KUALA LUMPUR: Terdapat mineral berlogam termasuk emas dan bauksit ‘tersembunyi’ yang dianggarkan bernilai RM1.03 trilion ($302.7 bilion) di kawasan jalur-jalur emas di Semenanjung Malaysia.
Ini berdasarkan laporan tahunan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia 2020 sebelum ini berhubung simpanan sumber mineral di Malaysia yang bernilai hampir RM4.11 trilion.
Galian berharga itu termasuk mineral bukan logam (RM2.96 trilion) dan mineral tenaga (RM0.12 trilion).
Presiden Institut Geologi Malaysia, Encik Abd Rasid Jaafar, berkata mengikut rekod eksplorasi Jabatan Mineral dan Geosains, terdapat banyak kawasan berpotensi sumber emas yang dikenal pasti melalui tinjauan awal pihak berkenaan.
Bagaimanapun katanya, ia memerlukan kajian susulan serta terperinci untuk penilaian sebenar nilai ekonomi sumber galian itu.
“Ahli geologi bersepakat bahawa galian emas di Semenanjung terbentuk dalam empat jalur emas yang merentasi arah utara hingga selatan Semenanjung mengikut aktiviti tektonik lampau,” katanya, lapor Harian Metro.
Encik Abd Rasid memberitahu, Jalur Emas 1 dan Jalur Emas 2 wujud di dalam Zon Sutura Bentong-Raub, manakala Jalur Emas 3 pula berada di dalam Zon Sesar Lebir-Lepar.
Menurutnya, antara lombong emas yang popular di Jalur Emas 2 ialah Penjom, Raub dan Selinsing, manakala Mengapur dan Chini pula berada di kawasan Jalur Emas 3.
“Jalur Emas 4 yang masih belum dilakukan kajian intensif masih menjadi misteri walaupun kegiatan perlombongan di Lubuk Mandi dan kerubut emas (‘gold rush’) di Mersing, Johor, berlaku lebih kurang 10 tahun lalu,” ujarnya.
Secara geologinya, emas banyak dikaitkan dengan batuan volkanik bersifat bes seperti andesit – batuan gunung berapi – yang banyak terdapat di jalur tengah dan timur Semenanjung.
Malaysia kaya dengan hasil bumi yang bermutu dan berkuantiti.
“Bauksit yang berpunca daripada luluhawa batuan basalt pula banyak tersebar di kawasan Kuantan dan selatan Terengganu,” katanya.
Encik Abd Rasid berkata Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 telah dilancarkan untuk merancakkan kembali perusahaan perlombongan negara yang suram.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg