Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu timur tengah dalam fokus debat calon naib presiden AS

Oct 2, 2024 | 2:21 PM
Anggota media menonton perbahasan calon naib presiden antara Encik JD Vance (kiri) dari Parti Republikan dan calon Demokrat, Encik Tim Walz, di Pusat Penyiaran CBS di New York, Amerika Syarikat, pada 1 Oktober 2024.
Anggota media menonton perbahasan calon naib presiden antara Encik JD Vance (kiri) dari Parti Republikan dan calon Demokrat, Encik Tim Walz, di Pusat Penyiaran CBS di New York, Amerika Syarikat, pada 1 Oktober 2024. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Debat naib presiden antara calon Republikan Encik JD Vance dan calon Demokrat Encik Tim Walz pada malam Selasa, 1 Oktober menjadi tumpuan ramai, dengan kedua-dua tokoh dari Midwest Amerika ini bersaing untuk meyakinkan pengundi menjelang pilihan raya presiden pada 5 November.

Namun, perdebatan ini dibayangi oleh krisis di Timur Tengah, apabila Iran melancarkan serangan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan maut Israel di Lebanon dan Jaluran Gaza hanya beberapa jam sebelum debat bermula.

Isu serangan Iran ini menjadi titik perbincangan utama dalam debat. Encik Walz, Gabenor Minnesota dari parti Demokrat, dengan jelas memberi amaran tentang tindakan Iran, menegaskan bahawa ia akan membawa akibat yang serius. Beliau turut menyatakan bahawa Israel mempunyai hak mutlak untuk mempertahankan diri, sambil menekankan kepentingan kepimpinan Amerika Syarikat dalam menangani krisis antarabangsa.

“Israel berhak untuk melindungi negaranya. Memastikan keselamatan Israel adalah asas kepada kestabilan di rantau ini,” kata Encik Walz. Beliau juga menyentuh mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, menyatakan bahawa kepimpinan yang teguh dari Amerika Syarikat diperlukan untuk menyelesaikan konflik tersebut.

Di pihak Republikan, Ebcik Vance, seorang senator dari Ohio, menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi Amerika terhadap Israel. Beliau menganggap bahawa Amerika perlu berdiri teguh di sisi sekutunya ketika mereka menghadapi ancaman. “Tugas kita ialah menyokong sekutu kita, dan Israel mempunyai hak untuk menentukan langkah yang diperlukan bagi melindungi rakyatnya,” katanya.

Debat ini, yang diadakan oleh CBS News di New York, dianggap sebagai salah satu acara penting sebelum pilihan raya, dengan hanya lima minggu lagi sebelum hari pengundian. Ia juga dijangka menjadi satu-satunya peluang untuk kedua-dua calon berdebat secara langsung, sekaligus menjadi pertembungan penting dalam kempen 2024.

Walaupun perdebatan berlangsung selama lebih 90 minit, kedua-dua calon lebih banyak menyerang pasangan calon mereka berbanding menyerang satu sama lain secara langsung. Encik Vance, sebagai pasangan kepada Encik Donald Trump, menekankan bahawa Encik Trump akan membawa “tindakan waras” ke Rumah Putih. Beliau menegaskan bahawa semasa pentadbiran Encik Trump, ekonomi lebih stabil dengan inflasi yang rendah dan pendapatan isi rumah yang lebih tinggi.

Encik Walz pula mengambil kesempatan untuk memuji Kamala Harris, calon presiden Demokrat, dan menggambarkannya sebagai pemimpin yang stabil dan berpengalaman. Pada masa yang sama, beliau mengkritik Trump sebagai punca ketidakstabilan dan ancaman kepada dunia. “Mereka yang paling dekat dengan Encik Trump tahu betapa berbahayanya beliau ketika dunia berada dalam situasi sebegini,” kata Encik Walz, merujuk kepada krisis antarabangsa yang sedang berlangsung.

Ketika menyentuh mengenai dasar luar, Encik Walz mengkritik keputusan Encik Trump untuk menarik diri daripada Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2018, yang memperburuk hubungan dengan Iran. Beliau percaya tindakan itu menyebabkan ketidakstabilan yang lebih besar di rantau tersebut.

Di sebalik ketegangan politik, Encik Vance tampil lebih tenang dan teratur sepanjang perdebatan. Sebagai seorang pemidato yang berpengalaman, Encik Vance berjaya menunjukkan populisme konservatif yang lebih sopan, memberikan imej yang lebih meyakinkan kepada pengundi Republikan. Walaupun ada beberapa ketika di mana beliau tidak berpuas hati dengan pemeriksaan fakta yang dilakukan oleh moderator, Encik Vance tetap berjaya mengekalkan ketenangannya.

Debat ini juga memperlihatkan beberapa persetujuan antara kedua-dua calon, di mana mereka berkongsi pandangan yang sama dalam beberapa isu penting, sesuatu yang jarang berlaku dalam suasana politik yang sering tegang.

Walaupun debat naib presiden selalunya tidak memberi kesan besar terhadap keputusan pilihan raya, prestasi kuat Encik Vance dalam perdebatan ini mungkin akan menguatkan sokongan kepada Republikan. Dengan kemampuan Encik Vance untuk membawa hujah konservatif yang jelas dan teratur di pentas nasional, ia memberikan gambaran bahawa beliau berpotensi menjadi pemimpin utama dalam politik konservatif masa depan.

Encik Walz pula berjaya mempamerkan kualiti kepimpinannya yang tenang dan berprinsip, sifat yang menjadikannya pilihan Cik Kamala Harris sebagai pasangan naib presiden. Namun, prestasi kukuh Encik Vance dalam debat ini pasti akan memberi suntikan semangat kepada Republikan dalam tempoh kempen yang semakin hampir ke kemuncak. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg