Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Greenland kecam kunjungan delegasi AS yang disifatkan ‘agresif’

Mar 24, 2025 | 11:05 AM
Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan Konsulat Amerika Syarikat di Nuuk sambil mengangkat slogan “Greenland milik rakyat Greenland”, sebagai tanda bantahan terhadap campur tangan dan tekanan politik yang semakin meningkat dari Washington.
Protes aman itu berlangsung ketika ketegangan antara Greenland dan pentadbiran Presiden Donald Trump terus memuncak. Peserta demonstrasi membawa sepanduk dan melaungkan slogan yang menegaskan hak kedaulatan rakyat Greenland ke atas tanah air mereka.
Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan Konsulat Amerika Syarikat di Nuuk sambil mengangkat slogan “Greenland milik rakyat Greenland”, sebagai tanda bantahan terhadap campur tangan dan tekanan politik yang semakin meningkat dari Washington. Protes aman itu berlangsung ketika ketegangan antara Greenland dan pentadbiran Presiden Donald Trump terus memuncak. Peserta demonstrasi membawa sepanduk dan melaungkan slogan yang menegaskan hak kedaulatan rakyat Greenland ke atas tanah air mereka. - Foto REUTERS

NUUK: Hubungan antara Greenland dan Amerika Syarikat semakin meruncing apabila Perdana Menteri Greenland, Encik Mute Egede, pada 23 Mac secara terbuka mengecam lawatan rasmi delegasi tertinggi Amerika Syarikat yang dijadualkan tiba minggu ini, termasuk isteri Naib Presiden Amerika, Cik Usha Vance, dan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Michael Waltz.

Lawatan tersebut, menurut kenyataan Rumah Putih, bertujuan untuk mempromosikan hubungan budaya dan keselamatan bersama. Namun, bagi pihak Greenland, kunjungan itu dilihat sebagai cubaan terselindung pentadbiran Trump untuk menunjukkan dominasi terhadap wilayah autonomi milik Denmark itu.

“Kami sudah cuba berlembut dan berdiplomasi, tetapi sikap pentadbiran Trump yang mahu memiliki Greenland tetap tidak berubah. Setiap kali kita hulur tangan, mereka anggap itu kelemahan,” tegas Encik Egede dalam wawancara bersama sebuah akhbar tempatan pada 23 Mac.

Beliau turut mempersoalkan motif kehadiran Encik Waltz, seorang tokoh keselamatan kanan yang menurutnya, tidak mempunyai justifikasi kukuh untuk berada di Greenland.

“Apa urusan Penasihat Keselamatan Negara berada di sini? Ia hanya bertujuan menunjukkan kuasa ke atas kami. Kehadiran beliau pasti akan memperkukuhkan naratif Trump bahawa Greenland boleh dimiliki,” ujar Encik Egede dengan nada kesal.

Lawatan ini juga berlaku dalam suasana politik yang belum stabil, di mana Greenland baru sahaja mengadakan pilihan raya parlimen dan pemerintah baru masih dalam proses pembentukan.

Pemimpin parti terbesar, Encik Jens-Frederik Nielsen, turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Amerika Syarikat yang tidak mengambil kira sensitiviti politik tempatan.

“Mereka tahu kita sedang dalam fasa rundingan pembentukan pemerintah Tetapi tetap memilih untuk datang. Ini satu bentuk tidak hormat terhadap rakyat Greenland,” katanya.

Menurut laporan, Cik Vance dijadual tiba pada 27 Mac untuk menghadiri acara budaya seperti perlumbaan anjing salji dan lawatan ke tapak komuniti. Beliau juga akan ditemani salah seorang anaknya. Namun lawatan ini dianggap oleh Perdana Menteri Greenland bukan lagi sekadar lawatan tidak rasmi.

“Ini bukan lagi sekadar kunjungan isteri pemimpin. Ini adalah sebahagian daripada tekanan politik yang sedang berlaku secara halus. Komuniti antarabangsa harus sedar dan bertindak,” ujar Encik Egede tegas.
Sementara itu, Encik Waltz dan Setiausaha Tenaga Amerika, Encik Chris Wright, akan melawat pangkalan ketenteraan Amerika di utara Greenland.

Lawatan ini disifatkan sebagai sebahagian daripada minat strategik Amerika terhadap sumber galian nadir bumi di pulau itu.

Pulau Greenland, yang sebahagian besarnya diliputi ais, dipercayai menyimpan sumber nadir bumi yang amat berharga. Pentadbiran Trump dalam penggal keduanya semakin lantang menyuarakan keinginan untuk ‘menguasai’ Greenland, seiring dengan dasar perluasan wilayah yang turut menyentuh isu Canada dan Terusan Panama.

Difahamkan bahawa sejurus selepas kemenangannya dalam pilihan raya 2024, Encik Trump mula mendesak penasihatnya untuk mencari kaedah bagi merealisasikan pengambilalihan Greenland.

Langkah itu mengundang kebimbangan penduduk tempatan, khususnya apabila majoriti rakyat Greenland dalam tinjauan terkini menolak cadangan untuk menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat.

“Rakyat Greenland mahukan hubungan baik dengan AS, tetapi bukan dengan cara dipaksa menjadi sebahagian daripada mereka,” jelas seorang ahli akademik dari Universiti Nuuk.

Perdana Menteri Denmark, Cik Mette Frederiksen, turut mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang permintaan rasmi atau jemputan terhadap lawatan ini, dan menyifatkan ia sebagai tindakan unilateral.

“Kunjungan ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kenyataan terbuka yang dibuat oleh Trump sebelum ini. Kami memandang serius perkara ini,” katanya dalam sidang media di Copenhagen.

Dengan sejarah lebih 300 tahun hubungan antara Denmark dan Greenland, kenyataan ini menunjukkan bahawa Copenhagen juga berkongsi kebimbangan terhadap pendekatan keras Washington.

“Kami kini berada pada titik di mana kehadiran mana-mana pegawai Amerika bukan lagi bersifat diplomatik, tetapi mencerminkan tekanan geopolitik. Kami menyeru dunia untuk membuka mata,” ujar Encik Egede. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg