SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Masjid Al-Aqsa dibuka semula selepas 40 hari ditutup

Masjid Al-Aqsa dibuka semula selepas 40 hari ditutup

Apr 9, 2026 | 4:39 PM

Masjid Al-Aqsa dibuka semula selepas 40 hari ditutup

Jemaah Muslim menunaikan solat di kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis pada 9 April 2026, ketika gencatan senjata selama dua minggu dalam konflik Iran berkuat kuasa.
Jemaah Muslim menunaikan solat di kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis pada 9 April 2026, ketika gencatan senjata selama dua minggu dalam konflik Iran berkuat kuasa. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis Timur yang diduduki dibuka semula kepada jemaah Muslim pada Khamis, 9 April selepas ditutup selama 40 hari oleh Israel susulan operasi ketenteraan bersama Amerika Syarikat terhadap Iran.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, pintu masjid dibuka seawal waktu subuh, membolehkan ratusan rakyat Palestin memasuki kawasan Al-Haram al-Sharif buat kali pertama sejak penutupan.

Sebaik pintu dibuka, jemaah dilihat berpusu-pusu masuk dengan suasana penuh emosi. Ada yang menangis dan sujud syukur di halaman masjid. “Ini detik yang sangat menyentuh hati. Kami menunggu lama untuk kembali ke Al-Aqsa,” kata seorang jemaah.

Ratusan umat Islam beratur untuk menunaikan solat Subuh berjemaah, menandakan ibadah berjemaah pertama di lokasi itu sejak ia ditutup pada 28 Februari lalu.

Sepanjang tempoh penutupan, hanya kakitangan masjid dan pegawai Wakaf Islam dibenarkan berada di dalam kawasan tersebut, manakala rakyat Palestin lain terpaksa menunaikan solat di masjid-masjid kecil sekitar bandar.

Seorang penduduk berkata sekatan itu memberi kesan besar kepada kehidupan beragama mereka.
“Kami terpaksa solat di tempat lain. Al-Aqsa bukan sekadar masjid, ia sebahagian daripada kehidupan kami,” katanya.

Penutupan itu turut menyebabkan solat Aidilfitri tidak dapat dilaksanakan di Al-Aqsa pada tahun 2026 ini, buat pertama kali sejak Israel menduduki Baitulmakdis Timur pada 1967.

Dalam tempoh sama, pihak berkuasa Israel turut menutup Gereja Makam Suci, antara tapak paling suci bagi penganut Kristian di bandar itu.

Terdahulu, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, dilaporkan memasuki kawasan Al-Aqsa pada 6 April ketika ia masih ditutup, mencetuskan ketegangan.

Walaupun pemerintah Israel melanjutkan perintah darurat sehingga pertengahan April, tiada penjelasan diberikan sama ada sekatan terhadap Al-Aqsa akan dikenakan semula. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg