Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS desak Israel izin lebih banyak trak bantuan ke Gaza

Apr 9, 2024 | 1:28 PM
Israel telah meluluskan pembukaan semula sempadan di Erez, Utara Gaza, dan penggunaan sementara pelabuhan Ashdod di selatan Israel untuk membolehkan bekalan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Jaluran Gaza.
Israel telah meluluskan pembukaan semula sempadan di Erez, Utara Gaza, dan penggunaan sementara pelabuhan Ashdod di selatan Israel untuk membolehkan bekalan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Jaluran Gaza. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Dalam pada Rumah Putih mengalu-alukan ketibaan lebih 300 trak bantuan di Gaza pada 8 April, ia juga mendesak Israel supaya meningkatkan jumlah itu kepada kira-kira 350 sehari, ketika perbincangan gencatan senjata diteruskan di Mesir.

Jurucakap Rumah Putih, Encik John Kirby, berkata Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Encik William Burns, berada di Kahirah pada hujung minggu untuk pusingan serius rundingan bagi memastikan pembebasan tebusan yang ditahan di Gaza oleh Hamas.

Amerika berharap dapat mencapai perjanjian gencatan senjata selama kira-kira enam minggu dalam serangan Israel selama enam bulan untuk memusnahkan Hamas di wilayah Palestin itu.

Ditanya sama ada terdapat sebab untuk lebih optimistik mengenai perjanjian tebusan, Encik Kirby memberitahu pemberita: “Ia sepatutnya jelas ekoran jumlah diplomasi ulang-alik yang kami dan rakan sejawatan kami lakukan. Kami menerima ini dengan sangat, sangat. serius dan benar-benar mahu menutup perjanjian tebusan secepat mungkin.”

Hamas membunuh 1,200 orang dalam serangannya ke selatan Israel pada 7 Oktober. Serangan balas dan berterusan Israel di Gaza pula telah membunuh lebih 33,000 rakyat Palestin.

Tentera Israel berkata lebih 600 askarnya telah terbunuh dalam pertempuran.

Encik Kirby berkata Washington mahu melihat kadar berterusan 300 hingga 350 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari, dan langkah keselamatan pekerja bantuan yang lebih baik selepas serangan udara Israel minggu lalu membunuh tujuh kakitangan World Central Kitchen.

Beliau berkata Washington masih meneliti kesimpulan siasatan tentera Israel terhadap insiden melibatkan pekerja WKC itu.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata bahawa Israel masih belum memberikan penjelasan yang mencukupi mengenai kematian pekerja bantuan, termasuk seorang warganya. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg