Topic followed successfully
Go to BHkuNegara Arab kecam pencerobohan menteri Israel di Masjid Al-Aqsa
Negara Arab kecam pencerobohan menteri Israel di Masjid Al-Aqsa
Negara Arab kecam pencerobohan menteri Israel di Masjid Al-Aqsa
BAITULMAKDIS: Beberapa negara Arab dan kumpulan Palestin mengecam tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, yang menceroboh kawasan Masjid Al-Aqsa pada 6 April, dalam kejadian yang disifatkan sebagai provokasi serius terhadap umat Islam.
Menurut Direktorat Wakaf Islam di Baitulmakdis, Encik Ben-Gvir, memasuki kawasan masjid melalui Pintu Maghribi sebelum meninjau pekarangan kompleks tersebut.
Kementerian Luar Qatar menyifatkan tindakan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan satu provokasi terhadap umat Islam di seluruh dunia”.
Ia turut menegaskan penolakan terhadap sebarang usaha mengubah status sejarah dan undang-undang Masjid Al-Aqsa serta menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap pelanggaran berulang oleh Israel di Baitulmakdis.
Jordan juga mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan pencabulan kesucian Masjid Al-Aqsa.
Kementerian Luar Jordan menuduh Israel, sebagai kuasa pendudukan di Baitulmakdis, cuba mengenakan pembahagian masa dan ruang di kawasan suci itu, selain mengecam penutupan berterusan masjid itu kepada umat Islam.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pula menyifatkan tindakan Encik Ben-Gvir itu sebagai “serangan terang-terangan” yang berlaku ketika pihak berkuasa Israel terus menghalang umat Islam daripada memasuki masjid tersebut.
Menurut kementerian tersebut, pencerobohan berulang oleh anggota pemerintah sayap kanan Israel merupakan “serangan terhadap tapak suci yang secara eksklusif milik umat Islam”, dan menggesa tindakan segera daripada dunia Arab, Islam dan antarabangsa.
Kumpulan Hamas menyifatkan tindakan tersebut sebagai mencerminkan usaha berterusan Israel untuk menguasai sepenuhnya kompleks Masjid Al-Aqsa.
Seorang pemimpin Hamas, Encik Abdul Rahman Shadid, berkata tindakan itu, yang berlaku ketika masjid tersebut ditutup lebih sebulan kepada umat Islam, merupakan “dasar pendudukan paling berbahaya yang tersusun terhadap tapak suci itu.”
Pihak berkuasa Israel dilaporkan menutup Masjid Al-Aqsa dan Gereja Holy Sepulchre selama 38 hari berturut-turut atas alasan “darurat” sejak bermulanya serangan Amerika-Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Luar Palestin menggesa sekatan antarabangsa dikenakan terhadap Israel menyusuli serangan penduduk haram Israel di dua kampung di selatan Nablus di Tebing Barat yang diduduki.
Serangan di kampung Al-Lubban al-Sharqiya dan Qusra itu menyaksikan puluhan penduduk haram membakar rumah dan kenderaan serta mencederakan sekurang-kurangnya 10 penduduk Palestin.
Kementerian itu menyifatkan kejadian tersebut sebagai “jenayah terancang dan berulang” yang bertujuan mewujudkan tekanan bagi mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka melalui keganasan tersusun.
Ia turut menuduh pihak berkuasa Israel memberi perlindungan kepada kumpulan penduduk haram bersenjata itu dan menggesa dilakukan tindakan lebih tegas terhadap mereka, termasuk sekatan serta penyenaraian kumpulan tersebut sebagai pertubuhan pengganas.
Menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan, sebanyak 4,723 serangan telah dilakukan oleh penduduk haram Israel di Tebing Barat sepanjang 2025, mengorbankan 14 rakyat Palestin dan memaksa 13 kumpulan Badwi yang melibatkan 1,090 orang berpindah.
Ketegangan di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur terus meningkat sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan di Gaza pada Oktober 2023, dengan rakyat Palestin melihatnya sebagai langkah ke arah pengilhakan rasmi wilayah tersebut.
Dalam satu keputusan penting pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan menggesa semua penempatan di Tebing Barat serta Baitulmakdis Timur dikosongkan. – Agensi berita.

