Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tebusan Israel kongsi pengalaman diculik kumpulan Hamas

Oct 25, 2023 | 2:55 PM
ERTI KEBEBASAN: Cik Yocheved Lifshitz (kiri) dan Cik Nurit Cooper, juga dikenali sebagai Cik Nurit Yitzhak), yang ditahan sebagai tebusan, dibebaskan oleh militan Hamas pada Isnin.
ERTI KEBEBASAN: Cik Yocheved Lifshitz (kiri) dan Cik Nurit Cooper, juga dikenali sebagai Cik Nurit Yitzhak), yang ditahan sebagai tebusan, dibebaskan oleh militan Hamas pada Isnin. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Sejurus Cik Yocheved Lifshitz dibebaskan, beliau berhenti sebentar dan berpaling sambil menghulurkan tangan kepada salah seorang militan Hamas yang bertopeng dengan berkata “Shalom”.

Berjabat tangan dan melafazkan kekata Hebrew itu yang bermaksud keamanan itu, adalah isyarat yang luar biasa oleh warga Israel berusia 85 tahun itu yang kemudiannya bercakap tentang kekejaman dan belas kasihan selama 16 hari menjadi tebusan di Gaza.

Dalam sidang akhbar pada Selasa, Cik Lifshitz berkata bahawa selepas berlaku keganasan pada awalnya, penculik Hamas kemudian telah menunjukkan “keprihatinan” dan “kelembutan” – gambaran yang jarang berlaku dalam konflik ganas, yang mungkin bertukar menjadi lebih berdarah.

Beberapa pengulas Israel menyifatkan komennya sebagai kemenangan bagi Hamas dalam perhubungan awam.

Cik Lifshitz dibebaskan pada Isnin malam bersama Cik Nurit Yitzhak, 79 tahun, yang juga dikenali sebagai Nurit Cooper, dalam perjanjian yang diurus oleh Mesir dan Qatar.

Ketika kedua-dua wanita itu diserahkan kepada pekerja bantuan, Cik Lifshitz berpaling kepada seorang militan Hamas yang bersenapang, menghulurkan tangannya untuk mengucapkan selamat tinggal dengan berkata dalam Hebrew yang bermaksud keamanan.

Selepas bertemu semula dengan saudara-mara di hospital Ichilov di Tel Aviv, beliau menyingkap tentang peristiwa ngeri yang dialaminya pada 7 Oktober, apabila penyerang Hamas menyerang di selatan Israel, membunuh lebih 1,400 orang dan menculik sekitar 220 orang, termasuk warga Britain.

Sambil makan di kerusi roda dan bercakap dengan tenang pada sidang akhbar itu, Cik Lifshitz berkata penyerang “menjadi liar” selepas melanggar pagar keselamatan.

“Mereka membunuh dan menculik warga tua dan muda tanpa sebarang perbezaan,” kata Cik Lifshitz.

Beliau yang ketika itu diikat pada motosikal, dibawa ke Gaza.

Cik Lifshitz berkata: “Dalam perjalanan, penunggang motosikal itu memukul saya dengan kayu. Mereka tidak mematahkan tulang rusuk saya, tetapi ia sangat sakit, menjadikannya sukar untuk saya bernafas. Mereka mencuri jam tangan dan barang kemas saya.”

Beliau ditahan di Abasan al-Kabira, berhampiran Be’eri kibbutz dan di lokasi lain yang beliau tidak dapat kenal pasti.

“Akhirnya, kami dibawa ke bawah tanah dan berjalan berkilometer jauh dalam terowong basah yang ada banyak sarang labah, selama dua atau tiga jam,” cerita beliau.

Menurutnya, pengawal memberi makan kepada banduan yang sama dengan apa yang mereka makan. Seorang doktor melawat kami setiap hari dan memberikan ubat dan rawatan, termasuk tebusan yang cedera dalam kemalangan motosikal.

“Mereka sangat prihatin dengan kebersihan dan bimbang tentang wabak. Kami mempunyai tandas yang mereka bersihkan setiap hari,” tambah Cik Lifshitz.

Beliau mendakwa pasukan keselamatan Israel mengabaikan bukti bahawa Hamas sedang merancang serangan.

Cik Lifshitz berkata: “Tiga minggu lalu, orang ramai tiba di pagar. Tentera Israel tidak menganggapnya serius. Kami dibiarkan untuk mempertahankan hidup sendiri.”

Seluruh “mimpi ngeri” terus berulang dalam fikirannya, kata Lifshitz. Keadaan dan nasib tebusan lain termasuk suaminya, Encik Oded, 83 tahun, masih tidak jelas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg