NEW YORK: Encik Zohran Mamdani meninggalkan Astoria di Queens, sebuah kawasan kelas pertengahan yang sarat dengan identiti pendatang dan budaya makanan pelbagai etnik, untuk berpindah ke Gracie Mansion di Upper East Side Manhattan, kediaman rasmi Datuk Bandar New York pada 1 Januari.
Peralihan fizikal itu kelihatan kecil dari segi jarak, namun jurang politik, ekonomi dan simboliknya amat besar.
Kemenangan Encik Mamdani dalam pemilihan Datuk Bandar New York mengejutkan ramai pihak.
Pada awalnya, kempen beliau dipandang remeh, termasuk oleh pemerhati politik yang sudah sinis terhadap politik bandar itu.
Namun segalanya berubah apabila beliau menewaskan mantan Gabenor New York, Encik Andrew Cuomo, dalam pemilihan awal Demokrat pada Jun 2025 sebelum memenangi pilihan raya umum pada November.
Kejayaan itu bukan sekadar kemenangan individu, malah mencerminkan perubahan arus politik di bandar yang hampir 40 peratus penduduknya dilahirkan di luar Amerika Syarikat.
Beliau mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim pertama New York, menandakan detik penting dalam landskap politik Amerika yang sedang berubah.
Dalam suasana politik Amerika yang semakin konservatif, polarisasi dan dibayangi sentimen xenofobia, kempen Encik Mamdani muncul sebagai pengecualian.
Beliau menawarkan pelan ekonomi alternatif dan naratif perpaduan merentasi kelas, jantina dan kaum.
New York City terkenal dengan jurang pendapatan yang ekstrem.
Golongan elit kewangan hidup selesa, manakala sebahagian besar penduduk bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
Namun, laluan menuju kemenangan bukan mudah.
Golongan bilionair dan pemimpin korporat New York menyumbang lebih AS$40 juta ($52 juta) kepada kumpulan tindakan politik yang menentangnya, termasuk sumbangan AS$8.3 juta daripada mantan Datuk Bandar, Encik Michael Bloomberg.
Menariknya, penentangan elit itu tidak sepadu.
Tokoh kewangan seperti Encik Bill Ackman, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), JPMorgan Chase, Encik Jamie Dimon, secara terbuka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pentadbiran baru.
Perpecahan itu menandakan realiti baru bahawa kelas atasan sendiri tidak lagi sepenuhnya bersatu menentang politik progresif.
Encik Mamdani berkempen secara terbuka dengan membawa gagasan sosialis demokratik, satu pendekatan yang sekian lama dielakkan oleh kepimpinan arus perdana Parti Demokrat.
Beliau menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual, transjantina dan ‘queer’ (LGBTQ), pembaharuan dalam pendekatan keselamatan awam, serta peranan pemerintah yang lebih besar dalam menjamin kesejahteraan rakyat.
Selepas kemenangan, beliau menegaskan pendiriannya tanpa berlapik: “Saya seorang Muslim, saya seorang sosialis demokratik... saya tidak akan meminta maaf atas siapa saya atau apa yang saya perjuangkan.”
Antara janji utama beliau termasuk bas bandar percuma, penjagaan kanak-kanak awam sejagat, pasar raya milik bandar, pembekuan sewa untuk unit di bawah kawalan sewa, pembinaan perumahan mampu milik tambahan dan gaji minimum AS$30 sejam menjelang 2030.
Beliau turut merancang pelaburan AS$100 bilion dalam tempoh 10 tahun, termasuk AS$70 bilion dalam bon perbandaran, bagi membina 200,000 unit rumah mampu milik kekal yang dibina oleh kesatuan pekerja.
Namun, pelaksanaan janji itu memerlukan kelulusan pemerintah negeri dan peningkatan cukai ke atas golongan kaya serta korporat, menjadikan rundingan politik satu ujian besar.
Berpaksikan nilai sosialis demokratik, Encik Mamdani melihat isu tempatan dan sejagat sebagai saling berkait.
Beliau menekankan “moraliti dalam dasar luar” dan secara terbuka mengkritik tindakan Israel di Gaza, menyokong hak Palestin serta gerakan boikot.
Encik Mamdani berjanji menjadikan usaha membanteras Islamofobia serta rasisme terhadap rakyat Palestin sebagai antara keutamaan utama apabila beliau memulakan tugasnya.
Pendekatan itu menjadikannya sasaran kritikan keras.
Di Upper East Side, kawasan elit yang majoritinya menolak beliau dalam pilihan raya, seorang usahawan, Encik Adam Beckerman, meluahkan kemarahannya.
“Beliau seorang ideolog antikapitalis dan anti-Barat yang jahil,” kata Beckerman, 66 tahun.
Namun bagi penyokong Encik Mamdani, pendirian itu mencerminkan keberanian politik yang jarang ditemui dalam politik Amerika arus perdana.
Kemenangan Encik Mamdani turut mencerminkan perubahan sikap generasi muda terhadap sosialisme.
Tinjauan Fox News pada September 2025 menunjukkan sokongan terhadap sosialisme hampir menyamai kapitalisme di New York, dengan jurang lebih besar dalam kalangan pengundi Demokrat dan mereka yang berusia bawah 35 tahun.
Ini memberi konteks penting bahawa idea Encik Mamdani bukanlah pinggiran, sebaliknya semakin diterima, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan minoriti.
Namun kemenangan pilihan raya hanyalah permulaan.
Kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan Encik Mamdani melaksanakan dasar dan menghasilkan kesan nyata kepada golongan pekerja.
Pasukannya terdiri daripada gabungan aktivis progresif muda dan tokoh pentadbiran berpengalaman seperti Timbalan Datuk Bandar Pertama Encik Dean Fuleihan, dan Pengarah Bajet, Encik Sherif Soliman.
Keseimbangan antara idealisme dengan realisme pentadbiran akan menentukan hala tuju pentadbiran itu.
Hubungan dengan Gabenor New York, Cik Kathy Hochul, serta badan perundangan negeri juga kritikal.
Tanpa sokongan mereka, dasar utama seperti bas percuma dan penjagaan kanak-kanak sejagat mungkin tersekat.
Di peringkat persekutuan pula, hubungan dengan pentadbiran Presiden Donald Trump kekal rapuh.
Konflik terbuka boleh mengundang tindakan keras seperti penarikan dana persekutuan atau operasi imigresen yang agresif, yang akan memberi kesan besar kepada bandar itu.
Kebangkitan pentadbiran Encik Mamdani mencerminkan angin perubahan dalam politik Amerika, yang semakin terpisah oleh jurang kelas, perbezaan generasi dan persoalan identiti.
Jika beliau berjaya di New York, bandar paling kompleks di Amerika, penyokongnya percaya pendekatan itu boleh menular ke peringkat nasional dan sejagat.
Dari serambi belakang Gracie Mansion, Encik Mamdani masih boleh melihat Astoria di seberang Sungai East River.
Ia menjadi peringatan bahawa walaupun kediamannya berubah, asas politiknya kekal berpaksikan masyarakat pendatang dan kelas pekerja yang mengangkatnya ke tampuk kuasa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg