Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Detik Korea S dilanda kekacauan politik

Dec 5, 2024 | 3:56 PM
Para pekerja mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, dipecat dan didakwa ekoran pelaksanaan dekri undang-undang tentera dan membatalkannya sejurus kemudian.
Para pekerja mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, dipecat dan didakwa ekoran pelaksanaan dekri undang-undang tentera dan membatalkannya sejurus kemudian. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Pada sesi pendengaran pengesahannya pada September lalu, Menteri Pertahanan Korea Selatan, Encik Kim Yong-hyun, menafikan tuduhan daripada pihak pembangkang bahawa beliau berhasrat melaksanakan undang-undang tentera.

Ketika itu, penyokong tegar konservatif menganggap dakwaan tersebut sebagai propaganda politik.

Namun, ketika ketegangan antara Presiden Yoon Suk Yeol dengan pihak pembangkang mencapai kemuncaknya minggu ini, Encik Kim, yang merupakan sekutu rapat Presiden Yoon, dilaporkan mengesyorkan pelaksanaan undang-undang tentera.

Maklumat itu diperoleh daripada pegawai kanan tentera dan dokumen pemfailan pemecatan yang dikemukakan oleh pihak pembangkang pada 4 Disember.

Encik Kim mengusulkan idea itu kerana beliau percaya pembangkang liberal telah menolak Encik Yoon ke tepi, kata sumber tentera.

Tindakan mengejutkan Encik Yoon pada malam 3 Disember telah memecahbelahkan menterinya dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah serta mencetuskan kekacauan politik selama enam jam di Korea Selatan.

Pengisytiharan undang-undang tentera yang disiarkan melalui televisyen menjerumuskan Korea Selatan ke dalam krisis dan mencemarkan reputasi sekutu Amerika Syarikat yang beralih daripada pemerintahan diktator kepada demokrasi pada 1980-an.


Ketika Encik Yoon, 63 tahun, membatalkan pelaksanaan undang-undang tentera pada awal 4 Disember selepas Parlimen yang dikuasai pembangkang mengundi untuk menolaknya, kedudukannya dalam arena politik dan cengkamannya terhadap negara mengalami tamparan hebat.

Sepanjang hari, semakin ramai sekutunya beralih arah, sementara sokongan untuk usul pemecatan dan penyingkirannya terus meningkat.

Beliau kini berdepan dengan undi pemecatan yang cuba diteruskan oleh pembangkang.

Empat daripada penggubal undang-undang yang ditemu bual menekankan peranan penting yang dimainkan oleh Encik Kim, rakan sekolah menengah Encik Yoon, dalam menyokong dan memudahkan rampasan kuasa yang gagal dan menurut presiden perlu untuk menghapuskan “pasukan pro-Korea Utara dan antinegara”.

Satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Kementerian Pertahanan pada 4 Disember, menyatakan Encik Kim bertanggungjawab atas arahan kepada tentera yang menyerbu bangunan Parlimen.

Jurucakap pejabat Encik Yoon berkata dekri undang-undang tentera dilakukan mengikut perlembagaan dan perlu untuk melindungi demokrasi.

Terdapat lebih sedozen pengisytiharan undang-undang tentera sejak penubuhan Republik Korea Selatan pada 1948.

Ketua parti pemerintah, Encik Han Dong-hoon, mendakwa pejabat presiden tidak berunding dengannya mengenai langkah tersebut.

Sekitar empat jam sebelum pengumuman undang-undang tentera pada 10.23 malam, pejabat Encik Yoon memaklumkan ketua polis negara supaya bersiap sedia.

Pada 9 malam, Encik Yoon mengadakan mesyuarat Kabinet.

Dalam mesyuarat itu ‘kebanyakan’ anggota menentang rancangan itu.

Namun, Encik Yoon meneruskan dekri undang-undang tentera tetapi membatalkannya kemudian. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg