NEW YORK: Calon Naib Presiden Demokrat, Encik Tim Walz, memberi jaminan kepada masyarakat Muslim Amerika Syarikat bahawa mereka akan dilibatkan sama dan memainkan peranan penting dalam pentadbiran Cik Kamala Harris sekiranya mereka memenangi pilihan raya pada November.
Janji itu disuarakan ketika parti Demokrat berusaha memulihkan sokongan pengundi Muslim yang terhakis berikutan sokongan kuat Amerika terhadap Israel.
Cik Harris yang merupakan calon Presiden Demokrat dan pasangan Encik Walz kini giat menarik kembali sokongan masyarakat Muslim yang kecewa dengan pentadbiran Presiden Joe Biden yang tetap menyokong Israel dalam peperangan yang berpanjangan selama setahun di Gaza menentang Hamas.
Cik Harris sendiri menyatakan sokongan berterusan kepada Israel, tetapi dalam masa yang sama, beliau menekankan kepentingan melaksanakan gencatan senjata.
Encik Walz turut menyuarakan sokongan terhadap pendirian itu dan menegaskan jaminan mahu melibatkan masyarakat Muslim dalam pemerintahan jika mereka menang.
“Kamala Harris dan saya memberikan komitmen untuk memastikan Rumah Putih ini... akan terus mengecam semua bentuk sentimen anti-Islam dan anti-Arab yang dipimpin oleh Donald Trump.
“Lebih penting lagi, kami komited bahawa masyarakat Muslim akan terlibat secara aktif dalam pentadbiran ini dan bekerja bersama-sama,” kata Encik Walz yang juga Gabenor Minnesota dalam satu mesyuarat maya anjuran Emgage Action, kumpulan advokasi Muslim Amerika yang pada 25 September telah memberi sokongan kepada Cik Harris.
Pilihan raya pada 5 November antara Cik Harris dengan calon Republikan Encik Trump dijangka sengit, terutama di negeri kritikal seperti Michigan, yang mempunyai populasi Muslim Amerika yang besar.
Walaupun Emgage Action telah melahirkan sokongan kepada Cik Harris, beberapa kumpulan Muslim lain menggesa supaya tidak menyokong beliau, terutama selepas parti Demokrat menolak permintaan menampilkan penceramah Palestin di konvensyen parti pada Ogos.
Encik Trump pula berjanji mengembalikan larangan perjalanan terhadap negara majoriti Muslim yang beliau perkenalkan ketika menjadi Presiden, dan telah dimansuhkan oleh Encik Biden pada 2021 sebaik sahaja beliau memegang jawatan.
“Kemusnahan dan korban jiwa di Gaza sangat menggerunkan dan menyayat hati,” kata Encik Walz.
Cik Harris, katanya, sedang berusaha keras untuk memastikan “penderitaan di Gaza segera berakhir, dan rakyat Palestin dapat mencapai hak mereka demi maruah, kebebasan, dan penentuan nasib sendiri”.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih 41,000 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan ketenteraan Israel di Gaza.
Israel mengatakan mereka bertindak balas terhadap serangan oleh kumpulan bersenjata Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan sekitar 1,200 orang dan menyebabkan lebih 250 orang menjadi tebusan.
Gaza kini berada dalam krisis kemanusiaan yang parah, dengan hampir semua dua juta penduduknya kehilangan tempat tinggal dan menghadapi kebuluran.
Acara tersebut turut menampilkan Senator Demokrat, Encik Chris Van Hollen, dari Maryland, dan Peguam Negara Minnesota, Encik Keith Ellison.
Mereka menyarankan bahawa Cik Harris mungkin membawa pendekatan lebih segar berbanding Encik Biden dalam isu Timur Tengah.
“Saya tahu beliau seorang pendengar yang prihatin. Beliau mampu mengubah pandangannya,” kata Encik Ellison, sambil menambah bahawa Cik Harris bukan daripada generasi yang sama dengan Encik Biden dan Encik Trump.
“Saya tidak menjanjikan keadaan akan sempurna jika Cik Harris menang,” katanya. “Tetapi kita akan mengetuk pintu yang tidak terkunci,” tambahnya.
Encik Walz, yang merupakan penceramah pertama pada acara itu, tidak mengambil sebarang soalan, dan tidak jelas sama ada beliau mendengar ucapan penceramah lain selepas itu.
Walaupun ramai kumpulan Muslim tidak menyokong Encik Trump, ada yang beralih kepada calon ketiga dari Parti Hijau, Cik Jill Stein, sebagai pilihan alternatif.
Tindakan itu boleh menyebabkan Cik Harris kalah di negeri tertentu dalam penentuan pilihan raya pada 5 November.
Tinjauan yang dikeluarkan oleh Majlis Perhubungan Amerika-Islam pada September menunjukkan di Michigan, yang mempunyai komuniti Arab-Amerika yang besar, sebanyak 40 peratus pengundi Muslim menyokong Cik Stein. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg