Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dera seksual tahanan dipenjara: AS gesa Israel siasat

Aug 8, 2024 | 1:06 PM
Sekumpulan aktivis sayap kanan Israel yang rapat dengan pemerintah bergegas ke Sde Teiman untuk menunjukkan sokongan terhadap askar Israel yang dituduh melakukan penderaan terhadap tahanan Palestin.
Sekumpulan aktivis sayap kanan Israel yang rapat dengan pemerintah bergegas ke Sde Teiman untuk menunjukkan sokongan terhadap askar Israel yang dituduh melakukan penderaan terhadap tahanan Palestin. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada 7 Ogos menggesa Israel supaya menyiasat dan melaksanakan tanggungjawabnya selepas satu video memaparkan askarnya mendera seorang tahanan Palestin secara seksual.

Video pemantauan yang dibocorkan dan kemudian disiarkan di Saluran 12 Israel, menunjukkan askar mengiringi seorang tahanan Palestin di pangkalan Sde Teiman – tempat Israel menahan rakyat Palestin semasa perang Gaza.

Askar Israel kelihatan melakukan perbuatan seksual terhadap tahanan di belakang sebuah perisai, dengan sekurang-kurangnya salah seorang daripada anggota tentera itu dengan tangannya dilihat berada di pangkal pahanya sendiri.

“Kami telah melihat video dan laporan penderaan seksual terhadap tahanan yang menjijikkan,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Matthew Miller, kepada pemberita.

Sebilangan banduan Palestin yang dibebaskan sebelum ini telah membuat dakwaan mengenai berlakunya penyeksaan, rogol dan penderaan lain dalam tahanan Israel.

Minggu ini, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang “penyeksaan yang semakin meningkat” oleh Israel terhadap tahanan Palestin sejak perang di Gaza bermula dan menggesa usaha untuk mencegah jenayah terhadap kemanusiaan.

“Hak asasi manusia banduan perlu dihormati dalam semua kes, dan apabila terdapat dakwaan pencabulan, pemerintah Israel perlu ambil langkah untuk menyiasat mereka yang didakwa melakukan penderaan dan, jika sesuai, mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka,” kata Encik Miller.

Jurucakap tentera Israel mengesahkan sedang meneliti laporan itu.

Tentera Israel pada akhir Julai berkata ia sedang membuka penyiasatan ke atas kes melibatkan seorang tahanan di pangkalan Sde Teiman selepas mendapat laporan media antarabangsa, agensi PBB dan kumpulan hak asasi manusia.

Sembilan askar dibawa untuk disoal siasat, mendorong aktivis sayap kanan Israel yang rapat dengan pemerintah bergegas ke Sde Teiman untuk menunjukkan sokongan terhadap tertuduh, dengan beberapa berjaya menceroboh kemudahan itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg