Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Delegasi Hamas lawat Moscow bincang pembebasan tebusan asing

Oct 27, 2023 | 02:07 PM



MOSCOW: Satu delegasi Hamas telah melawat Moscow pada Khamis untuk membincangkan soal pembebasan tebusan asing termasuk warga Russia yang kini ditahan kumpulan militan di Gaza, lapor agensi berita Russia, memetik kementerian luar.


Jurucakap Kementerian Luar Russia, Cik Maria Zakharova, berkata delegasi Hamas berada di Moscow tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Sebaliknya beliau hanya memberitahu pemberita bahawa maklumat lanjut akan diberikan kemudian.

Anggota kanan Hamas, Encik Abu Marzouk, adalah antara yang menghadiri rundingan itu, lapor agensi TASS.


“Hubungan diadakan dengannya sebagai kesinambungan talian dengan Russia mengenai pembebasan segera tebusan asing di Jaluran Gaza. Isu berkaitan memastikan pemindahan warga Russia dan warga asing lain dari wilayah Palestin juga dibincangkan,” ujar agensi itu.

Russia mempunyai hubungan dengan semua kuasa utama di Timur Tengah, termasuk Israel, Iran, Penguasa Palestin dan Hamas, kumpulan militan Islam yang mengawal Gaza.

Moscow telah berulang kali menyalahkan krisis semasa atas kegagalan diplomasi Amerika Syarikat,dan menggesa gencatan senjata antara Israel dengan Hamas dan penyambungan semula rundingan bertujuan mencari penyelesaian damai.

Hamas mengeluarkan kenyataan memuji usaha Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan kementerian luar untuk menamatkan apa yang dipanggil “jenayah Israel yang disokong oleh Barat”, menurut agensi berita Russia, RIA.


Israel telah berikrar untuk menghapuskan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan 7 Oktober yang mengorbankan 1,400 orang dan lebih 200 orang diculik sebagai tebusan.

Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Jaluran Gaza, yang diperintah oleh Hamas.

Tindakan tentera Israel telah membunuh hampir 3,800 orang di Gaza. Israel juga telah mengenakan kepungan ke atas 2.3 juta penduduk dan sedang menyediakan pencerobohan darat.

Hamas sejauh ini telah membebaskan empat tebusan. Dua daripada tebusan, Cik Nurit Cooper, 79 tahun, dan Cik Yocheved Lifshitz, 85 tahun, dibebaskan baru-baru ini.

Mereka telah diculik dari rumah mereka di Kibbutz Nir Oz oleh Hamas semasa serangan kumpulan militan itu ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.

Israel berkata bahawa suami Cik Cooper, Encik Amiram, 85 tahun, dan suami Cik Lifshitz, Encik Oded, 83 tahun, masih ditahan oleh Hamas, dan ia akan terus “berusaha dalam apa cara” untuk mendapatkan pembebasan mereka.

Israel berterima kasih kepada Mesir atas bantuannya dan Palang Merah atas “peranan penting” yang dimainkannya dalam pembebasan tebusan tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Russia, Cik Maria Zakharova, memberitahu taklimat mingguan awal Khamis bahawa Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Ali Baghiri Kani juga sedang melawat Moscow. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >