KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional, dana kekayaan Malaysia, telah memilih Granite Asia dari Singapura dan AppWorks dari Taiwan sebagai dua firma modal teroka pertama dalam dua program strategik bagi mengubah Malaysia menjadi pusat modal teroka serantau.
Pengumuman tersebut dibuat pada 24 Jun oleh Khazanah dan anak syarikat sepenuhnya, Jelawang Capital, sebagai sebahagian daripada pelancaran Program Pengurus Dana Muncul (EMP) dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RMI) yang dilancarkan Oktober 2024.
Lima pengurus dana yang terpilih di bawah EMP dan RMI dijangka melabur lebih RM200 juta ($60.5 juta), dengan sebahagian besar dana tersebut disalurkan ke dalam syarikat Malaysia-Nexus, menyokong sekitar 50 syarikat peringkat awal, kata Pengarah Urusan Khazanah, Encik Amirul Feisal Wan Zahir, lapor The Business Times (BT).
“Kami berharap lima pengurus dana ini akan membimbing syarikat permulaan Malaysia dan menjadi mentor serta penyokong untuk generasi akan datang,” katanya dalam taklimat media di Kuala Lumpur.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada matlamat lebih besar Khazanah untuk bertindak sebagai “pemangkin dan penghubung” melalui wadah pelaburan impak Dana Impak dan Jelawang Capital.
Sebagai rakan kongsi RMI, Granite Asia dan AppWorks akan menarik pengurus dana asing untuk menyokong syarikat permulaan Malaysia, dengan tujuan membina entiti serantau dan sejagat.
Ini diharap dapat menggalak syarikat sejagat untuk berpusat semula di Malaysia, mencipta pekerjaan, dan menarik bakat terkemuka ke dalam ekosistem Malaysia.
Granite Asia, yang dahulunya dikenali sebagai GGV Capital Asia, adalah pelabur pelbagai peringkat yang memberi tumpuan kepada peluang transformasi di seluruh Asia.
Firma itu akan menyokong syarikat permulaan transformasi di Malaysia melalui dana peringkat awal, dengan fokus pada sektor seperti teknologi pengguna, perisian perusahaan, penjagaan kesihatan, dan pembuatan maju.
Bersama Khazanah dan Jelawang Capital, Granite Asia juga akan memberikan usahawan tempatan akses kepada rangkaian pengasas dan program strategik untuk membantu syarikat Malaysia berkembang ke pasaran serantau dan sejagat.
AppWorks, firma VC peringkat awal dari Taiwan, menggabungkan program pecutan tanpa ekuiti dengan penempatan modal fokus pengasas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg