GAZA: Wakil Hamas dijadual ke Kahirah pada 30 November bagi perbincangan mengenai kemungkinan adakan gencatan senjata di Gaza, kata seorang pegawai kumpulan Hamas kepada agensi berita AFP pada 29 November.
“Delegasi Hamas akan ke Kahirah untuk menghadiri beberapa mesyuarat dengan pegawai Mesir bagi membincangkan idea gencatan senjata dan perjanjian melibatkan tahanan di Gaza,” kata pegawai tersebut, yang bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan disebabkan topik yang sensitif itu.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa antara Israel dengan kumpulan Lebanon, Hezbollah, yang merupakan sekutu Hamas.
Amerika Syarikat juga telah mengumumkan usaha diplomatik baru dengan Qatar, Turkey dan Mesir untuk mencapai gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan yang diambil semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan pertempuran hingga ke hari ini.
Serangan ke atas Israel itu mengakibatkan lebih 1,200 kematian, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Serangan balas tentera Israel telah mengorbankan lebih 44,300 orang di Gaza, menurut angka kementerian kesihatan wilayah tersebut.
Sekitar 250 tebusan juga telah diambil pada 7 Oktober 2023, dan 97 dipercayai masih berada di Gaza, termasuk 34 orang yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.
Satu-satunya gencatan senjata setakat ini, pada November 2023, menyaksikan pembebasan sekitar 100 tebusan oleh Hamas dan sekutunya sebagai pertukaran bagi 240 tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.
Amerika, Qatar dan Mesir telah memimpin pelbagai usaha sejak awal 2024 untuk mencapai gencatan senjata baru dan pembebasan tebusan, namun usaha itu telah gagal.
Sedang usaha untuk menimbulkan semula perbincangan mengenai gencatan senjata di Gaza mendapat harapan baru dengan perbincangan yang dijadual berlangsung antara wakil Hamas dengan pegawai Mesir, serangan tentera Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin di Jaluran Gaza, menurut paramedik tempatan.
Menurut paramedik, dron Israel turut mengorbankan Ahmed Al-Kahlout, ketua Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, di bahagian utara Jaluran Gaza.
Hospital Kamal Adwan merupakan salah satu daripada tiga prasarana perubatan di bahagian utara Jaluran Gaza yang hampir tidak dapat berfungsi kini disebabkan kekurangan perubatan, minyak dan bekalan makanan manakala kebanyakan kakitangan perubatannya telah ditahan oleh tentera Israel, menurut pegawai kesihatan tempatan.
Di Tebing Barat, seorang rakyat Palestin menembak sebuah bas Israel pada 29 November dan mencederakan sekurang-kurangnya lapan orang sebelum beliau dibunuh oleh askar Israel, menurut tentera Israel. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg