WASHINGTON: Anggota Republikan di Kongres pada 3 Januari menyambut baik tindakan ketenteraan dramatik pentadbiran Trump untuk menangkap Presiden Venezuela, Encik Nicolás Maduro.
Namun, pemimpin Demokrat menyuarakan kebimbangan serius terhadap kesahihan operasi itu dan berkata mereka akan mengusahakan undian segera bagi membataskan tindakan ketenteraan tanpa kebenaran jelas Kongres.
Operasi mengejut pada waktu malam itu, bersama pengisytiharan Presiden Encik Donald Trump beliau merancang untuk “mengendalikan” Venezuela dan menggunakan tentera Amerika Syarikat bagi melindungi sumber minyak negara itu, hampir pasti mencetuskan perbahasan sengit apabila penggubal undang-undang kembali ke Washington minggu ini.
Perkembangan tersebut menjadi ujian terbaru sama ada Dewan Perwakilan dan Senat yang dikuasai Republikan akan cuba menegaskan semula kuasa mereka pada tahun pilihan raya, selepas sekian lama dilihat tunduk kepada presiden.
Ketua minoriti Senat, Encik Chuck Schumer, berkata beliau akan mendesak undian terhadap resolusi kuasa perang bagi membataskan keupayaan Encik Trump mengambil tindakan ketenteraan selanjutnya tanpa kebenaran Kongres.
Senator Encik Andy Kim pula berkata Setiausaha Negara Encik Marco Rubio dan Setiausaha Pertahanan Encik Pete Hegseth telah mengelirukan Kongres apabila menyatakan objektif pentadbiran di Venezuela bukan pertukaran rejim.
Encik Kim, bekas pegawai keselamatan negara, menyifatkan langkah menyingkirkan Encik Maduro sebagai “bencana” yang akan mengasingkan Amerika Syarikat di pentas dunia.
Beliau berkata presiden telah menolak proses kelulusan yang diwajibkan Perlembagaan kerana pentadbiran mengetahui rakyat Amerika menolak risiko diseret ke dalam satu lagi peperangan.
Dalam sidang media di Palm Beach, Florida, Encik Trump berkata beliau sengaja tidak memaklumkan Kongres sebelum bertindak kerana bimbang rancangannya dibocorkan.
“Kongres cenderung membocorkan maklumat,” katanya.
Apabila beliau menyatakan Amerika Syarikat kini akan “mengendalikan” Venezuela, Encik Schumer memberi amaran idea itu sepatutnya menimbulkan kebimbangan mendalam rakyat Amerika.
Encik Schumer dan ketua minoriti Dewan Perwakilan, Encik Hakeem Jeffries, menuntut pentadbiran memberi taklimat segera dan mengemukakan bukti kukuh bagi mewajarkan penggunaan kuasa ketenteraan tanpa kebenaran.
Namun sehingga petang 3 Januari, Encik Schumer berkata pentadbiran belum memberikan sebarang tindak balas.
“Semua orang dibiarkan dalam kegelapan,” katanya.
Sebaliknya, kebanyakan Republikan menyokong tindakan presiden.
Ketua majoriti Senat, Encik John Thune, menyifatkan penangkapan Encik Maduro sebagai langkah penting untuk membawanya ke muka pengadilan, manakala Speaker Dewan Perwakilan, Encik Mike Johnson, berkata operasi itu “tegas dan wajar”.
Namun, segelintir Republikan menggesa penjelasan lanjut, dan ada yang berkata tindakan itu bercanggah dengan janji America First.
Dalam kalangan Demokrat pula, walaupun penahanan Encik Maduro disifatkan sebagai dialu-alukan, cara ia dilaksanakan menimbulkan persoalan serius tentang peranan Kongres dan risiko konflik berpanjangan. - Agensi Berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg