Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita di sebalik kemenangan Zohran Mamdani

Nov 6, 2025 | 10:37 AM
rama duwaji, datuk bandar new york, zohran mamdi
Cik Rama Duwaji, isteri kepada Datuk Bandar New York terpilih, Encik Zohran Mamdani, tiba di pentas selepas kemenangan suaminya dalam pilihan raya Datuk Bandar New York 2025 semasa perhimpunan malam pilihan raya di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat, pada 4 November. - Foto REUTERS

NEW YORK: Suasana di dewan utama Brooklyn pada malam 4 November berubah menjadi lautan sorakan apabila Encik Zohran Mamdani, 34 tahun, mengangkat tangan tanda kemenangan selepas diumumkan sebagai Datuk Bandar baru New York.

Di hadapan ribuan penyokongnya, beliau menyampaikan ucapan penuh emosi bukan sekadar meraikan kejayaan politiknya, malah untuk memberi penghormatan kepada seseorang yang istimewa.

“Dan kepada isteriku yang luar biasa, Rama, hayati,” katanya, menggunakan perkataan Arab yang bermaksud ‘hidupku’.

“Tiada sesiapa yang lebih saya inginkan untuk berada di sisi saya selain dirinya bukan hanya pada saat ini, tetapi dalam setiap detik kehidupan saya.”

Kata-kata itu disambut sorakan panjang.

Cik Rama Duwaji, 28 tahun, berdiri di sebelahnya, tersenyum sambil melambai ke arah penonton.

Dalam sekelip mata, beliau bukan sahaja menjadi figura penting dalam kemenangan suaminya, malah menjadi wanita termuda yang bakal menyandang gelaran Wanita Pertama Bandar New York.

Sepanjang kempen, nama Cik Rama jarang disebut di pentas politik.

Seorang pelukis dan pereka animasi berketurunan Syria yang lahir di Houston, beliau lebih selesa bekerja di balik tabir.

“Rama bukan sekadar isteriku; beliau seorang seniman hebat yang layak dikenali atas karyanya sendiri,” tulis Encik Mamdani dalam satu hantaran di Instagram Mei lalu.

Cik Rama dikenali melalui karya seninya yang sarat menyorot isu kemanusiaan di Gaza, Sudan, dan Lebanon.

Karya hitam putihnya pernah dipamerkan di Tate Modern, serta diterbitkan di The New York Times, BBC News, Vice dan The Washington Post.

“Tugas seorang seniman ialah mencerminkan zaman,” katanya dalam wawancara bersama laman web YUNG.

“Setiap karya seni, walaupun sebagai ruang perlindungan daripada kekejaman dunia, tetap bersifat politik.”

Kisah pertemuan pasangan itu menjadi bualan ramai.

Encik Mamdani dan Cik Rama bertemu melalui aplikasi janji temu, Hinge, pada 2021.

“Jadi, masih ada harapan untuk mereka yang guna aplikasi janji temu,” gurau Encik Mamdani dalam satu temu bual dengan The Bulwark.

Cik Rama berpindah ke New York pada 2021 untuk menyambung kerjaya seni selepas menamatkan ijazah Sarjana Muda Komunikasi Seni di Universiti Virginia Commonwealth dan Sarjana Seni Lukis di Sekolah Seni Visual New York.

Cik Rama dan Encik Mamdani berkahwin pada Februari lalu di Biro Perkahwinan Manhattan sebelum mengadakan majlis resepsi di Uganda, tanah kelahiran Encik Mamdani, pada Julai.

Walaupun jarang muncul di khalayak, peranan Cik Rama dalam kempen pilihan raya suaminya amat penting.

Menurut laporan CNN, beliau antara yang merancang identiti visual kempen Encik Mamdani daripada warna kuning, oren dan biru yang menyerlah hingga tipografi yang kini menjadi simbol gerakan politik progresif di New York.

“Rama tidak suka politik, tapi beliau faham kekuatan imej visual,” kata Cik Hasnain Bhatti, 32 tahun, rakan pasangan itu yang juga merupakan seorang jurugambar.

“Beliau membantu membentuk cara orang melihat Zohran yang jujur, segar, dan berani,” tambah Cik Bhatti.

Namun, ketiadaannya di pentas politik turut menimbulkan spekulasi.

Beberapa pengulas mendakwa Encik Mamdani “menyembunyikan” isterinya kerana pandangan politiknya yang lantang mengenai Palestin dan dasar luar Amerika Syarikat.

Dalam satu hantaran di Twitter, beliau pernah menulis tentang “imperialisme Amerika” dan “jenayah perang Israel”, pandangan yang sejajar dengan pendirian politik suaminya.

Encik Mamdani membalas tuduhan itu dengan tenang.

“Politik boleh jadi kejam. Ancaman bunuh dan panggilan agar saya diusir bukan perkara baru.

“Tetapi apabila ia menyentuh keluarga, itu berbeza. Kritiklah pandangan saya, bukan orang yang saya sayangi,” tulis Encik Mamdani.

Sejak kemenangan Encik Mamdani, tumpuan media terhadap Cik Rama meningkat mendadak.

Dalam masa singkat, pengikutnya di Instagram meningkat kepada lebih 220,000.

Sebahagian pengikut meminati seninya manakala yang lain tertarik dengan gaya peribadinya – skirt labuh, but hitam dan perhiasan emas bertindih menjadi identiti visualnya.

“Beliau seperti Puteri Diana versi moden,” ujar Cik Bhatti sambil ketawa.

Namun bagi Cik Rama, kehidupan baru ini masih terasa asing.

Dalam wawancara April lalu, beliau mengakui, “Saya risau dengan apa yang berlaku di New York, di Palestin, di Syria. Tapi seni ialah cara saya melawan ketakutan itu.”

Kini, tatkala Cik Rama bersiap untuk peranan barunya sebagai Wanita Pertama termuda New York, ramai melihat Cik Rama sebagai simbol kebangkitan wajah Muslim baru Amerika iaitu berprinsip, berpendidikan dan berani bersuara.

“Rama bukan sekadar isteri seorang Datuk Bandar,” kata rakan rapatnya, Cik Maryam Khaled.

“Beliau cermin generasi muda Muslim yang percaya bahawa identiti dan seni boleh berjalan seiring dengan kuasa.”

Bagi ramai pengundi, pasangan itu melambangkan harapan baru untuk New York, sebuah bandar yang kini bukan hanya meraikan kepelbagaian, tetapi akhirnya dipimpin oleh mereka yang benar-benar lahir daripada jiwanya sendiri.

“Zohran mungkin menang pilihan raya, tetapi Rama menangi hati rakyat,” ujar Cik Bhatti. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg