Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS longgar sekatan Syria buka haluan geopolitik baru Timur Tengah

Dilihat sebahagian usaha AS pastikan rantau itu tidak jatuh sepenuhnya kepada pengaruh China, Russia
May 17, 2025 | 5:30 AM
Gambar yang diedar oleh Istana Diraja Arab Saudi merakam detik Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman (kanan), memerhati Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (tengah), berjabat tangan dengan Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, di Riyadh pada 14 Mei.
Gambar yang diedar oleh Istana Diraja Arab Saudi merakam detik Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman (kanan), memerhati Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (tengah), berjabat tangan dengan Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, di Riyadh pada 14 Mei. - Foto AFP

Langkah Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggugurkan semua sekatan terhadap Syria dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada Presiden sementara negara itu, Encik Ahmed al-Sharaa, telah mencetuskan gelombang permulaan haluan baru yang berpotensi mengubah landskap politik Timur Tengah ke arah yang lebih membina.

Tindakan bersejarah itu, yang disusuli dengan jabat tangan di Riyadh, bukan sekadar simbolik, malah mewakili perubahan radikal dalam dasar luar Amerika yang berkemungkinan menggugat keseimbangan kuasa sedia ada di rantau itu.

Presiden Syria, seorang mantan komander yang pernah dikaitkan dengan Al-Qaeda, menyambut baik keputusan Encik Trump menarik balik sekatan yang telah lama dikenakan ke atas Syria,

Beliau menyifatkannya sebagai detik perubahan penting bagi masa depan negara itu.

“Hari ini menandakan permulaan usaha serius dan pelancaran perjalanan Syria moden,” kata Encik Sharaa dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Encik Sharaa bukanlah figura biasa dalam arena diplomasi antarabangsa.

Beliau, yang meninggalkan perjuangan bersenjata pada 2016 dan tampil sebagai tokoh reformis pasca kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, kini menjadi peneraju kepada satu fasa baru dalam sejarah Syria.

Namun, latar belakang militannya masih menimbulkan keraguan dalam kalangan sekutu tradisional Amerika, terutama Israel.

Menurut Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, langkah itu menunjukkan satu anjakan paksi yang ketara dalam politik serantau.

“Tindakan ini menggambarkan bahawa buat masa ini, Syria baru sedang menyelaraskan dirinya dengan Amerika, Turkey dan Arab Saudi, berbanding Iran dan Russia,” katanya.

Pandangan itu disokong oleh kenyataan Encik Trump sendiri yang mahukan Syria menyertai Perjanjian Abraham, menghantar pulang anggota militan asing dan memikul tanggungjawab terhadap kem ISIS di Timur Laut Syria.

Namun, keupayaan Encik Sharaa untuk memenuhi set tuntutan itu masih menjadi persoalan utama dalam usaha menilai keberkesanan pendekatan baru tersebut.

Penyelidik di Institut Timur Tengah (MEI), Universiti Nasional Singapura, Dr Clemens Chay, melihat keputusan Encik Trump mengangkat Encik Sharaa sebagai peluang taktikal untuk mempercepat pemulihan hubungan Syria tanpa syarat birokratik yang melambatkan.

“Sebelum ini, pelepasan sekatan hanya diberikan berdasarkan kemajuan tadbir urus.

“Namun Trump telah mengetepikan proses itu, digerakkan oleh desakan dari Arab Saudi dan Turkey,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, tindakan itu mencerminkan keupayaan Encik Trump untuk keluar daripada kebiasaan pentadbiran terdahulu, dan menggunakan pendekatan ‘perjanjian segera’ demi kestabilan jangka pendek di Syria.

Hal itu turut membuka ruang untuk bantuan asing khususnya dari negara-negara Teluk yang boleh mempercepat proses pemulihan negara itu.

Namun begitu, Dr Mustafa Izzuddin, Penganalisis Kanan Hal Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, memberi peringatan bahawa pendekatan itu tidak semestinya akan diteruskan oleh pengganti Encik Trump.

“Syria pasca-Assad kini dilihat mesra terhadap Amerika dan mungkin bersedia mengiktiraf Israel sebagai timbal balik kepada pelaburan dan pelonggaran sekatan.

“Tetapi tiada jaminan bahawa pendirian ini akan kekal sekiranya presiden Demokratik mengambil alih kuasa,” ujar beliau.

Walaupun kepimpinan sementara Syria kini menunjukkan pendekatan lebih pragmatik, adalah terlalu awal untuk menentukan sama ada wujud peralihan tulen dan berterusan ke arah kesederhanaan politik dalam dasar dan pentadbiran negara tersebut.

“Buat masa ini, kepimpinan sementara Syria dilihat mengambil pendekatan meredakan elemen keislaman dalam imej mereka bagi memaksimumkan konsesi daripada Amerika Syarikat sepanjang tempoh pentadbiran Trump,” kata Dr Mustafa.

Langkah mendekati Syria itu juga perlu dilihat dalam konteks saingan kuasa besar yang semakin meningkat di Timur Tengah.

Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berpendapat bahawa keruntuhan rejim Assad telah membuka ruang kepada Amerika untuk mengisi kekosongan yang selama ini diisi oleh Iran dan Russia.

“Syria sebelum ini bergantung kepada Iran dan Russia dari segi ketenteraan dan diplomasi.

“Namun kejatuhan Assad memberi peluang kepada Amerika Syarikat untuk masuk dan membentuk semula pengaruh mereka di rantau ini,” katanya.

Menurutnya, ini adalah sebahagian daripada usaha Amerika untuk memastikan Timur Tengah tidak jatuh sepenuhnya ke dalam orbit kuasa-kuasa seperti China dan Russia.

Dr Norshahril turut menekankan bahawa keputusan Encik Trump untuk menarik semula sekatan terhadap Syria perlu difahami sebagai strategi geopolitik untuk mengukuhkan rangkaian sekutu Amerika.

“Ia bukan sekadar tentang Syria, tetapi tentang memastikan Amerika mempunyai cengkaman dalam pentas politik serantau melalui sekutu baru,” jelas beliau.

Walaupun langkah itu disambut baik oleh beberapa pihak, ramai yang masih ragu-ragu terhadap kewibawaan kepimpinan Encik Sharaa.

Hubungan silamnya dengan rangkaian kumpulan pengganas sejagat, walaupun telah diputuskan secara terbuka hampir sedekad lalu, tidak dapat dipisahkan begitu sahaja daripada imejnya sebagai pemimpin.

Israel, sebagai sekutu utama Amerika di rantau itu, dijangka memandang langkah tersebut dengan penuh curiga.

Mereka khuatir bahawa pemulihan terlalu awal tanpa jaminan keselamatan akan membuka pintu kepada penyusupan ideologi radikal atau kembalinya militan ke Syria.

Tambahan pula, hubungan masa depan Syria dengan Iran, Hezbollah dan Hamas akan menjadi barometer utama dalam menilai sejauh manakah perubahan haluan itu benar-benar mencerminkan iltizam tulen dan berterusan.

Dr Oh menegaskan bahawa walaupun penyusunan semula hala tuju diplomatik itu dilihat membawa potensi yang besar, masih terdapat beberapa faktor yang perlu diperhatikan secara berhati-hati sebelum hasilnya dapat dinilai sepenuhnya.

“Realiti politik Syria sangat kompleks. Amerika mungkin melihat ini sebagai peluang, tetapi ada risiko besar jika Sharaa gagal mengawal sisa-sisa kumpulan militan atau sekutu Islam dalam negaranya sendiri,” katanya.

Pemulihan hubungan Amerika-Syria di bawah Encik Trump adalah satu eksperimen dasar luar yang penuh risiko.

Ia membuka ruang baru, namun memerlukan pemantauan rapat dan komitmen berterusan.

Kejayaan atau kegagalan strategi itu bukan sahaja akan menentukan nasib Syria, bahkan juga hala tuju pengaruh Amerika di Timur Tengah dalam tempoh sedekad akan datang.

Dr Mustafa merumuskannya dengan satu peringatan penting, dengan berkata:

“Selagi pendekatan Syria terhadap Islamisme hanyalah kosmetik untuk memuaskan Washington, kita perlu berhati-hati.

“Perubahan sebenar hanya berlaku apabila dasar-dasar negara itu mencerminkan komitmen jangka panjang kepada tadbir urus dan tatakelola yang inklusif dan kestabilan serantau.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg