Terletak di kawasan Sepang yang masih membangun, 9 Yards Cafe & Bistro menawarkan kedua-dua makanan kegemaran warga Singapura dan Malaysia.
Cef Bob atau nama sebenarnya Shahrizal Salleh, 44 tahun, bersama rakan niaganya dari Malaysia, Encik Muhammad Zuhaili dan Encik Muhammad Nur Pascal, telah membuka kafe yang menghidangkan nasi lemak, pasta dan kuih-muih.
“Kami mahu membawa sesuatu yang segar dan boleh diakses ke pasaran tempatan sambil menggabungkan yang terbaik dari kededua negara,” kongsi Cef Bob.
Kafe yang terletak di Arena Xchange itu dengan pantas dikenali ramai dengan hidangannya yang enak serta harga berpatutan.
Cef Bob, yang merupakan personaliti terkenal dalam dunia masakan, melihat pasaran Malaysia sebagai peluang menarik untuk mengembangkan jenamanya melangkaui Singapura.
“Kos berniaga di Malaysia lebih rendah, dan margin keuntungan lebih tinggi berbanding di Singapura,” katanya.
“Itulah yang menjadikan perniagaan di Malaysia sangat menarik. Selain itu, rakyat Malaysia dan Singapura berkongsi selera yang sama dalam makanan, jadi ia adalah peralihan semula jadi.”
“Hidangan nasi dan rakyat Malaysia tidak boleh dipisahkan, jadi nasi lemak ialah hidangan segera yang popular. Malah, ia lebih baik daripada penkek daun bawang (sejenis roti leper rangup yang dibuat daripada doh tepung gandum dan ditaburi dengan daun bawang) yang kami lancarkan pada mulanya,” tambahnya.
9 Yards Cafe & Bistro bukan sekadar projek bisnes, malah ia dirancang dengan teliti yang bertujuan untuk mengimbangi kualiti dan kemampuan.
“Kami mahu membawa budaya makanan Singapura ke Malaysia, tetapi kami memastikan harganya berpatutan untuk masyarakat di sini,” kata pula Encik Zuhaili.
“Nasi lemak, pasta, biskut dan croffle (gabungan antara croissant dan waffle, di mana doh croissant dibakar dalam pembuat waffle) kami dijual pada harga berpatutan dan kami ingin memastikan harganya berbaloi juga.”
Encik Zuhaili juga menarik perhatian kepakaran Cef Bob menjadi penting dalam membentuk menu dan mengekalkan standard yang tinggi.
“Cef Bob memberi pendedahan kepada kami. Dia mempunyai pengalaman,” kata Encik Zuhaili apabila ditanya tentang apa yang mendorongnya untuk bekerjasama dengan Cef Bob.
Biskut 9 Yards Cafe & Bistro menjadi tarikan hangat bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura juga.
“Apa yang membuatkan biskut kami laris adalah ia dibuat tanpa bahan pengawet, menggunakan bahan berkualiti seperti mentega yang baik.
“Ini bermakna biskut itu juga mempunyai jangka hayat yang lebih pendek, tetapi kualitinya tidak terjejas,” jelas Cef Bob.
Pengarah Urusan, Encik Pascal, menekankan kepentingan kerjasama serta penyelidikan dan pengembangan (R&D) yang berterusan.
“Proses R&D kami biasanya mengambil masa kira-kira seminggu. Disebabkan latar belakang Cef Bob dalam F&B, kami berpeluang menguji dan memperhalusi idea baru dengan cepat.
“Tetapi kami juga menumpukan pada bahagian perniagaan, memastikan bahawa apa sahaja yang kami jual adalah mampan dan memenuhi permintaan pelanggan,” jelas Encik Pascal.
Lokasi 9 Yards Cafe & Bistro di Sepang, yang berhampiran dengan lapangan terbang KLIA 1 dan 2, terbukti strategik.
“Kawasan ini mempunyai gabungan profesional industri penerbangan, pelajar dan kakitangan daripada projek pembangunan berdekatan.
“Kami mendapat ramai pelanggan semasa makan tengah hari. Mereka terdiri daripada juruterbang, pramugara dan juga pelajar dari universiti berdekatan,” kata Encik Zuhaili.
“Ia kawasan baik untuk menguji pasaran dan maklum balas setakat ini adalah positif,” katanya lagi.
“Di sini, lokasinya berdekatan dengan KLIA 1 dan 2, jadi ramai pelajar, pramugara dan juruterbang yang datang. Kawasan sekitarnya juga sedang pesat dibangunkan,” tambahnya.
Bagi Cef Bob, fokusnya tetap pada mengekalkan kualiti jenamanya, baik di Malaysia mahupun di Singapura.
“Sebagai cef selebriti, saya bertanggungjawab untuk menjaga reputasi jenama saya. Saya tidak boleh hanya mengejar keuntungan hingga menjejas kualiti,” katanya.
“Di Malaysia, saya pergi ke Sepang setiap dua minggu untuk melakukan kawalan kualiti, latihan dan perancangan menu. Kami juga kerap memperkenalkan promosi untuk memastikan kafe kami sentiasa segar.”
Lokasi: 22-G, Warisan Puteri Arena Xchange, Warisan Puteri, 43900 Sepang, Selangor, Malaysia
Harga: Biskut 140 gram, 1 botol $13; 3 botol, $36; dan 6 botol, $66.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg