RAFAH (Gaza): Sekitar 800,000 orang, atau separuh penduduk di bandar Rafah, Gaza kini menjadi pelarian sejak Israel memulakan operasi ketenteraan di sana pada Mei, kata Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, berkata mereka ‘dipaksa melarikan diri’ sejak 6 Mei.
“Hampir separuh daripada penduduk Rafah atau 800,000 orang terpaksa melarikan diri sejak tentera Israel memulakan operasi ketenteraan di kawasan itu pada 6 Mei,” kata beliau, menulis di wadah media sosial X.
Berikutan perintah pemindahan, penduduk Gaza telah melarikan diri ke pusat bandar dan Khan Younis, termasuk ke kawasan yang menyaksikan bangunan-bangunan musnah, kata beliau.
“Setiap kali juga, mereka terpaksa meninggalkan barangan yang mereka ada. Setiap kali, mereka perlu membina semula kehidupan mereka.”
Israel yang menyifatkan Rafah sebagai kubu pertahanan terakhir Hamas di Gaza berkata, operasi ketenteraan di Rafah wajar dalam usahanya membanteras kumpulan Hamas.
Sebelum memulakan operasi di Rafah, Israel berkata ia akan menjalankan operasi ‘terhad’ dan memberitahu ratusan ribu penduduk Gaza yang berlindung di bahagian timur bandar itu supaya beredar.
Namun tiada tempat selamat untuk penduduk itu melarikan diri, tambah UNRWA.
Encik Lazzarini berkata orang ramai sedang melarikan diri ke kawasan yang tidak mempunyai bekalan air atau sanitasi yang mencukupi.
Dua bandar yang menjadi tumpuan pelarian – Al-Mawasi, bandar tapi pantai seluas 14 kilometer persegi; dan pusat bandar Deir El-Balah – kini penuh sesak dengan penduduk dan kumpulan pelarian baru, kata Encik Lazzarini.
Amerika Syarikat, iaitu sekutu rapat Israel, telah menyuarakan bantahan tegas terhadap hasrat Israel untuk meluaskan operasi darat di Rafah, kawasan 1.4 juta rakyat Palestin berlindung.
Namun, buat masa ini, Israel masih meneruskan operasi darat di Rafah, dengan pertempuran dan pengeboman besar berlaku pada 18 Mei.
Seorang wartawan agensi berita, AFP berkata Israel melancarkan serangan udara dan tembakan meriam bertubi-tubi ke arah timur Rafah.
Menurut pihak berkuasa di sana, sekurang-kurangnya 35,000 warga Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober.
Israel menyerang Gaza sebagai tindak balas selepas Hamas menyerang Israel pada hari yang sama, membunuh lebih 1,400 orang dan menculik sekitar 250 tebusan, berdasarkan perangkaan dari Israel.
Sekitar 125 warga Israel difahami masih ditawan di Gaza.
Dalam pada itu, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad bin Salman telah bertemu penasihat keselamatan Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, di Dhahran, Saudi.
Kededua pemimpin antara lain membincangkan huraian bagi konflik di Gaza.
Menurut agensi berita Reuters, Putera Mahkota Mohammad, yang disifatkan sebagai pemimpin de facto Saudi dan Encik Sullivan, iaitu penasihat hal keselamatan utama Presiden Amerika, Encik Joe Biden, telah membincangkan tentang keperluan mencari ‘laluan berwibawa untuk melahirkan huraian dua negara bagi Israel dan Palestin, menghentikan perang di Gaza dan membuka laluan supaya bantuan kemanusiaan boleh dibawa masuk ke Gaza’. – Reuters, AFP.
“
“Hampir separuh daripada penduduk Rafah atau 800,000 orang terpaksa melarikan diri sejak tentera Israel memulakan operasi ketenteraan di kawasan itu pada 6 Mei...Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg