Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Yoon ditangkap, akhiri ketegangan politik

Jan 15, 2025 | 11:14 AM
Presiden Korea Selatan yang dipecat, Encik Yoon Suk Yeol, tiba di Pejabat Siasatan Rasuah untuk Pegawai Peringkat Tinggi (CIO) di Gwacheon, Korea Selatan, pada 15 Januari.
Presiden Korea Selatan yang dipecat, Encik Yoon Suk Yeol, tiba di Pejabat Siasatan Rasuah untuk Pegawai Peringkat Tinggi (CIO) di Gwacheon, Korea Selatan, pada 15 Januari. - Foto REUTERS

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan menangkap mantan Presiden Yoon Suk Yeol pada 15 Januari.

Ini susulan dakwaan pemberontakan, berkaitan dengan undang-undang tentera yang beliau isytiharkan pada 3 Disember.

Selepas beberapa minggu ketegangan politik, ia berakhir dengan keputusan mengejut Encik Yoon untuk bekerjasama dalam siasatan.

Lebih 3,000 anggota polis bergerak menuju ke kediaman Encik Yoon untuk menangkapnya, memaksa beliau membuat keputusan menyerah diri kepada pasukan penyiasat.

“Saya melihat mereka memecah masuk ke kawasan keselamatan menggunakan peralatan bomba hari ini dan saya membuat keputusan untuk menyahut siasatan CIO (Pejabat Siasatan Rasuah untuk Pegawai Peringkat Tinggi) – walaupun ia adalah siasatan yang tidak sah – demi untuk mengelakkan pertumpahan darah yang tidak diingini,” kata Encik Yoon dalam satu kenyataan.

Beliau dilihat tiba dengan konvoi motornya di pejabat agensi antirasuah yang mengetuai siasatan itu pada pagi 15 Januari.

Encik Yoon berhadapan dengan penangkapan pertama bagi seorang presiden yang masih memegang jawatan di negara itu.

Sejak ahli Parlimen mengundi untuk memecatnya selepas pengisytiharan undang-undang darurat yang tidak bertahan lama, Encik Yoon telah bersembunyi di kediamannya di kawasan berbukit, dikawal ketat oleh pasukan keselamatan peribadi yang menghalang usaha tangkapan sebelum ini.

Cubaan pertama menahan Encik Yoon pada 3 Januari lalu gagal selepas kebuntuan berjam-jam dengan Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS) yang enggan berundur ketika penyiasat cuba melaksanakan waran mereka.

Penangkapan itu adalah perkembangan yang mengejutkan dalam demokrasi yang sangat dinamik di Asia, walaupun Korea Selatan mempunyai sejarah mendakwa dan memenjarakan mantan pemimpin.

Penahanan Encik Yoon turut menandakan satu babak baru dalam sejarah negara itu, yang belum pernah menyaksikan presiden yang masih memegang jawatan ditangkap.

Peguam Yoon mempertikaikan cubaan menahan Encik Yoon dengan alasan ia tidak sah dan bertujuan memalukan beliau secara terbuka.

Mereka menegaskan bahawa usaha itu adalah tindakan yang tidak adil terhadap pemimpin yang masih berkuasa.

Sebagai tindak balas terhadap penangkapan tersebut, beberapa pertempuran kecil tercetus antara penyokong Encik Yoon yang menangis dengan pihak polis di sekitar kediamannya.

Menurut saksi agensi berita, Reuters, yang berada di tempat kejadian, suasana menjadi tegang apabila para penyokongnya mengadakan bantahan secara spontan.

Pengumuman Encik Yoon mengenai undang-undang darurat telah mengejutkan rakyat Korea Selatan dan menggoncang ekonomi terbesar keempat di Asia.

Keputusan mengisytiharkan undang-undang darurat itu turut membawa kepada ketegangan politik yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Pada 14 Disember, Parlimen Korea Selatan mengundi untuk memecat Encik Yoon dan menggantungkan tugas presiden.

Selain itu, Mahkamah Perlembagaan kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengesahkan pemecatan tersebut dan menghalang Encik Yoon daripada memegang jawatan presiden secara tetap, atau mengembalikan semula kuasa presiden beliau.

Seiring dengan perkembangan itu, rakyat Korea Selatan terus menantikan kesan jangka panjang daripada krisis politik yang kini sedang melanda negara mereka. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg