PALM BEACH (Amerika Syarikat): Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengulangi hasratnya pada 22 Disember untuk meletakkan Greenland di bawah penguasaan Amerika, selepas mengumumkan rancangan melantik Gabenor Louisiana, Encik Jeff Landry, sebagai duta khas ke pulau itu.
“Kita memerlukannya untuk keselamatan negara. Kita perlu memilikinya,” kata Encik Trump kepada pemberita di estet Mar-a-Lago miliknya di Florida.
Encik Trump berkata Encik Landry ialah “seorang yang suka mencapai perjanjian” yang boleh membantu melaksanakan visinya untuk mengambil alih wilayah itu.
“Anda melihat ke utara dan selatan pantai kita, anda mempunyai kapal Russia dan China di merata tempat,” kata beliau.
Menurutnya lagi, hasratnya bukan berdasarkan untuk menguasai rizab tenaga atau mineral Greenland – dengan menyatakan bahawa Amerika mempunyai banyak sumber – tetapi beliau tidak percaya Denmark telah memperuntukkan perbelanjaan mencukupi untuk melindungi pulau itu.
Greenland ialah wilayah autonomi Denmark yang ditadbir pemerintah dan mempunyai Parlimennya sendiri.
“Mereka mempunyai penduduk yang sangat kecil tetapi Denmark tidak membelanjakan wang. Mereka tidak mempunyai perlindungan ketenteraan.
“Mereka kata orang Denmark tiba di sana sejak 300 tahun yang lalu dengan kapal. Saya pasti, kami juga berada di sana dengan kapal. Jadi kami perlu menyelesaikan semuanya,” jelas beliau.
Encik Trump telah menunjukkan minat mendalam untuk mengambil alih Greenland selepas kali pertama mengemukakan idea untuk membeli wilayah itu daripada Denmark enam tahun lalu.
Tetapi beliau semakin lantang mengenai Greenland dalam penggal keduanya dan mengerahkan pegawai penting Amerika, termasuk Naib Presiden, Encik J.D. Vance, dan Setiausaha Tenaga, Encik Chris Wrigh,t ke pulau di Artik itu.
Encik Donald Trump Jr, anak sulung presiden, juga melawat pada Januari lalu sebelum Encik Trump mengangkat sumpah bagi penggal keduanya.
Tumpuan Encik Trump telah diperhatikan dengan teliti oleh penduduk Greenland dan Denmark.
Malah, pegawai perisikan Denmark juga meneliti perkembangan tersebut.
Awal Disember, Perkhidmatan Perisikan Pertahanan Denmark buat kali pertama menyifatkan Amerika sebagai risiko keselamatan, dengan menyatakan usaha negara itu untuk menggunakan kekuatan ekonomi dan teknologinya sebagai kuasa terhadap rakan dan musuh.
Presiden Kesatuan Eropah (EU), Cik Ursula von der Leyen, berkata dalam catatan media sosial susulan pengumuman Encik Trump mengenai Greenland, bahawa EU berdiri “dengan penuh perpaduan dengan Denmark dan rakyat Greenland”.
“Keselamatan Artik kekal sebagai keutamaan utama bagi Kesatuan Eropah, dan satu keutamaan kami ialah berusaha untuk bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi.
“Integriti dan kedaulatan wilayah adalah prinsip asas undang-undang antarabangsa. Prinsip ini penting bukan sahaja untuk Kesatuan Eropah, malah untuk negara di seluruh dunia.” katanya.
Dalam laporan media sebelum ini, isteri kepada Encik Vance, Cik Usha Vance, sepatutnya menghadiri perlumbaan tradisional anjing peluncur di Greenland pada Mac lalu sebagai sebahagian usaha diplomatik lembut Amerika.
Namun, lawatan berprofil tinggi itu terpaksa dibatalkan ekoran tekanan politik yang semakin memuncak berhubung hasrat Encik Trump untuk “memiliki” Greenland. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg