Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan Muslim AS tampil sokong Harris

Sep 26, 2024 | 2:31 PM
Kumpulan advokasi Muslim Amerika Syarikat, Emgage Action, mengesahkan sokongan terhadap calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris.
Kumpulan advokasi Muslim Amerika Syarikat, Emgage Action, mengesahkan sokongan terhadap calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris. - Foto REUTERS

MICHIGAN: Kumpulan advokasi Muslim Amerika Syarikat, Emgage Action, pada 25 September mengesahkan sokongan terhadap calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, di sebalik kebimbangan berterusan terhadap perang di Gaza.

Sokongan kumpulan tersebut meletakkan mantan Presiden, Encik Donald Trump, dalam keadaan bahaya yang lebih besar ekoran janjinya untuk mengembalikan semula sekatan perjalanan yang menjejas negara majoriti Islam.

Pengesahan itu timbul di tengah-tengah pertarungan antara Cik Harris dengan Encik Trump yang kekal sangat sengit menjelang pilihan raya pada 5 November.

Para pengundi Arab Amerika dan Muslim mungkin memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan di Michigan, Pennsylvania, Georgia dan negeri medan pertempuran lain.

Mereka didapati banyak membantu Presiden Joe Biden mengalahkan Encik Trump dalam pilihan raya presiden pada 2020.

Banyak kumpulan Islam, termasuk Emgage Action, telah mengkritik pentadbiran Encik Biden kerana menyokong perang Israel terhadap Hamas di Gaza.

Cik Harris telah menggesa gencatan senjata serta-merta dan perjanjian pembebasan tebusan di Gaza.

Di samping itu, beliau turut melahirkan sokongan terhadap Israel untuk mempertahankan diri serta hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri.

“Walaupun kami tidak bersetuju dengan semua dasar Cik Harris, khususnya mengenai perang ke atas Gaza, namun kami menghampiri pilihan raya ini dengan kedua-dua pragmatisme dan keyakinan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Emgage Action, Encik Wa’el Alzayat, dalam satu kenyataan.

Emgage Action berkata ia menggerakkan satu juta pengundi Islam dalam pilihan raya kelak dan sokongan terhadap Cik Harris mencerminkan “tanggungjawab untuk mengalahkan Encik Trump dan mempertahankan masyarakat terhadap Islamofobia dan dasar berbahaya yang lain”.

Penganjur kempen Encik Trump telah mengadakan berpuluh-puluh acara melibatkan warga Arab dan Muslim Amerika di beberapa negeri dan merancang satu lagi acara hujung minggu di Michigan.

Penganjur kempen Cik Harris mengalu-alukan pengesahan kumpulan Emgage Action itu seminggu selepas satu lagi blok pengundi besar, organisasi akar umbi pro-Palestin Uncommitted National Movement, berkata ia tidak akan menyokong Cik Harris, Encik Trump atau calon lain. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg