BEIRUT: Israel dan Hezbollah bersetuju melaksanakan gencatan senjata awal pada 27 November, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata selama 60 hari yang dicadangkan Amerika Syarikat bagi menamatkan permusuhan selama lebih setahun.
Kabinet keselamatan Israel telah meluluskannya dan ia akan diserahkan kepada seluruh Kabinet untuk semakan.
Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, mengalu-alukan perjanjian tersebut, yang diluluskan Hezbollah.
Perjanjian itu, yang dirundingkan oleh perantara Amerika Syarikat, Encik Amos Hochstein, adalah setebal lima muka surat dan merangkumi 13 bahagian, menurut sumber politik Lebanon yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara tersebut.
Antara ringkasan peruntukan utama perjanjian itu ialah pemberhentian permusuhan dijangka bermula pada 4 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Singapura) pada 27 November.
Sumber kanan Lebanon berkata Israel dijangka “berhenti menjalankan sebarang operasi ketenteraan darat, laut dan udara di wilayah Lebanon, termasuk terhadap sasaran awam dan tentera, dan institusi negara Lebanon”.
Hezbollah dan sekutunya akan juga menghentikan operasi terhadap Israel, kata sumber itu.
Pengunduran tentera Israel dari selatan Lebanon akan dijalankan dalam 60 hari, kata dua pegawai Israel. Tentera Israel akan berundur secara beransur-ansur.
Lebanon sebelum ini mendesak agar tentera Israel berundur secepat mungkin tetapi mereka kini menjangka tentera Israel berundur dalam bulan pertama, kata sumber politik kanan Lebanon.
Seorang pegawai Lebanon berkata perjanjian itu termasuk hak Lebanon dan Israel untuk mempertahankan diri.
Kumpulan Hezbollah akan meninggalkan kedudukan mereka di selatan Lebanon dan bergerak ke kawasan utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer ke utara sempadan dengan Israel.
Pengunduran mereka tidak akan diketahui umum, kata sumber politik kanan Lebanon itu.
Beliau berkata kemudahan tentera kumpulan itu “akan dibongkar” tetapi tidak jelas sama ada kumpulan itu akan membawa senjata mereka semasa berundur.
Tentera Lebanon pula akan dikerahkan ke selatan Sungai Litani, melibatkan penempatan sekitar 5,000 askar di sana, termasuk di 33 pos di sepanjang sempadan dengan Israel, kata sumber keselamatan Lebanon.
“Penempatan itu adalah cabaran pertama, dikuti dengan cara menangani penduduk tempatan yang ingin pulang” memandangkan risiko senjata yang tidak meletup, kata sumber itu.
Lebih 1.2 juta orang, kebanyakannya di selatan Lebanon, kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel.
Hezbollah melihat kepulangan mereka sebagai keutamaan, kata seorang anggota parlimen Hezbollah, Encik Hassan Fadlallah.
Puluhan ribu pelarian dari utara Israel juga dijangka pulang ke rumah masing-masing.
Mekanisme tiga pihak sedia ada – pasukan pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di selatan Lebanon (Unifil), tentera Lebanon dan tentera Israel – akan diperluaskan untuk merangkumi Amerika dan Perancis, dengan Amerika mempengerusikan kumpulan itu, kata Timbalan Speaker Parlimen Lebanon, Encik Bou Saab.
Kenyataan bersama Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menyatakan bahawa Perancis dan Amerika akan bekerjasama untuk memastikan perjanjian itu dipatuhi sepenuhnya.
Pegawai Israel menegaskan tentera Israel akan terus menyerang Hezbollah jika ia mengenal pasti ancaman terhadap keselamatannya, termasuk pemindahan senjata dan peralatan ketenteraan kepada kumpulan itu.
Seorang pegawai Israel berkata Encik Hochstein telah memberi jaminan terus kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bahawa Israel boleh melakukan serangan sedemikian ke atas Lebanon. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg