JAKARTA: Debat pertama calon Gabenor Jakarta untuk Pilihan Raya Gabenor Jakarta Jakarta 2024 telah berlangsung pada malam Ahad, 6 Oktober 2024 disiarkan secara langsung dan memberi peluang kepada setiap calon untuk membentangkan visi dan misi mereka menjelang pemilihan pada 27 November nanti.
Dalam debat yang berlagsung di Expo Kemayoran, Jakarta Utara tiga calon yang bertanding Encik Ridwan Kamil bersama pasangannya Encik Suswono; Encik Dharma Pongrekun bersama pasangan Encik Kun Wardana, dan Encik Pramono Anung dengan pasangannya Rano Karno menyentuh isu-isu penting seperti pembangunan infrastruktur, kesejahteraan wanita, dan pelestarian budaya.
Dalam debat pertama, Encik Ridwan menyentuh isu kesejahteraan wanita, terutama berkaitan pekerjaan yang sering bertentangan dengan hak lelaki. Encik Ridwan berjanji untuk membangunkan sekolah percuma di bawah pentadbiran provinsi Jakarta, serta memperkenalkan pinjaman tanpa faedah dan tanpa cagaran.
Beliau juga bercadang untuk mendirikan sekolah khusus untuk wanita, terutama ibu-ibu, serta sekolah politik bagi wanita. “Wanita mesti dilindungi, wanita mesti mempunyai hak,” tegas Encik Ridwan.
Calon gabenor nombor dua, Encik Dharma, pula menekankan bahawa kesejahteraan wanita dibentuk melalui norma dan moral masyarakat. Beliau menyeru agar pemerintah provinsi lebih telus dalam membuka peluang pekerjaan kepada wanita. “Kita perlu memperbaiki keadaan supaya lebih adil,” kata Encik Dharma.
Sementara itu, Encik Pramono Anung mencadangkan agar jurang pekerjaan antara lelaki dan wanita diatasi melalui penganjuran karnival kerjaya di setiap daerah, setiap tiga bulan. Beliau juga ingin menubuhkan Pusat Latihan Pekerjaan, khusus untuk wanita.
Debat yang berlangsung selama 150 minit ini membincangkan pelbagai isu termasuk infrastruktur, kesejahteraan sosial, dan transformasi Jakarta sebagai sebuah bandar global. Dengan lebih 8 juta pengundi bakal keluar mengundi pada 27 November, debat ini menjadi medan penting bagi para calon membentangkan rancangan mereka.
Pertandingan ini juga penting kerana ia menandakan permulaan pentadbiran baharu di Jakarta sebagai sebuah bandar pasca-ibu kota, memandangkan terdapat dalam pemindahan ibu kota baru ke Nusantara.
Keupayaan mereka untuk menangani isu-isu seperti pengurusan sumber manusia, pembangunan infrastruktur akan menjadi penentu utama dalam pemilihan kali ini. Pertarungan ini dijangka semakin sengit apabila debat kedua dan ketiga diadakan sebelum hari pengundian.- Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg