Berikutan pencerobohan Israel ke Rafah minggu lalu, tentera Israel menutup sementara lintasan Kerem Shalom dan menduduki lintasan Rafah di bahagian Gaza, menghalang aliran bekalan makanan, bahan api dan bekalan perubatan yang sangat diperlukan.
Kegagalan masuknya bekalan itu, kata pakar, akan mengakibatkan keadaan bertambah buruk di sebahagian Gaza, yang penduduknya kini mengalami kebuluran dan ramai dipercayai meninggal dunia kerana kekurangan zat makanan.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah trak bantuan yang memasuki Gaza mencapai jumlah paling banyak sejak Oktober lalu – sebanyak 1,674 trak yang memasuki Gaza melalui Kerem Shalom dan lintasan Rafah – iaitu pintu masuk utama operasi bantuan ke wilayah itu.
Tetapi sejak 12 Mei, tiada trak bantuan yang dilihat memasuki Gaza dari mana-mana pintu masuk walaupun selepas Israel mengatakan bahawa ia telah membuka semula persimpangan Kerem Shalom pada 15 Mei.
Kemasukan bantuan ke Gaza telah disekat oleh Israel sejak perang bermula, mengakibatkan apa yang disifatkan golongan pakar bantuan sebagai krisis kebuluran angkara perbuatan manusia.
Aktivis kemanusiaan memberi amaran bahawa krisis akan bertambah buruk tanpa bahan api yang diperlukan untuk kedai roti dan hospital beroperasi.
Berikut laluan utama saluran bantuan ke Gaza dan statusnya:
Pada 17 Mei, Israel membenarkan sekurang-kurangnya 157,000 liter bahan api masuk, kata Encik Scott Anderson, seorang pegawai kanan di Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Tetapi tiada bekalan makanan dan perubatan yang masuk.
Mesir, yang memainkan peranan penting dalam memudahkan pengumpulan dan penghantaran bantuan, memburukkan lagi keadaan kerana enggan membenarkan pengiriman trak ke Kerem Shalom, dedah beberapa pegawai Barat dan Israel.
Pegawai Amerika Syarikat dan Israel percaya bahawa langkah Mesir itu bertujuan meletakkan tekanan ke atas Israel supaya menghentikan pencerobohannya ke atas Rafah.
Lintasan Kerem Shalom merupakan saluran utama untuk bantuan ke Gaza sejak ia dibuka pada Disember dan merupakan tempat kebanyakan trak bantuan kini masuk.
Sebelum pencerobohan Israel ke Rafah, purata 185 trak memasuki Kerem Shalom setiap hari – meningkat kepada 270 trak baru-baru ini, berdasarkan data PBB.
Kumpulan bantuan berkata sekurang-kurangnya 300 trak diperlukan setiap hari, untuk mengelakkan krisis kebuluran yang semakin meruncing di Gaza.
Lintasan Rafah masih ditutup. Lintasan itu telah menjadi pintu gerbang penting bagi mereka yang cedera dan sakit untuk meninggalkan kawasan tersebut bagi mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata bahawa berpuluh-puluh orang yang menghidap penyakit seperti barahc dan limfoma tidak dapat keluar dari Gaza sejak 12 Mei.
Lintasan Erez di sempadan utara Gaza dibuka tetapi bantuan yang masuk adalah terbatas, berdasarkan data COGAT, agensi Israel yang menyelia pengagihan bantuan di Gaza, dan seorang pegawai UNRWA.
Erez adalah satu-satunya lintasan sempadan di utara dan hanya dibuka pada April, selepas tekanan daripada Presiden Amerika, Encik Joe Biden.
COGAT berkata di laman webnya bahawa 36 trak bantuan dan satu trak bahan api melintas melalui Erez pada 16 Mei.
Encik Anderson berkata UNRWA telah menghantar 67 trak melalui Erez menyeberang pada 15 Mei dan sejak itu tiada lagi bantuan yang dibenar masuk.
Pengiriman lebih banyak bantuan ke utara Gaza adalah penting untuk mencegah krisis makanan daripada bertambah buruk.
Pada Mac, pakar kesihatan mengunjurkan bahawa utara Gaza akan menghadapi kebuluran dalam masa terdekat dan pada 18 Mei, Cik Cindy McCain, pengarah eksekutif Program Makanan Sedunia, berkata utara Gaza sudah dicengkam “kebuluran sepenuhnya”.
Sehingga pertengahan April, pegawai kesihatan Gaza berkata bahawa sekurang-kurangnya 28 kanak-kanak di bawah 12 tahun telah meninggal dunia, akibat kekurangan zat makanan, di hospital dan mungkin berpuluh-puluh lagi pusat perubatan di luar.
Memandangkan Gaza tidak mempunyai jeti antarabangsa sendiri – dan Israel telah bertahun-tahun menghalang pembinaannya – tentera Amerika berkata pada Mac bahawa ia akan membina jeti sementara untuk membolehkan pengiriman bantuan masuk melalui jalan laut.
Jabatan pertahanan Amerika, Pentagon, berkata pada 16 Mei bahawa jeti terapung dan tambak itu telah siap tetapi cuaca buruk dan keadaan laut telah menghalang pemasangannya. Bahan dan peralatan itu berada di pelabuhan Asdod, Israel.
Sebuah kapal kargo Amerika, Sagamore, yang membawa bekalan makanan, berlepas dari Cyprus pada 16 Mei, tetapi tidak boleh dipunggah dan diedarkan di Gaza sehingga jeti dipasang.
COGAT berkata bahawa 117 bungkusan telah digugurkan di utara Gaza pada 16 Mei.
Operasi dari udara itu hanya bermula pada Mac untuk cuba mengelakkan bencana kemanusiaan menjadi lebih buruk di Palestin.
COGAT berkata 99 operasi serupa oleh sembilan negara penderma termasuk Amerika dan Jordan telah dijalankan sejak Mac.
Tetapi operasi itu dikritik kerana dianggap paling tidak cekap bagi mengagihkan bantuan ke Gaza, dan dalam beberapa kes, membawa maut.
Beberapa pakej bantuan terjatuh dan menimpa beberapa rakyat Palestin di bandar Gaza, mengorbankan lima orang dan mencederakan beberapa yang lain, kata pegawai kesihatan Gaza.
Dalam kes lain, belasan rakyat Palestin mati lemas ketika cuba mengambil bungkusan yang telah terjatuh ke dalam air dalam usaha mengelakkannya daripada menimpa orang awam jika payung terjunnya mengalami kerosakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg