Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Datuk Bandar Seoul beri jaminan bandar selamat di tengah krisis politik

Feb 5, 2025 | 7:15 PM
Orang ramai mengenakan pakaian Hanbok apabila berkunjung ke Istana Gyeongbokgung di Seoul, Korea Selatan pada 29 Januari 2025.
Orang ramai mengenakan pakaian Hanbok apabila berkunjung ke Istana Gyeongbokgung di Seoul, Korea Selatan pada 29 Januari 2025. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Datuk Bandar Seoul, Encik Oh Se-hoon, pada 4 Februari sekali lagi memberi jaminan kepada pelancong asing bahawa bandar itu kekal selamat, menekankan komitmen perbandaran itu untuk memastikan keselamatan dan keterbukaan di tengah-tengah pergolakan politik berikutan pengisytiharan undang-undang tentera pada 2024.

“Masyarakat Korea adalah satu yang berdaya tahan. Kemelut politik sedang diselesaikan dengan cara yang teratur, dan prosedur kehakiman sedang dijalankan dengan penuh disiplin.

“Disebabkan itulah, industri pelancongan sedang meraih momentum yang ketara, terutama apabila warga asing tahu akan keselamatan di Seoul dan tidak perlu risau apabila mempertimbang melawat Korea,” kata Encik Oh semasa sidang media bersama media asing di ibu negara Korea Selatan pada 4 Februari.

Menurut pihak berkuasa bandar, bilangan pelancong asing yang melawat Seoul telah meningkat secara berterusan sejak pandemik Covid-19.

Sehingga November 2024, seramai 12.12 juta pelawat asing telah melancong ke Seoul, iaitu 95 peratus daripada rekod tertinggi pelawat pada 2019 iaitu 12.74 juta.

Minggu lalu, wadah pelancongan terbesar di dunia, Tripadvisor, menyenaraikan Seoul sebagai bandar terbaik untuk pengembara solo.

Pengiktirafan itu berdasarkan 1 peratus destinasi paling popular di seluruh dunia secara tahunan berdasarkan ulasan pengembara dan maklum balas di wadah tersebut.

Tripadvisor menggambarkan Seoul sebagai sebuah bandar di mana zaman dahulu dan sekarang bercantum secara harmoni, memuji sistem kereta api bawah tanahnya yang bertaraf dunia, dan menonjolkan peta laluan pelancongannya yang teratur dan operasi pengangkutan yang cekap, yang memudahkan penerokaan bandar.

Mengaitkan pencapaian sedemikian kepada pelaksanaan visi pelancongan pihak berkuasa bandar itu yang diumumkan pada 2023, Encik Oh berkata ia akan terus mengutamakan usaha mewujudkan infrastruktur pelancongan yang mudah dan selamat untuk pengembara solo, selaras dengan trend perjalanan terkini.

Beliau menambah bahawa keselamatan awam Seoul boleh dinilai sebagai “tahap A+”.

Menurut Encik Oh, semakin ramai pelancong asing suka melakukan pelbagai aktiviti di Seoul, dan salah satunya ialah mendaki atau ‘hiking’.

Pihak berkuasa bandar itu telah mengendalikan Pusat Pelancongan Mendaki (Hiking) Bandar Seoul di Ui-dong, Gangbuk-gu, sejak September 2022.

Terletak berhampiran Taman Nasional Bukhansan, pusat itu menyediakan maklumat mendaki dan perkhidmatan berkaitan untuk pelancong domestik dan antarabangsa.

“Walaupun merupakan metropolis utama, Seoul mempunyai banyak gunung yang mudah diakses melalui pengangkutan awam, seperti bas dan kereta api bawah tanah,” kata Encik Oh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg