GAZA/TEL AVIV: Israel mengesahkan bahawa dua lagi tebusan di Gaza telah dibebaskan oleh Hamas, menjadikan jumlah yang telah mengecapi kebebasan setakat ini kepada empat orang.
Langkah Hamas itu dilakukan sedang tentera Israel bersiap sedia melancarkan “serangan tanpa henti” untuk memusnahkan Hamas, kata ketua tenteranya, Leftenan Jeneral Herzi Halevi.
Pada masa yang sama, mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, memberi amaran “sebarang strategi ketenteraan Israel yang mengabaikan nyawa manusia akan memakan diri sendiri”.
Kedua-dua tahanan yang dibebaskan itu dikenali sebagai Cik Nurit Cooper, 79 tahun, dan Cik Yocheved Lifshitz, 85 tahun. Namun, suami mereka masih ditahan.
Mereka telah diculik dari rumah mereka di Kibbutz Nir Oz oleh Hamas semasa serangan kumpulan militan itu ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.
Israel berterima kasih kepada Mesir atas bantuannya dan Palang Merah atas “peranan penting” yang dimainkannya.
Hamas berkata ia membebaskan dua tebusan itu atas dasar kemanusiaan dan kesihatan, namun mendakwa bahawa Israel enggan menerima mereka.
Dalam responnya, anak perempuan Cik Lifshitz, Cik Sharone, berkata: “Saya sangat teruja. Saya telah melihat foto ibu saya.”
Tetapi beliau menambah: “Saya sangat bimbang dengan ayah saya. Ia adalah emosi yang sangat bercampur-campur.”
Cik Lifshitz, yang tinggal di London, bercakap dalam penerbangan menuju ke Israel.
Dalam satu kenyataan, pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata bahawa kedua-dua wanita itu diserahkan kepada Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan mereka sedang menuju ke pusat perubatan di Israel.
Mereka akan menemui keluarga masing-masing di sana kelak.
Video yang dikeluarkan oleh Hamas pada Isnin menunjukkan detik kedua-dua tebusan warga emas itu diserahkan dalam suasana gelap, kepada wakil Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.
Cik Lifshitz kedengaran mengenalkan dirinya dan mengesahkan umurnya.
Sebelum berlalu pergi, beliau menoleh ke arah lelaki bersenjata Hamas, berjabat tangan sambil berkata ‘shalom’.
The Times of Israel memetik Encik Daniel Lifshitz, cucu kepada Cik Lifshitz, sebagai berkata bahawa beliau dan keluarganya teruja dan gembira kerana nenek mereka akhirnya kembali ke pangkuan mereka.
Israel berkata bahawa suami Cik Cooper, Encik Amiram, 85 tahun, dan suami Cik Lifshitz, Encik Oded, 83 tahun, masih ditahan oleh Hamas, dan ia akan terus “berusaha dalam apa cara” untuk mendapatkan pembebasan mereka.
Israel berkata Hamas menawan lebih 200 tebusan dalam serangan mereka pada 7 Oktober. Lebih 1,400 orang terbunuh.
Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Jaluran Gaza, yang diperintah oleh Hamas. Israel berkata ia mahu memusnahkan kumpulan militan itu.
Tindakan tentera Israel telah membunuh hampir 3,800 orang di Gaza.
Dua warga Amerika-Israel, ibu dan anak perempuan – Cik Judith dan Natalie Raanan – dibebaskan dari tahanan Hamas pada Jumaat.
Terdahulu pada Isnin, terdapat laporan bahawa seramai 50 warga asing dan dua orang yang memegang dwi kewarganegaraan akan dibebaskan melalui pengantaraan Qatar.
Sumber yang diberi taklimat mengenai rundingan itu menafikan hal tersebut tetapi berkata “rundingan sedang dijalankan mengenai pembebasan penuh orang awam tetapi belum ada sebarang hasil”.
Hamas telah bercakap tentang membebaskan lebih banyak tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata dan kemasukan lebih banyak bantuan ke Gaza.
Israel telah menolak sebarang gencatan senjata kerana ia sedang meningkatkan operasi ketenteraannya.
Encik Halevi, dalam satu kenyataan, berkata Israel tidak berniat untuk menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang berpenduduk padat, sebaliknya membayangkan pihaknya bersedia melancarkan serangan darat.
“Kami mahu memusnahkan Hamas sama sekali. Justeru, kami akan menggerakkan serangan tanpa henti, memusnahkan semua miltan Hamas dalam apa cara sekali pun.
Dalam pada itu, Encik Obama, yang jarang memberi komen mengenai krisis dasar luar, mengeluarkan kenyataan bertulis memberi amaran supaya Israel tidak menyebabkan lebih ramai orang awam terkorban dalam tindakan balas terhadap Hamas.
“Sudah beribu-ribu rakyat Palestin terbunuh akibat pengeboman di Gaza, terutama kanak-kanak. Ratusan ribu penduduk lain dipaksa meninggalkan kediaman mereka,” kata Encik Obama dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg