Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daripada jurugambar pengantin, kini beratur ambil air minuman

Jun 3, 2024 | 5:30 AM
Gambar yang dipetik pada 4 Januari 2024 menunjukkan penduduk Palestin beratur sementara menunggu untuk mendapatkan air minuman, ketika konflik antara Israel dengan Hamas berterusan, di Rafah, di selatan Jaluran Gaza.
Gambar yang dipetik pada 4 Januari 2024 menunjukkan penduduk Palestin beratur sementara menunggu untuk mendapatkan air minuman, ketika konflik antara Israel dengan Hamas berterusan, di Rafah, di selatan Jaluran Gaza. - Foto REUTERS

KHAN YOUNIS (Jaluran Gaza): Cik Falasteen Abdulati sedih mengenang kehidupan baiknya yang hilang sebagai jurugambar perkahwinan.

Beliau kini keletihan beratur hari demi hari untuk mendapatkan bekalan air minuman yang semakin sukar, di jalan dengan puing di selatan Gaza kerana bimbangkan masa depan anak-anaknya.

Ibu tujuh anak itu ialah salah seorang daripada lebih dua juta rakyat Gaza yang berjuang untuk bertahan, dalam bulan kelapan pengepungan dan pencerobohan Israel, yang dicetuskan oleh serangan rentas sempadan Hamas.

Makanan, air minuman, rawatan perubatan dan tempat perlindungan yang selamat, sukar ditemui.

“Saya seorang jurugambar perkahwinan. Orang seperti saya sepatutnya keluar dan hidup sihat serta membelanjakan wang untuk anak-anak,” kata Cik Abdulati, 35 tahun.

Beliau berkata demikian tatkala sedang bersusah payah mengisi beberapa baldi dengan air dari tangki yang remuk, di bandar Khan Younis.

“Hidup kami telah (dikurangkan) kepada keperluan yang paling mudah... kerja dan keletihan. Tiada yang lain.

“Impian yang saya miliki sebagai jurugambar perkahwinan untuk membuka studio dan mendapatkan kamera dan untuk menggembirakan orang ramai, hilang. Impian saya telah hilang.”

Beliau menyambung: “Setiap hari, kami bangun pada 7 pagi dan sudah tentu perkara pertama yang kami fikirkan adalah air.

“Kami datang ke sini dan beratur panjang, semata-mata untuk mengisi empat baldi dengan air.

“Selain itu, bahu kami sakit. Tidak ada lelaki untuk membawanya untuk kami. Tiada sesiapa kecuali kami, wanita yang bekerja hari ini.”

Serangan Israel ke atas kawasan pinggir pantai yang kecil dan padat penduduk, kini musnah dengan lebih tiga perempat daripada 2.3 juta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal dan prasarana yang banyak roboh.

“Masa depan anak-anak saya yang saya usahakan tanpa jemu, kini hilang. Tidak ada sekolah (berfungsi), tidak ada pendidikan. Tiada lagi keselesaan dalam hidup,” luah Cik Abdulati.

“Tiada keselamatan,” tambahnya, merujuk kepada ancaman tembakan atau serbuan yang dikatakan Israel sebagai sasaran kumpulan Hamas yang dikatakan bersembunyi di kawasan perumahan yang padat.

Cik Abdulati berkata pergolakan peperangan telah mengubah kehidupan wanita Gaza.

“Wanita kini seperti lelaki. Mereka bekerja keras seperti lelaki. Mereka tidak lagi selesa di rumah,” kata beliau.

Suaminya dimasukkan ke hospital kerana cedera dek perang.

Sambil menghela nafas panjang, beliau membawa baldinya melalui sepanjang jalan yang hancur berpasir dan menaiki tangga simen yang suram masuk ke dalam flat keluarganya.

Di situ beliau memanaskan air di atas dapur api, sementara di dalam bilik yang bersepah dan sempit dan gelap kerana kekurangan elektrik, anak-anaknya yang masih kecil memerhatikannya.

“Kami menderita kerana kekurangan gas kerana lintasan sempadan ditutup,” katanya, merujuk kepada pengepungan Israel yang telah menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Air yang saya isi mesti kena catu. Saya panaskan supaya boleh bersihkan anak-anak, selain basuh pinggan dan basuh baju.

“Empat baldi yang saya dapat sehari pun tak cukup. Saya kena balik lagi dan lagi,” keluhnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg