedier Jeneral Untung Widyatmoko, Setiausaha Biro Pusat Nasional Interpol Indonesia, polis Singapura telah menyatakan kesediaan untuk membantu mengesan tiga individu terbabit.

“Kami sedang menelusuri aliran operasi pemerdagangan bayi ini yang melibatkan rangkaian hingga ke luar negara,” katanya dalam kenyataan rasmi pada 22 September.

Siasatan polis Jawa Barat sebelum ini telah mengenal pasti 22 suspek yang didakwa memperdagangkan sekurang-kurangnya 25 bayi, dengan 15 daripadanya dipercayai dihantar ke Singapura di bawah alasan mengambil anak angkat.

Laporan menyebut setiap bayi dijual pada harga sekitar $20,000 termasuk kos kelahiran, penjagaan bayi dan pembayaran kepada sindiket. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg