Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Lebanon teruja pulang ke rumah sejurus gencatan senjata dilaksana

Kelegaan dirasai namun banyak rumah tidak boleh didiami dalam masa terdekat dek musnah teruk, bekalan air dan elektrik rosak akibat serangan Israel
Nov 28, 2024 | 1:38 PM
Penduduk Lebanon lega dan gembira kerana dapat pulang ke rumah mereka, yang sesetengahnya telah musnah teruk, sejurus selepas gencatan senjata antara Hezbollah dengan Israel dilaksanakan pada 27 November.
Penduduk Lebanon lega dan gembira kerana dapat pulang ke rumah mereka, yang sesetengahnya telah musnah teruk, sejurus selepas gencatan senjata antara Hezbollah dengan Israel dilaksanakan pada 27 November. - Foto EPA-EFE

BEIRUT: Ketika fajar menyingsing, penduduk Lebanon, sesetengahnya menaiki kereta, menyelinap perlahan-lahan melalui lorong sempit yang dibarisi bangunan menyembah bumi untuk pulang ke rumah masing-masing.

Bagi mereka, gencatan senjata antara Hezbollah dengan Israel yang mula dilaksanakan pada 27 November menandakan berakhir sudah pengalaman pahit, gerun dan menyiksakan apabila mereka terpaksa mencari perlindungan lebih selamat sepanjang konflik sekitar setahun itu.

Dengan tilam diikat di atas kereta yang sarat berisi barangan keperluan, beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman sengit berbulan-bulan oleh Israel di pinggir selatan Beirut, bergegas pulang ke rumah mereka.

Kejiranan kediaman dan komersial terjejas teruk oleh serangan Israel, termasuk pada jam-jam terakhir sebelum gencatan senjata bermula.

Mereka sedih dan pilu apabila melihat banyak bangunan musnah, bumbung rumah mencecah bumi, wayar bergantungan dan barangan rumah bersepah di lantai.

Bagi kebanyakan penduduk, rumah mereka bukan lagi istana mereka.

Antara mereka ialah Encik Zahi Hijazi, 67 tahun, yang berasal dari selatan Lebanon tetapi telah menetap di pinggir bandar Beirut selama beberapa dekad.

“Rumah tempat kami berteduh telah musnah semuanya,’‘ kata beliau ketika melangkah masuk ke apartmennya yang dipenuhi pecahan kaca dan perabot pula berkecai.

Beliau menyelamatkan diri pada akhir September, ketika Israel secara mendadak meningkatkan serangan udaranya ke atas Lebanon selepas setahun berbalas tembakan dengan Hezbollah di sepanjang sempadan.

Encik Hijazi mengeluh siapa yang akan membantunya membaiki apartmennya yang rosak teruk itu.

“Saya mahu tinggal di rumah yang telah saya diami sejak 40 tahun lalu. Setiap sudut dalam rumah, semua yang ada dalam rumah ini, bermakna buat saya,” katanya dengan nada pilu.

Kelegaan jelas dapat dirasai – seorang wanita bertepuk tangan ketika beliau memandu ke kawasan kejiranan dan seorang lelaki muda pula dilihat menunjukkan dua jari di tingkat atas sebuah bangunan yang melopong akibat pengeboman.

Namun, ramai yang berkata rumah mereka tidak boleh didiami dalam masa terdekat kerana serangan Israel telah merosakkan bekalan air dan elektrik.

Mereka juga tidak tahu apakah yang akan berlaku selepas gencatan senjata selama 60 hari berakhir kelak.

“Apa yang sudah hilang tidak akan kembali,” kata Encik Ramez Boustany, seorang teknisyen berusia 62 tahun yang menilai kerosakan di apartmennya.

“Kita tidak tahu apakah yang akan berlaku pada masa hadapan – sama ada akan berlaku perang lagi, atau akan berlaku perang dunia ketiga, atau konflik berakhir di sini dan apakah mereka akan memeterai perjanjian. Kami benar-benar tidak tahu,” ujarnya.

Bank Dunia berkata sekurang-kurangnya 100,000 unit rumah di seluruh Lebanon telah rosak atau musnah akibat serangan Israel.

Beribu-ribu lagi penduduk menuju ke kampung halaman di selatan Lebanon dengan menaiki kereta yang dihiasi bendera negara mereka dan poster setiausaha agung Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, yang terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir bandar Beirut pada 27 September.

Ada yang dihalang oleh askar Lebanon kerana tentera Israel masih belum berundur di kawasan yang mereka tuju.

“Tiada apa-apa yang lebih baik dan lebih harum di kawasan selatan,” kata Encik Khedr, seorang lelaki ketika ditemui sedang menuju ke selatan Lebanon bersama keluarganya melalui Tyre, sebuah bandar pantai yang turut menjadi sasaran serangan Israel.

Tetapi, kegembiraan penduduk itu lenyap beberapa jam kemudian, apabila jurucakap tentera Israel berkata tentera akan menguatkuasakan perintah berkurung bagi menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki sebahagian besar selatan Lebanon selepas 5 petang waktu tempatan (11 malam waktu Singapura) hingga 7 pagi.

“Kami akan memaklumkan anda apabila selamat untuk pulang ke rumah kelak,” kata kenyataan itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg