Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Denmark cari ‘kaedah undang-undang’ bagi cegah pembakaran Al-Quran

Jul 31, 2023 | 3:14 PM
TUNJUK PERASAAN: Himpunan penunjuk perasaan di Sanaa, Yemen pada 24 Julai 2023, membantah aksi pembakaran Al-Quran di Denmark.
TUNJUK PERASAAN: Himpunan penunjuk perasaan di Sanaa, Yemen pada 24 Julai 2023, membantah aksi pembakaran Al-Quran di Denmark. - Foto REUTERS

COPENHAGEN: Pemerintah Denmark akan berusaha untuk “mencari kaedah undang-undang” yang membolehkan pihak berkuasa menghalang aksi pembakaran naskhah Al-Quran di hadapan kedutaan negara lain di Denmark, kata Menteri Luar, Encik Lars Lokke Rasmussen, kepada penyiar nasional DR pada Ahad.

“Aksi pembakaran itu amat menyinggung perasaan dan ia adalah tindakan melulu yang dilakukan oleh segelintir individu. Beberapa individu ini tidak mewakili nilai masyarakat Denmark,” kata Encik Rasmussen secara berasingan dalam satu kenyataan.

“Oleh itu, kerajaan Denmark akan meneroka kemungkinan campur tangan dalam situasi ini, di mana, sebagai contoh, negara, budaya dan agama lain dihina, dan di mana ini boleh membawa kesan negatif yang ketara kepada Denmark, tidak terkecuali berkaitan keselamatan,” katanya.

Denmark dan Sweden telah menjadi tumpuan antarabangsa dalam beberapa minggu kebelakangan ini berikutan protes anti-Islam di mana Al-Quran, kitab suci umat Islam, telah dirosakkan atau dibakar, menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia.

Kedua-dua negara itu menyatakan, mereka kesal dengan aksi pembakaran Al-Quran tetapi tidak boleh menghalangnya di bawah peraturan yang melindungi kebebasan bersuara.

Dalam kenyataannya, Encik Rasmussen menambah bahawa apa sahaja langkah yang diambil “tentunya mesti dilakukan dalam kerangka kebebasan bersuara yang dilindungi oleh perlembagaan dan dengan cara yang tidak mengubah hakikat bahawa kebebasan bersuara di Denmark mempunyai skop yang sangat luas”. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg