Topik diikuti
Pergi ke BHkuDana negara biayai 1,098 lembu korban Prabowo
Dana negara biayai 1,098 lembu korban Prabowo
Program korban Presiden guna wang negara undang kontroversi politik
Dana negara biayai 1,098 lembu korban Prabowo
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengagihkan sebanyak 1,098 ekor lembu korban sempena sambutan Aidiladha tahun 2026 ini menerusi program bantuan presiden yang dibiayai menggunakan peruntukan belanjawan negara, kata pegawai pemerintah pada 27 Mei.
Program itu melibatkan pengagihan lembu korban seberat sekitar satu tan seekor secara purata kepada masyarakat di seluruh Indonesia, termasuk pemerintah wilayah, pesantren, institusi pendidikan, pertubuhan agama dan pemimpin masyarakat.
Timbalan Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Encik Juri Ardiantoro, berkata program bantuan korban itu dibiayai menerusi peruntukan bantuan sosial presiden di bawah Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN), dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar 100 bilion rupiah (S$7.2 juta).
“Bagi Aidiladha 1447 Hijrah, presiden menyumbangkan 1,098 ekor lembu korban di seluruh Indonesia,” katanya kepada wartawan di kompleks Istana Presiden di Jakarta.
Menurut beliau, sebanyak 598 ekor lembu diagihkan kepada 38 wilayah serta 514 kabupaten (daerah) dan bandar di seluruh negara, manakala baki 500 ekor lagi disalurkan kepada pesantren, institusi pendidikan, organisasi sosial keagamaan, tokoh masyarakat dan ulama.
Encik Juri berkata, jumlah lembu yang diagihkan melebihi jumlah kawasan penerima kerana terdapat 46 kawasan yang tidak mempunyai lembu memenuhi piawaian berat ditetapkan presiden, iaitu antara 800 kilogram hingga 1.3 tan.
“Kawasan yang tidak dapat menyediakan lembu dengan berat sedemikian akan menerima dua ekor lembu sebagai ganti,” katanya.
Beliau berkata, lembu korban yang diagihkan terdiri daripada baka premium seperti Simmental, Limousin, kacukan Ongole, Brahman, Angus, lembu Bali, Friesian Holstein, Belgian Blue dan Charolais.
Katanya, semua haiwan terbabit mempunyai sijil kesihatan veterinar, berusia lebih dua tahun, jantan dan bebas daripada kecacatan fizikal, sekali gus memenuhi syarat korban dalam Islam. “Ini adalah lembu berkualiti premium dengan standard yang sangat baik,” katanya lagi.
Program itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat dan pemerhati politik selepas diketahui bahawa pembelian lembu korban berkenaan menggunakan dana negara.
Beberapa ahli politik daripada parti pemerintah, Parti Gerindra tampil mempertahankan langkah itu dengan menyatakan bantuan sosial sedemikian bukan perkara baharu dan pernah dilaksanakan di bawah pentadbiran presiden terdahulu.
Ahli Parlimen Gerindra, Encik Sugiat Santoso, berkata presiden sebagai ketua negara sememangnya mempunyai peruntukan khas untuk membantu rakyat. “Ini amalan biasa. Presiden sebagai ketua negara memang mempunyai bajet khas untuk membantu masyarakat,” katanya di Jakarta.
Menurut beliau, program bantuan korban presiden sudah wujud sejak pentadbiran bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Joko Widodo, sekali gus menolak dakwaan bahawa inisiatif itu unik kepada pemerintahan Prabowo.
Jurucakap Gerindra, Encik Bahtra Banong, pula berkata program berkenaan bukan sahaja membantu masyarakat menerima daging korban, malah memberi manfaat kepada penternak tempatan dan ekonomi wilayah.
“Selain membantu masyarakat yang menerima bantuan korban, program ini turut merangsang ekonomi penternakan tempatan, mengukuhkan sektor ternakan nasional dan menggalakkan peredaran ekonomi di wilayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyifatkan kritikan terhadap program berkenaan sebagai bermotif politik dan bukan berdasarkan manfaat sebenar yang diterima rakyat.
“Ini adalah program bantuan sosial yang dibiayai negara dan telah diperuntukkan secara rasmi untuk membantu masyarakat di pelbagai wilayah. Tiada peraturan yang dilanggar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Majlis Ulama Indonesia (MUI) menegaskan penggunaan dana APBN untuk membeli haiwan korban presiden tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Pengerusi Bidang Fatwa MUI, Encik Asrorun Niam Sholeh, berkata penggunaan dana negara bagi tujuan korban mempunyai asas kukuh dalam fiqh Islam serta amalan pemerintahan sejak zaman awal Islam.
“Berhubung pembelian lembu menggunakan dana negara menerusi bantuan presiden, saya fikir ini bukan isu dari sudut syarie,” katanya dalam kenyataan pada 27 Mei.
Profesor Undang-Undang Islam di Universiti Islam Negeri Jakarta Encik Syarif Hidayatullah menjelaskan bahawa dalam sejarah Islam, pemimpin atau imam digalakkan membeli haiwan korban menggunakan baitulmal atau perbendaharaan negara demi kepentingan masyarakat.
Menurut beliau, dalam konteks moden, APBN boleh difahami sebagai bentuk baitulmal yang digunakan pemerintah untuk kepentingan awam. “Jadi ini adalah korban negara untuk manfaat masyarakat. Ia bukan isu dari sudut syarie,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dari sudut pentadbiran dan birokrasi, mekanisme pengagihan lembu korban melalui bantuan presiden adalah sama seperti bantuan sosial kerajaan lain yang telah lama diamalkan.
“Secara teknikal, kita boleh faham bahawa bantuan sosial melalui bantuan presiden menggunakan dana negara dan kemudian diagihkan kepada masyarakat. Ini tidak mempunyai masalah,” katanya.
Encik Niam menegaskan lembu korban yang dibeli menggunakan dana negara bukan digunakan untuk kepentingan peribadi presiden atau persekitaran istana, sebaliknya diagihkan kepada masyarakat di pelbagai wilayah yang memerlukan bantuan.
Katanya lagi, dasar itu juga relevan dengan semangat Aidiladha kerana ia mampu memperkukuh ibadah keagamaan selain meningkatkan solidariti sosial dalam kalangan masyarakat.
Penyediaan 1,098 ekor lembu korban itu diselaraskan oleh Kementerian Setiausaha Negara, Sekretariat Presiden, Kementerian Pertanian, agensi penternakan wilayah serta Persatuan Penternak dan Penggemukan Lembu Indonesia (APPSI).
Kesemua lembu korban diperoleh daripada penternak tempatan, sejajar usaha pemerintah memperkukuh produktiviti ternakan domestik dan menyokong industri penternakan negara.
Encik Prabowo turut mengarahkan supaya daging korban disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan melalui kerajaan tempatan, institusi agama dan pemimpin masyarakat yang dipercayai. - Agensi berita
