Demokrat tentang hebat usul Trump untuk nasionalisasi pilihan raya
Demokrat tentang hebat usul Trump untuk nasionalisasi pilihan raya
WASHINGTON: Seruan Presiden Donald Trump agar Republikan “menasionalisasikan” pilihan raya mendapat tentangan hebat daripada penggubal undang-undang, Demokrat dan beberapa Republikan pada 3 Februari.
Demokrat menyuarakan kebimbangan bahawa Encik Trump berhasrat untuk mengganggu pilihan raya pertengahan penggal November yang akan menentukan kawalan Kongres.
Dalam temu bual dengan bekas Timbalan Pengarah Biro Siasatan Federal (FBI), Encik Dan Bongino, yang disiarkan pada 3 Februari, Encik Trump mengulangi dakwaan palsunya bahawa pilihan raya 2020 telah dirampas daripadanya.
Oleh kerana itu, beliau berkata partinya harus “mengambil alih” dan “menasionalisasikan” pengundian di sekurang-kurangnya 15 kawasan, tanpa memperincikan apa yang dimaksudkannya.
Di bawah Perlembagaan Amerika, pemerintah negeri menyelia pilihan raya, bukan pemerintah persekutuan, dan diuruskan oleh pegawai daerah dan tempatan.
Pegawai Demokrat dan penyokong hak mengundi berkata komen Encik Trump, hanya beberapa hari selepas FBI menggeledah pejabat pilihan raya di Fulton County, Georgia, untuk pemilihan 2020, menunjukkan beliau merancang untuk cuba melemahkan atau mungkin memanipulasi keputusan pilihan raya tahun ini.
“Ini bukan tentang pilihan raya 2020. Ini adalah tentang apa yang akan datang” kata Senator Demokrat Encik Mark Warner dari Virginia kepada media.
Di Pejabat Oval pada 3 Februari, Encik Trump menggesa penggubal undang-undang Republikan supaya meluluskan pembaharuan pilihan raya dan mengulangi seruannya untuk lebih banyak kawalan negara.
“Negeri ini adalah ejen untuk pemerintah persekutuan dalam pilihan raya. Saya tidak tahu mengapa pemerintah persekutuan tidak melakukannya,” kata Encik Trump kepada pemberita.
Pilihan raya pertengahan penggal boleh mengubah kawalan Dewan Kongres.
Parti presiden secara sejarahnya kehilangan kerusi dalam pilihan raya pertengahan penggal, dan Demokrat hanya perlu menukar tiga daerah yang dikuasai Republikan pada bulan November untuk mendapatkan kawalan Dewan Perwakilan Amerika.
Seorang ejen kempen kanan Republikan menyatakan bahawa nampaknya tidak terdapat strategi menyeluruh di sebalik komen Encik Trump, melangkaui usaha Jabatan Kehakiman yang berterusan untuk mendapatkan daftar pengundi dari banyak negeri yang condong ke Demokrat.
Namun, penggubal undang-undang dan pakar pilihan raya kurang optimis.
Encik Trump sering menyatakan hasrat untuk merombak pilihan raya negara, berdasarkan dakwaan palsu bahawa kekalahannya pada tahun 2020 kepada Presiden Demokrat Encik Joe Biden didorong oleh penipuan.
Beliau telah menyeru agar undi melalui pos diharamkan, mempersoalkan keselamatan mesin pengundi dan mendakwa secara palsu bahawa berjuta-juta bukan warga negara turut membuang undi. - Reuters

