NEW YORK: Pengundi Muslim di Amerika Syarikat menunjukkan sokongan luar biasa kepada calon-calon Demokrat dalam pilihan raya 4 November, menurut tinjauan pascapengundian yang dikeluarkan oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) pada 10 November.
Kajian itu mendapati 97 peratus pengundi Muslim di New York memilih Encik Zohran Mamdani, Datuk Bandar baru berfahaman demokrat sosialis, manakala 95 peratus pengundi Muslim di Virginia menyokong Senator Ghazala Hashmi, calon Demokrat Muslim Amerika yang berjaya dipilih sebagai Timbalan Gabenor.
Tinjauan yang melibatkan 1,626 responden Muslim ini menunjukkan penglibatan tinggi masyarakat Islam dalam proses demokrasi negara tersebut.
“Keputusan ini membuktikan hakikat yang amat menggalakkan. Umat Islam Amerika kini semakin berani tampil ke hadapan, bersuara dan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan demokrasi negara,” kata CAIR dalam kenyataannya.
CAIR menambah bahawa pengundi Muslim di empat negeri New York, Virginia, New Jersey dan California menunjukkan “komitmen luar biasa terhadap tanggungjawab sivik”, dengan kadar keluar mengundi yang meningkat mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Di New Jersey dan Virginia, dua calon Demokrat berpendirian sederhana, Cik Abigail Spanberger dan Cik Mikie Sherrill, masing-masing meraih sekitar 85 peratus undi daripada masyarakat Muslim.
Sementara itu, Proposisi 50 California, yang meluluskan peta baru kawasan pilihan raya memihak kepada Demokrat, menerima 90 peratus sokongan daripada pengundi Muslim.
Penganalisis politik melihat gelombang sokongan ini sebagai tindak balas terhadap dasar Presiden Donald Trump, khususnya yang dianggap menyinggung umat Islam dan menyemarakkan retorik Islamofobia semasa kempen pilihan raya di New York.
“Umat Islam Amerika menunjukkan bahawa mereka bangkit menghadapi kebencian anti-Muslim dan berusaha membina masa depan yang lebih baik untuk diri mereka dan jiran-jiran mereka,” kata CAIR lagi.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa Parti Demokrat mula memulihkan semula kepercayaan sebahagian pengundi Muslim yang menjauhkan diri pada pilihan raya presiden pada 2024 berikutan sokongan tidak berbelah bahagi mantan Presiden Joe Biden terhadap Israel dalam konflik berdarah di Gaza.
CAIR turut mendedahkan bahawa sebanyak 76 calon Muslim bertanding dalam pilihan raya 4 November, dengan 38 orang menang di pelbagai peringkat.
Di Michigan, tiga kawasan utama yang mempunyai ramai penduduk Muslim – Hamtramck, Dearborn, dan Dearborn Heights masing-masing memilih Datuk Bandar Muslim baru.
Beberapa calon Muslim juga bakal bertanding pada pilihan raya Kongres pada 2026 termasuk Encik Abdul el-Sayed, yang akan mencuba nasib bagi kerusi Senat di Michigan.
Di New York, Encik Mamdani anak imigran India-Uganda dan seorang aktivis hak Palestin mencatat sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim pertama di bandar raya itu.
Bagi kira-kira 1 juta penduduk Muslim New York, yang mewakili 12 peratus populasi, kemenangan Encik Mamdani dianggap detik kebangkitan politik selepas bertahun-tahun dipinggirkan oleh dasar pasca-9/11 dan pengawasan pemerintah.
“Untuk pertama kali, kami merasa suara kami benar-benar didengar,” kata seorang pengundi, Cik Aisha Rahman, dari Queens.
“Mamdani bercakap tentang keadilan, tentang kehidupan kami, dan tentang Gaza, sesuatu yang tidak pernah kami dengar dari calon lain,” tambah beliau.
Kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Muslim meningkat 40 hingga 50 peratus lebih tinggi berbanding pilihan raya 2021, menurut data NBC News dan Associated Press (AP).
Sebaliknya, masyarakat Yahudi New York yang dianggarkan berjumlah 1.1 juta orang banyak memberi sokongan kepada Encik Andrew Cuomo, mantan Gabenor yang disokong Encik Trump.
Menurut tinjauan CNN dan NBC, 63 peratus pengundi Yahudi memilih Encik Cuomo, manakala 33 peratus menyokong Encik Mamdani.
Isu Israel-Gaza muncul sebagai faktor penentu.
Data tinjauan menunjukkan hampir separuh pengundi kedua-dua calon menilai pendirian terhadap Israel sebagai faktor utama undi mereka.
Namun, perpecahan generasi dalam masyarakat Yahudi juga jelas: 50 peratus pengundi berusia bawah 45 tahun memilih Encik Mamdani, manakala 70 peratus yang berusia lebih 45 memilih Encik Cuomo.
Sementara itu, pengundi Kristian, termasuk Katolik dan Protestan, menunjukkan corak undian yang lebih berpecah.
Katolik yang terdiri daripada masyarakat Italy, Ireland dan Hispanik lebih cenderung kepada Encik Cuomo, manakala kumpulan Protestan dan evangelikal berkulit hitam lebih banyak menyokong Encik Mamdani kerana agenda ekonominya yang memihak kepada golongan berpendapatan rendah.
“Pilihan raya ini menunjukkan bahawa politik Amerika semakin berbilang suara,” kata Encik Nihad Awad, Pengarah Eksekutif CAIR.
“Pengundi Muslim bukan lagi pemerhati; mereka kini penentu hala tuju demokrasi Amerika,” tambah beliau. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg