Topik diikuti
Pergi ke BHkuDelegasi Iran diarah keluar Amerika selepas rundingan temui jalan buntu
Delegasi Iran diarah keluar Amerika selepas rundingan temui jalan buntu
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, mengarahkan delegasi Iran yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meninggalkan negara itu dengan segera selepas rundingan antara Washington dengan Teheran menemui jalan buntu.
Namun, Iran menafikan delegasinya diusir dari Amerika, sebaliknya menegaskan Menteri Luar, Encik Abbas Araghchi, dan pegawai lain meninggalkan New York mengikut jadual perjalanan yang sudah dimaklumkan kepada Washington hampir dua minggu lebih awal.
Pertikaian mengenai kepulangan delegasi itu menyerlahkan ketegangan hubungan kedua-dua negara ketika usaha Qatar untuk merundingkan penyelesaian kepada konflik Amerika-Iran masih gagal menghasilkan kejayaan besar.
Menurut laporan laman web berita Amerika, Axios pada 1 Oktober, Rumah Putih pada pagi 27 September masih berharap rundingan tidak langsung dengan Iran dapat menghasilkan kemajuan.
Namun menjelang lewat petang, pegawai Amerika membuat kesimpulan rundingan itu menemui jalan buntu.
Atas arahan Encik Rubio, misi Amerika ke PBB memaklumkan kepada misi Iran pada petang 27 September bahawa Encik Araghchi dan delegasinya perlu meninggalkan New York dengan segera.
“Setiausaha Rubio mengusir delegasi Iran yang sudah tidak dialu-alukan lagi.
“Perhimpunan Agung PBB sudah berakhir, jadi sudah tiba masanya mereka pergi,” kata seorang pegawai Amerika yang dipetik Axios.
Encik Araghchi merupakan pegawai tertinggi Iran dalam delegasi itu dan terbabit dalam usaha diplomatik tidak langsung dengan Amerika sepanjang berada di New York.
Beliau sebelum ini menyertai rundingan dengan wakil Amerika melalui pengantara, ketika kedua-dua negara cuba mencari jalan menamatkan konflik dan menangani pertikaian mengenai program nuklear Iran serta Selat Hormuz.
Pada 22 September, utusan Presiden Donald Trump, Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner, terlibat dalam rundingan selama kira-kira tiga jam dengan pihak Iran melalui pengantara.
Bagaimanapun, rundingan itu gagal merapatkan jurang antara kedua-dua pihak.
Teheran mahu rundingan memberi tumpuan kepada pembukaan semula Selat Hormuz dan sekatan tentera laut Amerika, manakala Washington menuntut konsesi konkrit berhubung program nuklear Iran.
Qatar memainkan peranan utama sebagai pengantara dan pegawainya mengadakan pertemuan berjam-jam dengan Encik Araghchi serta delegasi Iran di New York.
Namun, kedua-dua pihak dilaporkan tidak bersedia membuat konsesi yang diperlukan bagi mencapai persetujuan.
Misi Iran ke PBB berkata delegasi itu meninggalkan New York pada petang 28 Oktober, mengikut jadual asal yang sudah dimaklumkan kepada Jabatan Negara Amerika pada 17 September.
“Delegasi Iran meninggalkan New York pada petang Isnin mengikut jadual yang turut dimaklumkan lebih awal kepada Jabatan Negara Amerika pada 17 September,” ujar misi itu.
Teheran turut menuduh Jabatan Negara Amerika menyebarkan laporan tidak berasas selepas rundingan gagal menghasilkan persetujuan.
Delegasi Iran meninggalkan New York beberapa jam selepas arahan Amerika itu dan menaiki penerbangan ke Doha pada 1.20 pagi, 8 September.
Satu lagi sumber yang mengetahui perkara tersebut mengesahkan Washington meminta delegasi itu meninggalkan Amerika tetapi berkata Encik Araghchi memang dijadual berlepas dari New York pada malam berkenaan.
Walaupun delegasi Iran dijangka meninggalkan Amerika tidak lama kemudian, arahan Encik Rubio dianggap sebagai teguran diplomatik yang luar biasa dan mencerminkan tahap ketidakpercayaan yang masih tinggi antara Washington dengan Teheran.
Ia berlaku ketika usaha diplomatik semakin mendesak untuk mencari jalan keluar daripada konflik Amerika-Iran yang bermula pada 28 Februari.
Konflik itu turut menjejas laluan perkapalan dan bekalan tenaga melalui Selat Hormuz, salah satu laluan minyak dan gas terpenting dunia.
Amerika dan Iran menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada Jun yang menggariskan langkah awal bagi memulihkan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz dan menangani program nuklear Teheran.
Namun, pertikaian mengenai pelaksanaan serta urutan langkah masih berterusan.
Usaha terkini tertumpu kepada rancangan membina keyakinan selama tujuh hari yang dikemukakan Iran.
Menurut agensi berita, Reuters, Encik Araghchi, menerima maklum balas Amerika mengenai rancangan tersebut melalui pengantara Qatar di Doha.
Perbincangan kini tertumpu kepada urutan pelaksanaan langkah yang dicadangkan, termasuk usaha memulihkan pelayaran biasa melalui Selat Hormuz.
Walaupun rundingan di New York menemui jalan buntu, pengantara Qatar masih berhubung dengan Washington dan Teheran untuk mencari penyelesaian.
Encik Trump pula meningkatkan tekanan terhadap Iran sambil membiarkan pilihan rundingan terbuka.
Beliau berkata pada 27 September bahawa Amerika akan mencapai kemenangan dalam konflik dengan Iran “tidak lama lagi” dan mengakui bahawa pegawai Amerika masih berhubung dengan pengantara yang berusaha menamatkan konflik.
Perkembangan terkini itu menunjukkan dua laluan yang bergerak serentak dalam hubungan Amerika-Iran – tekanan semakin keras dari Washington, tetapi usaha diplomatik melalui Qatar masih diteruskan.
Buat masa ini, jurang mengenai program nuklear Iran dan Selat Hormuz kekal menjadi halangan utama, manakala pertikaian mengenai sama ada delegasi Encik Araghchi benar-benar “diusir” dari Amerika menambah satu lagi episod ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara. – Agensi berita.